Showing posts with label makanan rohani. Show all posts
Showing posts with label makanan rohani. Show all posts

Tuesday, November 29, 2016

Sempena Tahun Baru - Lompong

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa diatas segala nikmat yang dianugerahkan, dipinjamkan yang bersifat sementara kepada saya. Yang saya pasti dan yakin DIA akan menariknya bila-bila masa jika saya mengkufuri nikmatnya. Sudah jelas peringatan DIA berkenaan nikmat yang diberikan sepertimana yang disebutkan didalam Al-Quran.

Masuk tahun baru Islam, masa terlalu pantas dirasakan oleh saya. Usia pun menambah dengan angka baru. Amalan? saya tidak tahu hendak bercakap tentang kunatiti amalan sedangkan kualiti amalan masih lagi tidak memenuhi senarai semak untuk mendapat penarafan amalan gred A+. Setiap kali muhasabah diri, koreksi diri dengan sedalam dalamnya, kelompongan masih terasa dipelbagai sudut. Diri saya membuntu. Seperti menemui jalan mati. Apa harus saya lakukan Ya Allah?

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18).

Saya melihat kelompongan yang ketara itu, maka saya sedar disitu. Bahawa saya yakin Allah masih sayangkan saya. Mungkin!. Jika tidak bagaimana saya menyedari kelompongan itu, Ya! Allah masih sayangkan saya. Alhamdulillah. Jika tidak saya menyedari kelompongan itu, mungkin saya antara calon yang akan dibinasakan Allah. Mohon dijauhkan.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui.” (Al-A’raf: 182).

Tetapi adakah saya menyesal melihat kelompongan yang ada? sedangkan ianya telah terjadi. Maka saya teringat akan mafhum sabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa menyesal adalah taubat. Saya tidak boleh berpatah balik, melainkan saya tidak lagi memgulangi dan membuat lompongan yang sama sedangkan kelompongan yang ada saya telah benar-benar menyesal, TAUBAT!. Ya, kerana taubat mampu menghapuskan dosa. Mampu memberi aura ketakutan kita kepada Allah S.W.T. Saya mesti takut pada Allah. tidak boleh tidak. Kerana saya tidak mahu setiap nikmat yang di anugerahkan, yang pinjamkan dan yang dikurniakan kepada saya hanyalah samata-mata ISTIDRAJ!!!. Allahu rabbi. Saya cukup takut pada perkataan ISTIDRAJ, seolah-olah ianya senada seperti pepatah melayu BIAR PAPA ASALKAN BERGAYA!..Papa bukan beerti miskin, tiada duit, tetapi lebih kepada biar berharta tetapi dibenci, dan pelbagai lagi yang saya tidak suka menghuraikanya kerana tiada kebaikan padanya.

Tersedar saya dari memikirkan kelompongan yang ada. Saya hanya perlu bermuhasabah. Koreksi diri sedalam-dalamnya. Mana mungkin saya sebagai anak adam yang melakukan solat, puasa, zakat dan pelbagai amalan yang diperintahkan Allah boleh melihat dosa. Sedangkan kejahatan, kemungkaran , dibuat walaupun disedari atau tidak. Ya, hanya muhasabah, RECALL semula saya kedalam diri saya untuk SERVICE secara berjadual hati ini. Aib saya, saya mampu membuka dan melihatnya serta menghapuskanya. DELETE.

Mahu menjadi orang yang berjaya perlu muhasabah diri. Persiapkan diri untuk kehidupan abadi. Itu visi yang perlu dicapai. Jika tidak mempunyai visi tersebut, saya akan menjadi orang yang akan ditelan oleh dunia dan seisinya. Saya tidak mahu menjadi orang yang berangan-angan bahawa dosa saya telah diampunkan.













Sunday, May 6, 2012

Didik anak cara Nabi Muhammad s.a.w

Dari an-Nu'man bin Basyir radhiyallahu 'anhuma : 

قال رسول الله صلى الله وسلم : اعدلوا بين أولادكم في النحل كما تحبون أن يعدلوا بينكم
 في البر و اللطف 

Rasulullah s.a.w bersabda : " Berlaku adillah terhadap anak-anak kalian dalam pemberian seperti kalian suka apabila mereka berlaku adil terhadap kalian dalam hal berbakti dan kelembutan ". ( Diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya dalam kitab al-'Iyal (1/172). Pentahqiqnya mengatakan "Hadis sahih"

Saya bukan seorang bapa yang memiliki anak. Kerana kahwin pun belum apatah lagi memiliki anak sendiri. Walaubagaimana pun saya boleh dikategorikan sebagai bakal bapa kerana saya juga ingin memiliki zuriat saya sendiri hasil daripada perkahwinan dengan wanita yang tercinta. Ini penting, bagi saya dan isteri membina generasi Islam yang akan menyambung perjuangan dan membina kekuatan. Generasi yang memartabatkan Islam dan meletakkan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Esa dan Muhammad S.A.W itu pesuruh Allah.

