Wednesday, August 15, 2012

Muhasabah Ramadhan

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, moga-moga kamu bertaqwa"- Al-Baqarah 183

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi  SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, dimana Allah telah memfadhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup padanya pintu neraka dan syaitan dibelenggu. Pada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikanya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak" - Ahmad dan Nasai'e

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.

Dah masuk fasa terakhir di Ramadhan 1433H. Saya sentiasa berdoa agar dipanjangkan umur. Biarlah dapat saya cukupkan Ramadhan kali ini kerana mana ditahu adakah Ramadhan 1434H nanti memihak pada saya lagi atau tidak.

Saya mula mencongak di akhir 10 Ramadhan ini, agar matlamat puasa yang ditetapkan itu tercapai. Walhal saya sendiri tidak mampu untuk memberi merit adakah saya ini bertaqwa atau tidak. Kerana taqwa adalah hadiah utama jika saya benar-benar berpuasa. Matlamat agung yang dicatatkan didalam ayat 183 surah al-Baqarah. Adakah saya menjunjung perintah Allah dan mencari redha-NYA sepanjang bulan Ramadhan ini dengan melakukan amalan fardhu dan sunat? Jika saya berjaya memiliki taqwa, saya mempunyai kekuatan dalam mengawal hati dari merosakkan ibadat dengan berbuat maksiat walaupun maksiat yang berbisik didalam hati. Jika saya tidak berjaya memiliki taqwa, bermakna ibadat puasa saya yang menjadi alat untuk mencapai taqwa tidak sempurna.

Ramadhan datang dan pergi dan bagaimana Ramadhan tahun hadapan? terfikir saya kenapa tidak letakkan slogan sambutan Ramadhan agar ianya menjadi satu "target point" dalam ibadat di bulan Ramadhan. Setidaknya mempunyai matlamat yang jelas dalam perlaksanaan ibadah di Ramadhan. Tidak hanya menumpukan bilakah lailatul qadr? tidak hanya menumpukan konsisten pada fasa-fasa tertentu untuk mencari ganjaran. Kerana Ramadhan merupakan madrasah tabiyah yang mendidik  diri untuk meningkatkan diri, mendekati Allah swt.  Seterusnya kita akan merasai konsep Hablun Minallah dan Hablun Minannas.

Begitulah indahnya Ramadhan dan terlalu bernilainya ganjaran yang ditawarkan didalam Ramadhan. Bagaimana pula episod Ramadhan selepas ini?adakah ceritanya sama dengan episod semalam dan sebelumnya?

Ya Allah, aku mohon agar ENGKAU berikan keampunan sepanjang Ramadhan ini