Sunday, August 7, 2011

Balik Kampung

"Hang balik lusa pit?" tanya ayah ku. Kami dalam perjalanan balik dari Masjid setelah selesai solat Solat Isya dan Taraweh. "Esok la ayah. jumaatkan." jawab aku sambil tangan memengang stareng Viva kakakku. "Laa..esok jumaat dah. Sat betui. Dah lima malam dah taraweh. Tak terasa" terang ayah.........

Alhamdulillah, selamat jugak sampai SP ( Sungai Petani ). 12.30 tgh mlm, sampainya 4.20 pg. Lama dah tak balik kampung. Mujur ada kampung. Kalau tak, rugi. Ahh..memang tak terasa dek masa yang berlalu. Tup, tup dah masuk hari ke 7 dah hari ni. Patutla promosi raya makin sakan. ish ish ish.

Balik ni pun sebabnya nak meneman Mak mengemas rumah disini. Mak kata nak basuh itu dan ini. Saya? tak de nak basuh ape. Cuma bila dok geledah-geledah barang, terjumpa cat yang tak guna la. Cat minyak warna hitam. "boleh cat pagar rumah ni" detik hati. Rasanya dah bertahun tak cat pagar tu. Warna pun dah bertukar jadi macam pagar rumah tak de penghuni. Dah selesai cat, tak cukup pulak. Ada suku bahagian lagi. Sambung esok sahaja la...

Bazar ramadhan di Sungai Layar, huh awal macam di KL jugak bukanya. Banyak juadah! itu sememangnya dinantikan. Emm..boleh tengok je la. Nak beli? Maafla, dah tau tak habih kalau beli lebih dua jenis. Beli jugak lauk untuk sahur ahad pagi. Ayam percik dah la. Mak beli gulai daging. Sayur ada kat rumah, boleh masak sayur lagi. Bali dari bazar, sempat mesin rumput. "hah, clear dah. Dah macam padang kat Old Trafford, Man Untd" senyum sendiri.

"Boleh jadi imam dik? Imam malam ni lambat sikit sampai". Pinta pengerusi surau taman saya. " Solat taraweh sini 8 rakaat?" tanya saya. " Kita buat dua puluh" jelas Pak Mokhtar. "Ok la. Tapi kalau imam sampai, saya kene berundur la" kata saya. Sememangnya nak berundur pun, dah janji dengan Mak, nak bawa gi Tesco. Nak beli sabun katanya. Hari Sabtu, Tesco tutup pukul 1 pagi. Jadi solatla kat surau taman je, tak sangka pulak buat 20 rakaat....Nak masuk rakaat ke-9,10 saya tengok jam dah menunjukkan pukul 10mlm. "Lambat ke panjang aku baca?"bisik hati. Habis sahaja 10, saya menoleh kebelakang, isyarat imam jemputan surau dah sampai. "Ni budak sekolah ni. Tahfiz ni" kenyataan yang dikeluarkan hasil "scanning" yang dibuat oleh saya. Bagus jugak, orang yang berhak jadi imam, wajib jadi imam sepertimana tertulis didalam senarai urutan untuk jadi Imam dalam Kitab Fiqh Muyassar Imam Syafie. Saya pun minta untuk tukar sebabnya nak balik. Emak mesti menunggu punya.

Hari ahad. Cadangnye nak selesaikan yang tak siap...Bas petang ni pukul 6 petang. Naik Tran jugak. Sebabnya? senang, berhenti di Jalan Duta, tak jauh nak ke rumah. 5 minit sahaja dengan Penchala Link. Tapi RM2 tolnya, huh bila la nak turun......

Tuesday, August 2, 2011

Bukit Tabur East

Alhamdulillah. Malam ni malam ke-3 Solat Taraweh. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya dan ayah akan bersolat di Masjid At-Taqwa, TTDI. Memang dari kecik macam ni. Mungkin sebab di At-Taqwa solatnya 20 rakaat lepas tu parking pun senang, suasana pun selesa. Solat Maghrib pulak di AL-Ghufran. Itu pun berbuka sikit, lepas tu terus gi jemaah. Itu cerita bila Ramadhan menjelang. Ramadhan kali, akhirnya dapat jugak balik pukul 4.30ptg. Jd sempatla solat Asar di Al-Ghufran, lepas tu oleh terus ambil bubur Lambuk. Bukan lombok eh. Bubur lambuk ni memang dah jadi kemestian masa berbuka. Bila lagi nak rasa, nak buat sendiri? emm beli bubur ayam Maggi la gamaknya. Ape pun, saya berharap diberikan kesihatan yang baik dalam menghadapi bula yang penuh barakah ini. Teringat semalam, lepas solat Teraweh, ibu kepada Ustazah saya msa di SRA TTDI, meninggal dunia. Lepas taraweh, diadakan solat jenazah. ucapan takziah buat Ustazah Asma dan keluarga. Ustazah yang sampai ke hari ni hubunganya dengan keluarga saya masih utuh. Kami 7 org adik beradik, semua pernah diajar olehnya.