Buku "Prophectic Parenting ; Cara Nabi s.a.w Mendidik Anak" adalah hadiah untuk saya bagi membina diri untuk menjadi "seorang bapa" walau saya tidak tahu "kapan" saya di izinkan Allah S.W.T untuk menjadi seorang bapa. Judul asalnya bertajuk " Manhaj at-Tarbiyyah an-Nabawiyyah lith Thifl ( terbitan dar Ibnu Kathir ) yang mana penulisnya adalah Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid.

Apabila membuka buku ini buat pertama kalinya, saya dihidangkan dengan kata-kata yang menarik perhatian saya oleh beberapa ulama yang memberi pandang sisi megenai buku ini ;

"Demi Allah, berkali-kali ketenteraman merasuk ke dalam hatiku, dan iar mataku bercucuran ketika membaca buku ini"- Ahmad Qallasy ( Ulama Halab )

"Barangsiapa yang ingin mempelajari tentang pendidikan Islam bagi anak, dia akan mendapatkanya dalam buku ini sebagai bekal yang bermanfaat dan materi yang siap pakai" - Dr. Muhammad Fauzi Faidullah ( Ketua Jurusan Fikih Dan Usul, Fakultas Syariah Dan Pendidkan Pascasarjana Universiti Kuwait )

Belum habis dibaca, tetapi saya menyarankan kepada kalian sebagai ibubapa dan bakal ibubapa diluar sana untuk memiliki buku ini yang mengandungi keterangan daripada hadith Nabi s.a.w mengenai cara mendidik anak. Ianya langsung daripada hadith Nabi s.a.w, dan itulah yang menarik mengenai buku ini. Kalian mempelajari cara mendidik anak daripada Nabi s.a.w sendiri. Bermula dari tujuan awal perkahwinan, susunan perjalanan buku ini cukup mengagumkan. 

Jika ilmuan dari universiti termasuk ulama memberikan respon yang baik dan terbaik mengenai buku ini, apatah lagi saya yang hanya tidak sampai setahun jagung dalam bidang ilmu ini. Mana mungkin saya akan bersangka kurang dari apa yang mereka sangkakan mengenai buku ini.

Dikala kita diperdendangkan serta dipertonton dengan media mengenai berita-berita yang negatif dari anak mahupu kedua orang tuanya, maka berpalinglah kalian dari terus membacanya yang akan terus menerus mempergaruhi fikiran kalian. Kerana ianya akan berjaya menerobos jiwa kalian yang baru memiliki anak dan ada pula yang ingin memiliki anak serta ingin baru ingin sahaja berkahwin. Berprasangka baiklah dengan membaca buku ini agar kalian tahu, kuat dan bersedia untuk membacanya kembali berita yang dipaparkan media hari ini.

Saturday, November 26, 2011

Berdoalah Memohon Keredhaan Allah

Wahai Tuhanku,
Inilah hambaMU yang mengembara kembali menghadapMU,
Segala maksiat kembali kepada kebenaran,
HambaMU berdosa menghadap dengan memohon keampunan,
Ampunilah aku dengan kemurahanMU,
Terimalah aku dengan kurniaanMU,
Pandanglah aku dengan rahmatMU.

Ya Allah,
Ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu,
Dan peliharalah sisa-sisa hidupku,
Sungguh,
Segala kebaikan itu seluruhnya berada padaMU,
Dan ENGKAU adalah yang paling penyayang dan Maha Mengasihi kami.

* saya titipkan doa yang diberikan ketika mendengar ceramah malam ini yang disampaikan oleh Yg Bhg Ustaz Mohammad Kazim Al-Hafiz. Ini kali kedua didalam tahun ini saya mendengar ceramahnya secara langsung. Saya nak bercakap lama, tetapi saya perlukan masa untuk siapkan diri menjelang hari esok, esok saya akan menyertai perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC.

Saturday, November 5, 2011

Salam Aidiladha 1432H:Erti Sebuah Pengorbanan



لَبَّيْكَ اللَّهمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لبَيْكَ، إنَّ الْحَمْدَ وَاْلنِعْمَةَ لَكَ وَاْلمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

"Wahai Tuhan kami, Kami datang dengan semata-mata ikrar setia dan taat kepada perintah-MU, Wahai Tuhan kami yang tida sekutu bagi-MU, kami sahut seruan-MU, Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagi-MU, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-MU."

"Ketaatan Nabi Ibrahim seharusnya membangkitkan kita dari lamunan terhadap dunia. Jika dilihat dan dikoreksi dengan mendalam, banyak perkara yang kita tidak mampu untuk berkorban demi menurut perintah Allah swt.

