Tuesday, November 14, 2017

Travelog 2 Tanah Haram & Al-Fateh : Persiapan Awal

2 Mac 2017. Hari Khamis. 

Esok saya bakal memulakan musafir bersama Isteri tercinta Dr. Farhana dan dua anak kami iaitu Fateh Al Zuhaily (4 tahun) dan Farah Afifah (5 bulan) ke Mekah, Madinah dan Turki. Musaffir bersama anggota keluarga mertua. Keseluruhanya kumpulan kami terdapat 9 dewasa 2 kanak-kanak dan 2 bayi.

Perjalanan yang panjang bakal dilalui buat pertama kalinya bagi kami. Selama ini jika menaiki penerbangan sekalipun, jarak paling jauh adalah ke Miri, Sarawak. Bagi Fateh, menaiki penerbangan tidak kekok baginya. Kerana seawal 2 bulan dia sudah menaiki penerbangan. Apatah lagi kami adakalanya pulang ke kampung halaman dengan menaiki penerbangan jika dapat membeli dengan tiket yang berpatutan. Berbeza dengan Farah, yang baru memasuki 4 bulan, pertama kali menaiki kapal terbang pada usia seawal abangnya juga. Cuma pertama kali menaiki Farah menangis sebelum pesawat memulakan berlepas ketika kami balik ke Kota Bharu, Kelantan. Saya mula mencongak strategi, bagaimana mahu mengawal Farah. Saya mengharapkan Farah tidur ketika kami mula memasuki badan pesawat. Itu sahaja terlintas di fikiran saya ketika ini.

Persiapan untuk perjalanan 3 hingga 13 Mac sudah mula dibuat seawal bulan Februari lagi. Tiga (3) buah beg luggage saiz 24 inci sebuah, dan 21 inci dua buah merupakan keputusan yang kami buat untuk di bawa dalam tempoh tersebut. 2 luggage sain 24 inci dan 21 inci telah dimiliki oleh isteri dan dua anak saya. Tinggal lagi sebuah untuk saya isi pakaian saya. Sepasangan pakaian ihram sahaja pun sudah separuh! saya perlukan 1 lagi beg jenis backpack

Pakaian anak, kami sepakat untuk meletakkan 25 pasang untuk seorang. 25? bunyi macam banyak, tetapi hakikat baju budak-budak tidaklah seperti 25 pasang baju dewasa. Kiraan dibuat sehari 2 pasang dan kecemasan selebihnya. Ini tidak termasuk baju sejuk memandangkan di Turki masih lagi musim sejuk. Dengan lampin kiraan 4 diapers digunakan Farah untuk satu hari. Kebiasaan Farah akan menukar diaper 3-4 kali sehari. Angka 4 adalah saya melihatnya agak praktikal, memandangkan Farah jika keluar berjalan-jalan penggunaan diaper agak minima berbanding ketika berada di rumah. Pakaian saya dan isteri? faham-faham sahaja la.

Kelengkapan anak adalah menjadi keutamaan kami. Sehinggakan kami perlu keluar mencari baju mereka yang sesuai dan elok. Bukan baju sekarang tidak sesuai dan elok, tetapi kuantiti bilangan bajunya agak kurang menyenangkan hati kami. Kerana kami melihatnya dari sudut sebelum dan selepas pulang dari bercuti. Kami perlu pastikan pakaian anak kami cukup di pakai sebelum bercuti dan memiliki lebihan pakaian untuk dipakai selepas pulang bercuti. Kelengkapan asas seperti losyen, minyak panas, minyak rambut, bedak, sabun badan, syampu rambut, berus dan ubat gigi untuk Fateh tidak kami lupa. Ubat demam juga kami sediakan. Memandangkan seminggu sebelum perjalanan, Farah ada temujanji di klinik kesihatan, kami membuat permintaan untuk mendapatkan ubat bagi tempoh perjalanan kami. Ubat untuk Fateh pun kami dapat. Terima kasih kepada zon sinar Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra diatas perhatian dan kerjasama. Mutu dan kualiti perkhidmatan kalian tidak pernah mengecewakan kami selama ini.

Jaket sejuk untuk anak kami, kami sediakan 3 helai. Untungnya Farah dapat lagi 2 pasang baju sejuk yang dipinjamkan oleh Mak Ngah Farah. Terima kasih Mak Ngah. Carrier baby dan stroller juga kami bawa memandangkan kegunaan seperti carrier nanti adalah ketika tawaf dan sa'i selain untuk berjalan-jalan ke luar. Stroller tidak dibenarkan sama sekali untuk tawaf dan Sa'i. Sarung kepala anak, sarung tangan anak, sarung kaki anak kami pastikan ianya mencukup untuk dibawa walaupun tidak sebanyak baju mereka.

Macam banyak bukan? mungkin inilah kalau ada anak kecil. Memandangkan saya pernah terlibat dengan aktiviti outdoor, sebarang kemungkinan dalam tempoh aktiviti itu akan diambil. Pelbagai blog saya baca untuk menambah maklumat. Ini saya tidak ceritakan lagi proses passport dan dokumentasi untuk ke perjalanan kali ini. Post selepas ini saya akan ceritakan.


Untuk makluman, perjalanan kami ke sana nanti Insyaallah lebih flexible dan terbuka. Kerana perjalanan kami ini adalah lebih private. Tidak melibatkan kumpulan besar. Sebab kami mahu elakkan dari terikat dengan anggota-anggota yang lain. Yang kami pun tidak mengenali. Tambah pula dengan membawa anak kecil yang bermacam-macam ragam. Perancangan perjalanan seperti ini dengan seorang kenalan isteri saya yang tinggal di Turki. Menguruskan pakej perlancongan. Jadi dengan beliaulah kami berhubung untuk perjalanan kami. Siapa dia? next episod saya cerita.

Bersambung.