Semalam, bila tengok berita bahawa saudara di Iraq berpuasa dalam keadaan cuaca disana 51 darjah celcius. Sehinggakan terpaksa mencurahkan air paip ke badan untuk menyejukkan badan. Ada yang berendam di Sungai Tigris pun ada. Masyaallah..Kat Malaysia ni baru 40 darjah, saya dah gi cari ABC dah. Konon nak bagi sejuk la. Sedare kat tempat lain, lain pulak ceritanya. Syria dengan pergolakkanya, Libya pun sama, Palestine lagi. Nampaknya tak enak jika saya merasa selesa sepenuhnya walaupun hakikatnya memang selesa kerana mereka disana cukup tersempit, kekurangan dan sebagainya. Ya Allah, ibadah puasa adalah milik-MU, maka Engkaulah selayaknya membalasnya.

Sebelum puasa, sempat jugak gi panjat Bukit Tabur dan join Kejohanan Futsal. Cerita sikit bab panjat bukit, kali ni Bukit Tabur East. Ketinggian lebih kurang 900 kaki. Tinggi sikit dari Bukit Tabur west. Cumanya kali ni lebih mencabar. Permukaan batuan banyak, dan agak sempit sedikit. Walaubagimana pun, ianya tetap mencabar dan menarik. Alhamdulillah, pergi dan balik dalam keadaan selamat. Terima kasih Ya Allah diatas kesempatan yang diberi, tidak tahu adakah selepas ini diberi kesempatan seperti ini lagi.

Minggu akhir sebelum Ramadhan cukup mendesak, penat. Bermula Isnin, Selasa, ada latihan di Padang Merbok untuk perlawanan persahabatn dengan pasukan KeTTHA di Mardi pada, Serdang pada hari rabunya. Dan keputusanya seri 2-2. Tercapai jugak misi. Khamis dan Jumaat, persiapan akhir untuk Kejohanan Futsal anjuran Jabatan. Mano tidaknye, den kono uruskan hadiah. Piala Pusingan nak poei tompah lagi, medal, saguhati. Ponat jugak la. Monang ke? dapat no.2. Team den kaloh masa final dengan team dari Jabatan sendiri. Team den, team A, kalah dengan Team B. Abang kalah dengan adik la kiranya
, sampai bengkak kepala ni dek accident dengan tiang gol. Nak kata terhantuk pun boleh, langgar pun ianya jugak, terbabas dan merempuh pun macam betul jugak....... Itu tak termasuk bab kerja. Masalah tak banyak, tapi berat. Hendak berurusan dengan orang ramai terutama dari kalangan kontraktor, engineer ini hanya disebabkan kesulitan yang dihadapi bukan sonang. Kene tobalkan muka juga. Sehingga hari ini masalah itu masih lagi ada dan belum dapat diselesaikan. Memang tak boleh nak duduk diam la selagi tak selesai. Ya Allah, berilah aku kekuatan dan ketabahan. Mohon keberkatan di Ramadhan ini.

Inilah serba sedikit cerita saya malam ni, sebenarnya nak buat minit mesyuarat, tertinggal pulak nota kat pejabat. Terpaksa la minit benda lain....Selamat Berpuasa.


Monday, August 1, 2011

Matlamat Puasa


"Islam dibina atas lima dasar iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan melaksanakan haji di Baitullah bagi yang mampu"
Hadith Muttafaq alaih

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah, baru sahaja menjejak ke bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, kemuliaan dan keampunan iaitu bulan Ramadhan. Bermakna inilah Ramadhan yang ke-25 saya sempat temui. Bulan yang dimana disyariatkan kita berpuasa yang mana ianya menjadi rahsia antara hamba dengan Tuhanya. Tidak ada yang mengetahui dia berpuasa kecuali Allah swt. Ini bermakna, ibadat puasa memiliki pahala yang agung dan juga balasan yang besar. Kerana ia adalah ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah swt dan mencari keredhaanNYA. Yang dimaksudkan dengan puasa mendekatkan diri kepada Allah swt adalah kita tidak makan dan minum seperti Allah swt yang tidak berkehendakkan makan dan minum.

Dalam hadiith qudsi, ada disebutkan:

" Seluruh amalan anak adam menjadi milikNYA kecuali puasa. Sesungguhnya puasa menjadi milik-KU dan AKU yang akan membalasnya"
Hadith an-Nabawi as-Syarif

"Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu "
Hadith riwayat al-Bukhari

Taqwa adalah matlamat ibadat puasa itu. Ini jelas digambarkan didalam Al-Quran didalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa"

Puasa adalah medium untuk mendidik kita gar menjadi insan bertaqwa. Iaitu kita mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-NYA. Ini dapat direalisasikan dengan melalui ibadah berpuasa yang mulia ini.

Perlu kita ingat bahawa, puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi juga mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, melakukan maksiat dan pelbagai perbuatan yang menjerumuskan kita dalam dosa. Baik kecl mahupun dosa besar.

Ini mengambarkan kita seolah-olah berada didalam sebuah institusi latihan untuk membentuk diri supaya akhir latihan kita nanti, kita memperolehi gred Taqwa selari dengan matlamat puasa itu. Dan setelah itu, kita masing-masing perlu mengekalkan gred ketaqwaan itu pada baki 11 bulan berikutnya. InsyaAllah.