Jika sorang gadis rela berkorban makhkota suci demi cinta tulus terhadap teman lelakinya,

Jika seorang pekerja sanggup berkorban Solat dan aurat demi majikan dan tuntutan pekerjaanya,

Dan juga jika seorang peniaga sanggup berkorban jati dirinya, imanya hanya kerana mahukan hasil riba dan haram demi mengejar kekayaan dan pelbagai lain."

Makanya, adakah itu yang dimaksudkan berkorban kerana tanda cinta kepada Allah? jika tidak, bagaimana kita mahu berkorban sebagai tanda ketulusan hati kita sebagai seorang hamba Allah?

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-NYA adalah ketaqwaan kamu. Demikian ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allahatas petunjuk-NYA kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha yang baik amalnya"
(Al-Hajj Ayat 37)

Wednesday, October 5, 2011

Asiff Jiddan@Maaf@Sorry@Mianhamnida@Het Spijt Me

Manusia adakah makhluk ciptaan Allah SWT yang sempurna dan istimewa serta yang paling indah. Wajah yang Dia ciptakan dengan indah, padanya ada dua mata yang mampu melihat puluhan, ratusan, bahkan ribuan gambar dan apa jua yang terhidang didepan mata. Begitu juga dengan nikmat mendengar, nikmat berkata-kata, rasa dan deria-deria yang yang diciptakan semuanya berfungsi dalam sedetik untuk kemanfaatan dan ibadat kepada-NYA serta membuktikan Maha Kuasa-NYA. Penciptaan yang sempurna ini seharusnya dijadikan kayu ukur dalam perhubungan sesama manusia. Oleh sebab semua manusia diciptakan sempurna, antara sifat semulajadi manusia itu bersifat penyayang dan kasih kepada manusia dan makhluk. Dengan sifat ini, manusia akan saling menyayangi antara satu sama tanpa perlu wujud permusuhan, persengketaan dan benci walaupun manusia kadang-kadang terjerumus ke dalam pujukan hawa nafsu dan perasaan sehingga menenggelamkan rasional dan tidak dapat membuat pertimbangan yang betul kerana kelemahan juga adalah sifat semulajadi manusia.

Kemaafan atau memaafkan bererti menghapuskan. Jadi, seseorang itu boleh dikatakan memaafkan orang lain jika dia telah menghapus kesalahan orang lain kemudian tidak menghukumya walaupun dia mampu berbuat demikian. Dalam bahasa mudahnya, kita adakalanya akan membalas kejahatan atau perbuatan negetif orang lain terhadap kita sedangkan kita mampu untuk bersabar atau mampu menahan marah. Kerana mafhum sabda Nabi Muhammad s.a.w pernah mengatakan bahawa orang yang kuat itu bukan kuat bergusti(bergaduh) tetapi yang kuat menahan marahnya. Apabila marah dan sifat tidak sabar menguasai diri, akan terhapuslah kemaafan dalam diri. Makanya, kita akan terus-terusan menyakiti diri sendiri dan orang lain. Dari Muaz r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa menelan/menahan kemarahanya sedang ia berkuasa untuk membalas kemarahanya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai.” ( Riwayat Abu Daud )

Kemaafan perlu disertai dengan dorongan untuk memaafkan orang lain. Dorongan agar kita mahu memaafkan orang lain telah disebut oleh Allah s.w.t berulang kali didalam AL-Quran;(al-A’araf ayat 199,al-Hijr 85 dan as-Syu’ara 43. Ini kerana, manusia diciptakan untuk saling kenal-mengenali dan saling berkerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan takwa kepada Allah SWT.

Dari Atta bin Abdullah Khurasani r.a meriwayatkan bahawa, Rasulullah saw bersabda: “Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian, dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Riwayat Imam Malik)

Sifat suka memaafkan satu perbuatan yang terpuji. Ia menzahirkan kebersihan hati yang suci murni. Orang yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredhaan hatinya terhadap Allah SWT. Dia memahami tentang dirinya sendiri sebagai insan yang bersifat serba kekurangan dan tidak sunyi dari melakukan kesalahan sama ada cara sedar atau tidak sedar. Siapakah kita untuk tidak memaafkan orang lain sedangkan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap hambaNYA?

Adalah tidak menjadi kehinaan jika kita menjadi seorang yang pemaaf kerana ianya menggambarkan bahawa kita telah menunjukkan kebijaksanaan dalam mengawal emosi dan nafsu. Selain itu seorang yang pemaaf itu menunjukkan dia bersih dari sifat kesombongan, dendam, hasad dan mempunyai keimanan yang tinggi. Sifat-sifat ini merupakan ikatan yang sangat kukuh dalam memantapkan persaudaraan Islam.

Islam adalah agama persaudaraan. Kerana itulah setiap mukmin itu adalah bersaudara. Dan persaudaraan ini tercetus kerana kasih sayang antara semasa manusia yang lahir daripada sifat saling berbaik-baik, bermaafan, memaafkan, sabar, tolak ansur dan saling menghormati. Jesteru nilai-nilai murni ini menjadi tunjang di dalam kehidupan kita dan kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga, rakan sepejabat bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT didalam Surah al-Fusilat ayat 34 bermaksud :

Maksudnya:“ Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang baik; apabila tiba-tiba orang yang di antara kamu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah dia seorang sahabat karib”

Kemaafan adalah sifat yang terpuji didalam Islam. Saling bermaafan akan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan Islam. Kerana manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain. Tuntutan untuk saling bermaafan merupakan satu tuntutan dalam menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka yang juga merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan RasulNYA. Makanya, akan terbinalah semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam persaudaraan dan perpaduan sesama Islam. Firman Allah SWT didalam Surah ali-Imran ayat 110 yang bermaksud :

‘Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik’.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.

Thursday, September 15, 2011

Renungan bersama

Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda :
"Janganlah kamu mencela sahabatku. Demi yang diriku ditangan-NYA, jika salah seorang daripada kamu membelanjakan emas sebanyak bukit Uhud, nescaya tidak menyamai secupak daripada apa yang mereka belanjakan, malahan setengah cupak juga tidak menyamainya."

Riwayat Muslim

Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda :
"Daripada kalangan umatku: Abu Bakar adalah paling mengasihani umatku; Umar adalah yang paling kuat di dalam agama Allah; Uthman adalah yang paling benar bersikap malu; Ubai bin Ka'ab adalah yang paling mengetahui membaca al-Quran; Zaid bin Thabit adalah yang paling mengetahui ilmu faraidh(mawarith); Muaz bin Jabal adalah yang paling mengetahui perkara halal dan haram. Sesungguhnya bagi setiap umat terdapat orang jujur; manakal daripada kalangan umat ini Abu Ubaidah binal-Jarrah adalah yang paling jujur."

Riwayat al-Tarmizi

Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda :
"Tanda orang munafik ialah membenci orang Ansar; tanda orang Mukmin ialah mengasihi orang Ansar."

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

# MasyaAllah, sungguh besarnya kedudukan untuk para sahabat Nabi s.a.w. Hatta mengingati 10 sahabat yang dijanjikan Syurga adalah sunat muakkad. Tidak mahukah kita mengekori cara kehidupan, tingkah laku dan akhlak mereka?

Sunday, August 7, 2011

Mukjizat Agung


وَ نَّجْمِ اِذَاهَوى مَـاضَلَّ صَاحِبُكُـمْ وَمَاغَـوى وَمَا يَــنْطِـقُ عَنِ الْـحَـوى اِنْ هُوَ اِلاَّوَحْـيٌ يـُّوْحى عَـلَّمَـه شَدِيْـدُالْـقُو ى ذُوْمِرَّ ةِ فَاسْـتَــو ى

Demi bintang. Bila Terbenam. Muhammad tidaklah sesat dan tidak pula keliru. Dan diucapnya tidaklah menurut hawa nafsu.Ucapanya adalah apa yang telah diwahyukan kepadanya. Diajarkan kepadanya oleh Jibrail yang kuat (ingatanya), cerdas sekali, Maka ia menampakkan dirinya.
Surah An-Najm Ayat 1-6

Kemuliaan Al-Quran, jika dibandingkan dengan setiap apa yang dituturkan manusia dan makhluq ciptaan Allah, tidak dapat menyamai keindahan Al-Quran yang merupakan kalam Allah swt. Tidak sama sekali kalam manusia dan makhluqnya.. Maka, Al-Quran adalah mukjizat yang begitu agung yang kekal sehingga hari ini dan hari kiamat sepertimana digambarkan oleh Allah swt didalam Al-Quran.

Mukjizat agung ini, adalah sebagai bukti kepada Muhammad s.a.w sebagai Rasulullah s.a.w. Dengan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwahnya, dalam memperkembangkan Islam, tentunya pelbagai rintangan yang bersifat negatif dan pasif menghinggap menyerang Rasulullah s.a.w. Al-Quran membantu dalam memperlihatkan kelemahan orang arab yang menentang risalah Islam. Al-Quran itu bersifat kekal dan atas sifat itu, maka musuh-musuh Islam menjadi lemah dan kehilangan senjata untuk memerangai Islam. Ini termasuk kelemahan untuk musuh-musuh Islam baik semasa zaman Muhammad s.a.w dan sesudahnya sehingga hari kiamat.

Kemuliaan Al-Quran ini digambarkan oleh Allah swt didalam firmanya :

يَـآاَ يـُّـهَاالــنَّاسُ قَـدْجَآءَ تْـكُمْ مَـوْعِظَـةً مِّنْ رَّ بـِّكُـمْ شِـــفآءٌ لِّــمَا فِى الصُّدُوْرِوَهُدً ى وَّرَحْـمَـةٌ لِّـلْـمُؤْ مِـنِـيْـنَ

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu (Al-Quran yang menjadi) pelajaran dari Tuhan-mu. Penyembuh bagi (sifat-sifat buruk) yang ada didalam dada, Dan petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman"
Surah Yunus Ayat 57

وَ اِ نَّــه لَــتَــذْكِــرَ ةٌ لِّـلْـمُــتَّــقِــيْــنَ

"Sesungguhnya Al-Quran adalah benar-benar satu peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa"
Surah Al-Haqqah Ayat 48

Kemulian Al-Quran ini dimuliakan lagi dengan penurunanya pada Bulan Ramadhan. Iaitu bulan yang penuh dengan kerahmatan, keberkatan dan kemulian

شَـهْـرُرَمَضَانَ الَّـذِى اُ نْــزِلَ فِـيْـهِ الْـقُـرْآنُ هُـدًى لِّـلــنَّاسِ وَ بَــيِّــنَاتٍ مِّنَ الْــهُـدًى وَ الْـفُـرْ قَـانَ

"Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagi petunjuk kepada manusia, Dan memberi penjelasan terhadap petunjuk-petunjuk yang diberikan dan menjadi pemisah (antara Haq dan batil )"
Surah Al-Baqarah Ayat 185

Manusia dari zaman dahulu sehingga hari ini mengalami putaran hidup dan perubahan hidup yang sempurna. Pada zaman serba canggih ini, manusia mapu mereka dan mencipta pelbagai gaya kehidupan yang diiginkan. Ini tidak bermakna ianya tidak termaktub didalam Al-Quran. Keadaan yang serba canggih ini mampu diubah oleh manusia dengan sepantas masa. Dan ianya akan terus berkembang dan berkembang. Berubah dan terus berubah. Dan fasa kehidupan ini sebenarnya adalah aturan Allah swt. Allah swt Maha Menghendaki segala yang ada dibumi dan dilangit. Dimana Al-Quran menjadi "standard" pada kesemua perkara yang terjadi di dunia. Standard ini menjadi penyelamat keatas manusia dari kehinaan dunia dan dari azab di akhirat kelak. Kerana kemodenan zaman hari ini mampu menjadi hina sekiranya manusia gah dengan hasil ciptaannya sedangkan petunjuk (Al-Quran) adalah jawapanya, solusi hasil penciptaan mereka!

Inilah Al-Quran, mukjizat agung yang dijamin Allah swt akan kekal sehingga Hari Kiamat. Mukjizat yang menjadi petunjuk kepada manusia. Ianya sebaik-baik petunjuk. Kerana Al-Quran adalah kalam dari Allah swt, Tuhan Sekalian Alam. Jaminan ini dibuktikan bahawa manusia dan Malikat sekalipun tidak mampu untuk menyaingi kehebatan Al-Quran.

Firman Allah swt :

اَ مْ يـَـقُـوْ لُـوْنَ افْــتَــرـهُ ط قُـلْ فَــأْ تُــوْ بِــعَــشْـرِسُـوَ رٍمِّــثْــلِـــــــــــه مُـفْــتَـرِ يتٍ وَادْعُـوْا مَنِ ا سْــتَـطَــعْــتُــمْ مِّنْ دُوْنِ الـلّـــــــهِ اِنْ كُــنْــتُــمْ
صـدِ قِــيْـنَ

"Bahkan mereka yang ingkar mengatakan : Bahawa Muhammad telah membuat Al-Quran itu. Katakanlah : Cubalah kamu buat sepuluh ayat seumpama Al-Quran dari ciptaanmu. Silalah panggil orang-orang yang sanggup mengadakanya selain Allah. Jika kamu sungguh orang yang benar"
Surah Huud Ayat 13

قُـلْ لَّــئِنِ اجْـتَـمَـعْتِ اْلاِ نْسُ وَ الْجِنُّ عَلى اَنْ يَّـأْ تُـوْا بِـمِثْـلِ هذَا الْـقُرْآنِ لاَ يـَأْ تُـوْنَ بِـمِثـلِـه وَ لَـوْكَانَ بـَعْضُـهُمْ لِـبَـعْـضٍ ظَـهِـيْـرً ا


"Katakanlah : Jika manusia dan jin berkumpul untuk menyusun seperti Kitab Al-Quran ini, Pasti mereka tidak dapat membuat serupa dengan Al-Quran, Sekalipun mereka bergotong royong untuk membuatnya"
Surah Al-Israa Ayay 88


فَـاِنْ لَـمْ تَــفْـعَـلُوْاوَ لَـنْ تَـفْـعَلُـوْافَـاتَّــقُوْاالـنَّارَالَّـتِى وَ قُـوْدُهَاالـنَّاسُ وَ الْـحِجَـارَ ةُ اُعِـدَّ تْ لِـلْـكــفِـرِيْـنَ

"Jika kamu sanggup berbuat seperti (Al-Quran), Dan pasti kamu tidak mampu, Maka peliharalah dirimu dari azab api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia, batu yang disediakan bagi orang-orang yang ingkar"
Surah Al-Baqarah Ayat 24

وَ اِنْ كُــنْـتُـمْ فِيْ رَ يـْبٍ مِّـمَّا نَــزَّ لْــنَـاعَـلىَ عَــبْـدِنَـافَـأْ تُــوْا بِـسُـوْرَ ةٍ مِّنْ مِّــثْــلِـه وَادْعُـوْ شُـهَـدَآءَ كُـمْ مِّنْ دُوْنِ الـلّـــــهِ اِنْ كُــنْــتُــمْ صـدِ قِــيْــنَ

"Dan jika kamu masih ragu-ragu tentang kebenaran Al-Quran, yang kami turunkan kepada (Muhammad), maka cuba kamu membuat satu ayat sahaja seperti Al-Quran, Dan ajaklah pembantu yang cerdik pandai selain Allah. Jika kamu dari orang-orang yang benar"
Surah Al-Baqarah Ayat 23

Demikianlah kemulian Al-Quran, mukjizat agung. Agungnya pada kemulian yang ada dan sekiranya manusia menghendaki kemulian darinya, maka hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman hidupnya. Sebagai pendamping, menjadi teman kemana sahaja, segar dalam ingatanya, tersemat kukuh didalam hatinya dan menghayatinya dengan penuh rasa tawaddu'. Ianya tidak kira masa, keadaan dan kedudukanya.

قُـلْ مَنْ كَانَ عَـدُوًّالـِجِـبْـرِ يْـلَ فَـاِنَّــه نَـزَّ لَــه عَـلى قَــلْـبِـكَ بِــاِذْنِ الـلّــــــــــــهِ مُصَـدِّقً لِّــمَا بَــيْـنَ يَـدَ يـْـهِ وَ هُـدًى وَّ بــُشْرى لـِلْـمُـؤْ مِـنِـيْـنَ

"Katakanlah! Barangsiapa memusuhi Jibrail yang menurunkan Al-Quran kedalam hatim (Hai Muhammad) dengan izin Allah. Dan Al-Quran itu membenarkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Dan ia menjadi petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang yang beriman"
Surah Al-Baqarah Ayat 97

Monday, August 1, 2011

Matlamat Puasa


"Islam dibina atas lima dasar iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan melaksanakan haji di Baitullah bagi yang mampu"
Hadith Muttafaq alaih

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah, baru sahaja menjejak ke bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, kemuliaan dan keampunan iaitu bulan Ramadhan. Bermakna inilah Ramadhan yang ke-25 saya sempat temui. Bulan yang dimana disyariatkan kita berpuasa yang mana ianya menjadi rahsia antara hamba dengan Tuhanya. Tidak ada yang mengetahui dia berpuasa kecuali Allah swt. Ini bermakna, ibadat puasa memiliki pahala yang agung dan juga balasan yang besar. Kerana ia adalah ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah swt dan mencari keredhaanNYA. Yang dimaksudkan dengan puasa mendekatkan diri kepada Allah swt adalah kita tidak makan dan minum seperti Allah swt yang tidak berkehendakkan makan dan minum.

Dalam hadiith qudsi, ada disebutkan:

" Seluruh amalan anak adam menjadi milikNYA kecuali puasa. Sesungguhnya puasa menjadi milik-KU dan AKU yang akan membalasnya"
Hadith an-Nabawi as-Syarif

"Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu "
Hadith riwayat al-Bukhari

Taqwa adalah matlamat ibadat puasa itu. Ini jelas digambarkan didalam Al-Quran didalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa"

Puasa adalah medium untuk mendidik kita gar menjadi insan bertaqwa. Iaitu kita mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-NYA. Ini dapat direalisasikan dengan melalui ibadah berpuasa yang mulia ini.

Perlu kita ingat bahawa, puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi juga mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, melakukan maksiat dan pelbagai perbuatan yang menjerumuskan kita dalam dosa. Baik kecl mahupun dosa besar.

Ini mengambarkan kita seolah-olah berada didalam sebuah institusi latihan untuk membentuk diri supaya akhir latihan kita nanti, kita memperolehi gred Taqwa selari dengan matlamat puasa itu. Dan setelah itu, kita masing-masing perlu mengekalkan gred ketaqwaan itu pada baki 11 bulan berikutnya. InsyaAllah.

Maka, adakah matlamat kita di bulan Ramadhan tahun ini sama seperti matlamat yang disebutkan didalam Al-Quran?

Dari Abu Hurairah r.a berkata. Sesungguhnya Rasululullah saw bersabda : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan berapa ramai yang malakukan qiammualail, tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali bangun malam"
hadith riwayat Imam Ahmad

Oleh itu, mahukah kita berpuasa dengan hasil yang cuma mendapat lapar dan dahaga? ianya seolah-olah mengambarkan kita berpuasa dalam keadaan kita jahil dan juga mungkin kita berpuasa hanya sekadar untuk melunaskan tuntutan sebagai muslim. Walhal kita sepatutnya melakukan setiap ibadat termasuk berpuasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt, takut pada Allah swt, cintakan Allah swt dan kasih kepada Muhammad saw.

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari saya Mohd Shafiq Bin Bakar @ alsyarqawi

Saturday, June 18, 2011

Isra' wa Mi'raj : Tentang Solat


Mafhum firman Allah swt:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)

Isra' dan Mi'raj adalah peristiwa yang sangat luar biasa da agung juga adalah peristiwa dimana diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw pelbagai gambaran dan pemandangan alam ghaib yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di dalam alam zahir dan kehidupan para hambaNYA.

Bermacam keadaan yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw.

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Nabi diperlihat keadaan umatnya yg menghentak kepala dengan batu sehingga pecah batu itu. Jibrail memberitahu kepada Rasulullah S.A.W : Itu orang-orang yang berat kepala untuk bersujud ( solat ).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail : Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • usia dunia yg menanti akhirat seumpama seorang tua yang bongkok tiga.
  • dan banyak lagi peristiwa yg sepatutnya kita terapkan kedalam diri kita dan umat Islam.
Peristiwa ini adalah satu berita gembira dan peringatan bagi mereka-mereka yang mahukan seluruh kehidupanya sentiasa mengejar-ngejar kebaikan dan keredhaan-NYA.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari mencari keredhaan Allah swt. Sesungguhnya Isra' dan Mi'raj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah saw yang istimewa disisi Allah swt.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuahmadrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemulian dalam menempuh kesesakan hidup samada hiruk pikuk dan kejahatanya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memiliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagian dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkanya, maka dia akan memperolehi kecelekaan dan kerugian.

Allah swt telah memfardhukan solat ke atas hamba-hamba-NYA yang beriman supaya ia menjadi penghubung antara seorang hamba dengan Penciptanya. Solat juga merupakan satu peringatan tentang keagungan-NYA dan tanda syukur hambaNYA atas nikmat yang dicurahkan-NYA.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagian di dunia dan diakhirat. Sabda Rasulullah saw bermaksud :

"Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari akhirat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalanya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalanya yang lain"
(Diriwayatkan oleh al-Tabrani)

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan kusyu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa dimana seorang hamba itu sentiasa berasa ingin dekat/muqarabah kepad-NYA.

Solat yang sempurna dan kusyu' akan membuatkan seorang hamba itu berasa takut kepada Allah, bertaqwa kepada Allah, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelekaaan dan bersykur dengan nikmat yang diberikan dan dikurniakan.

Firman Allah swt dalam surah al-Ma'arij ayat 19-23 yang bermaksud :

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut;kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya"

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka dalam kesibukan dan urusan seharianya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikanya dengan khusyu', akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Allah swt.

Sabda Rasulullah saw bermaksud:
" Sesungguhnya setiap sola itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapanya" (Riwayat Imam Ahmad dan Al-Tabrani)

Sabda Rasulullah saw lagi bermaksud:

" Sesiapa mengetahui solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga"
( Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufiq dan kebaikan serta akan diazabkan selepas lematianya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Maka kamu, Mohd Shafiq Bin Bakar dan kalian yang membacanya! Bertqawalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan kusyu'. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikanya walaupun disebabkan kesibukan, kepanasan, kesejukan, kelaparan, sakit, keletihan, mengantuk dan sebagainya.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian bersronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermuhajadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kerajaan tidak menyibukan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah swt yang bermaksud :

" (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imanya yang tidak lalai oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALlah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari kiamat yang ada padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahkan mereka lagi dari limpah kurniaNYA; sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dengan tidak terhitung".
(An-Nur ayat 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibnu Amru berkata, pada suatu hari Nabi Muhammad saw menyebut solat denga sabdanya yang bermaksud:

"Sesiapa yang memelihara solatnya, maka baginya cahaya, petunjuk kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, amaka tiada cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia kaan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf"
( Riwayat al-Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abu Huarairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:

"Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai dipintu rumah salah sorang kalian, dia mandi didalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badanya?" Sahabat menjawab " Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal" Sabda Baginda saw,"Begitu jugalah perumpaanya dengan solat lima waktu yang denganya Allah menghapuskan dosa-dosanya".
(Rwayat al-Bukhari dan Muslim )

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah saw bagi menunjukkan kepada kita tentang ketingginan martabat Rasulullah saw sebagai kekasaih Allah swt. Dan juga menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebasaran Allah swt.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga dapat menghayati hikmat dan mpengajaran disebalik peristiwa agung, Isra' dan Mi;raj. Bukan hanya indah ditarikh kalender tetapi sebenarnya diambil sebagi satu pengajaran yang penuh pengajaran dan himah.

Inilah Islam yang mendidik umatnya dengan cara penuh himah. Ia seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar mengingati Allah swt dan takut kepada-NYA.

Wallahu 'alam

Thursday, March 31, 2011

teNgaH susaH hati...

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imanya) iailah mereka apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNYA) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Allah jualah mereka berserah" [Al-Anfal ayat 2]

"Ketahuilah, bahawa didalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad itu. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati" [ Bukhari dan Muslim]


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzil ah Kamsah.

1.. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih”

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tido– Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah “Qulhuwaallah” sebanyak 3X.

5. Berma’af-ma’afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tido, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – CUBALAH!!).

-ada lagi pesananya. yang ini je saya titipkan.

Wednesday, September 29, 2010

iklan sebentar..?


(42:20) sesiapa Yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah Yang dikehendakiNya; dan sesiapa Yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar Yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.

(4:114) tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang Yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. dan sesiapa Yang berbuat demikian Dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala Yang amat besar.

....perjuangan tidak mengenal erti keletihan..letih yang bagaimana dimaksudkan itu?.diri bertanya dan "koreksi diri" supaya tidak terlalu terikut dek buaian nafsu..bagaimana pula dengan imanku hari ini?..bukan untuk menilik dan meneroka kelemahan diri tetapi mahu memperbaiki kelemahan diri..apa maksud kata-kataku ini?..Allahu Akbar,.terasa penat rupanya aku sehingga banyak "iklan" keluar sebagai ingatan untuk aku..

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman."
Al-Imran : 139


Sunday, August 8, 2010

Anak Bulan


Assalammualaikum..

Alhamdulillah wa syukr lillah..

Ramadhan kembali lagi. Kembalinya Ramadhan bukan untuk didatangi seperti biasa. Tetapi jauh dari luar biasa. Masakan Ramadhan kali ini disambut seperti Ramadhan yang lepas. Mungkin ini Ramadhan yang terakhir bagi kita yang mana mungkin kita tahu masih adakah lagi "kita" di Ramadhan tahun hadapan. Jika ianya terakhir bagiku.

Saya ingat lagi nota yang saya catitkan ketika saya didalam penerbangan dr KLIA-Langkawi. Saya memikirkan tentang Ramadhan di Malaysia. Kerana disini negara saya dilahirkan dan dibesarkan. Kebudayaan dan mungkin juga "respon" bagi mereka ketika datangnya Ramadhan. Apabila datangnya bulan yang sangat sarat dengan keberkatan ini, ada tiga macam golongan dengan setiap golongan ini dengan reaksi yang pelbagai. Pertama apabila datangnya Ramadhan golongan ini akan zahirkan "Bulan pose, biase je"..yang kedua pula" pose dah dekat? aduhh..mesti letih. Tak larat la macam ni". Study yang bg study. Keje yg bg keje. Yang ketiga pula adalah gologan yang lain2. Lain-lain disini adalah mungkin mereka ternanti-nanti Ramadhan (alhamdulillah), ada yang bila datang Ramadhan, boleh buat duit! dan tak lupa pula bila datang Ramadhan "Bang, kena tukar langsir baru la bang"...inilah macam-macam cerita bila datangnya Ramadhan di Malaysia.

Sebenarnya bilamana kita melihat pada kedatangan Ramadhan itu dari cara kita, maka kita akan raikan Ramadhan dengan cara tersebut. Kalau biasa, biasa la. kalau letih, letih la. Kalau kita melihat kedatangan ini suatu yg dinanti, dan Ramadhan ini penuh dengan tawaran menarik, ganjaran yang lumayan, maka persiapan dan penerimaan Ramadhan juga akan disempurna dengan lebih baik.

Inilah yang dikatakan puasa biasa, puasa pertengahan dan puasa sempurna. Dimanakah saya dan kalian berada?, kita yang tentukan sebenarnya...

Saya tidak mahu menghurai dengan panjang tentang Ramadhan ini kerana penghayatan tentang Ramadhan banyak terdapat di ruang-ruang media bercetak mahupun eloktronik, dengan ceramah Ramadhan, buku-buku berkenaan Ramadhan. cukuplah dengan saya katakan bulan Ramadhan ini satu proses untuk tarbiyah diri. satu bulan yang sangat-sangat kena manfaatkan dengan sebaik mungkin...InsyaAllah...

Saya tidak tahu bila lagi boleh keluarkan entry diblog saya. Jadi dikesempatan ini saya ucapkan Selamat menyambut kedatangan Ramadhan, selamat mengisi peluang-peluang yang ada di Ramadhan. Sama-sama kita lakukan. Maaf zahir dan batin dari saya Ibn Bakr Al-Syarqawi..

Salam Ramadhan Al-Mubarak. Bulan Ramadhan Bulan Al-Quran

*nak balik kedah. berpuase disana. lama tak balik kampung. kena balik la. kalau jadi urusan disana mohon dipermudahkan(keberkatan Ramadhan). Aamiin....-:)