Maka, adakah matlamat kita di bulan Ramadhan tahun ini sama seperti matlamat yang disebutkan didalam Al-Quran?

Dari Abu Hurairah r.a berkata. Sesungguhnya Rasululullah saw bersabda : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan berapa ramai yang malakukan qiammualail, tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali bangun malam"
hadith riwayat Imam Ahmad

Oleh itu, mahukah kita berpuasa dengan hasil yang cuma mendapat lapar dan dahaga? ianya seolah-olah mengambarkan kita berpuasa dalam keadaan kita jahil dan juga mungkin kita berpuasa hanya sekadar untuk melunaskan tuntutan sebagai muslim. Walhal kita sepatutnya melakukan setiap ibadat termasuk berpuasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt, takut pada Allah swt, cintakan Allah swt dan kasih kepada Muhammad saw.

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari saya Mohd Shafiq Bin Bakar @ alsyarqawi

Sunday, July 3, 2011

Manisnya gula, tetapi Iman?

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi dan Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, terdapat tanda-bagi ulul albab ( golongan yang berfikir). Iaitu mereka yang mengingai Allah semasa berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka bertafakkur ( berfikir dengan mendalam ) tentang penciptaan langit dan bumi [ lalu mereka berkata ] " Wahai Tuhan kami, Engkau tidak jadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau ( Ya Allah ), lindungilah kami dari azab api neraka.

Surah Ali-Imran ayat 189-191

Nikmat iman adalah satu nikmat yang besar dianugerahkan Allah swt kepada kita dalam menjalani kehidupan agar lebih damai, harmoni dan tenang. Makanya tahap tingkatan dan kemanisan ini harus dimiliki dengan tingkatan kasihnya kita kepada Allah swt, RasulNYA mengatasi segalanya disamping kasih kepada manusia. Inilah cara yang terbaik dalam mencari keredhaan Allah swt dalam kehidupan di dunia seterusnya bekalan dalam menuju akhirat yang abadi.

Kekufuran tidak sepatutnya terjadi dan maksiat mesti cuba di elakkan oleh kita sebagai seorang yang beriman. Kerana tanpa iman, perkara demikian akan berlaku dan ini membuktikan bahawa kita lupa akan nikmat yang Allah swt kurniakan serta kita lupa bahawa Allah swt jualah yang menciptakan kita. Seandainya berlaku, kita membuktikan bahawa kita tidak bersyukur dan kita "terlupa" pada tujuan penciptaan kita di dunia sebagai khalifah-NYA.

Sabda Nabi saw yang bermaksud :

"Tiga perkara yang menyebabkan merasai kemanisan iman, Allah dan RasulNYA hendaklah dicintai melebihi segalanya, mencintai manusia hanya semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka"

( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Berdasarkan hadis diatas, begitu tingginya tahap kemanisan iman itu harus dicapai oleh saya dan kita. Jika ianya dapat dicapai, InsyaAllah, kita akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam keadaan kedamaian, ketenangan, merasai keinginan dan kelazatan lidah untuk sentiasa berzikir mengingati Allah swt. Keimanan ini membuatkan kita menjadikan Al-Quran sebagai dustur(panduan) hidup yang mana mukjizat terbesar ini sentiasa mendidik dan mengajar kita dalam membentuk iman yang sempurna.

Keimanan yang dimiliki mampu mendidik kita mengenal dan menyakini perkara-perkara ghaib yang sememangnya wajib dipercayai dan yakini melalui keimanan kita melalui rukun Iman. Ianya meliputi kepercayaan dan keyakinan kita kepada hari akhirat, Qada' dan Qadar, para Malaikat, Syurga dan azab Neraka, Dosa dan Pahala. Keimanan ini antara lain memberikan keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan dari Allah swt dalam segala urusan dunia dan akhirat. Ini sebenarnya mengingatkan kepada kita bahawa adalah satu kewajipan dalam kita untuk mentaati Allah dan hukum yang telah diputuskan. Iman mendidik kita untuk mencintai Allah swt dan Rasulnya serta Ahl Bait.

Iman adalah satu elemen yang penting dalam memotivasikan diri dengan kekuatan rohani dan semangat untuk terus tekun dalam usaha, menempuhi ranjau kehidupan supaya saya dan kita tidak bergantung semata-mata hanya kepada taqdir dan berserah sebelum berusaha dan mencuba dalam mencapai kejayaan hidup dan kebaikan di dunia dan di akhirat. Iman yang mantap akan menjadikan kita supaya tidak lupa bahawa kepentingan hidup di akhirat ketika kita hidup di dunia ini.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada (kebahagian) akhirat dan janganlah kamu lupa kebahagian dari nikmat dunia dan berbuat baiklah sepertimana Allah berbuat baik terhadapmu"

Surah Al-Qasas ayat 77

Makanya, Kesempurnaan Iman memainkan peranan dalam kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan Iman merupakan faktor yang penting dalam mendidik serta membentuk sahsiah diri yang teguh dan berakhlak, berakal serta mampu memperlihatkan teladan yang baik seterusnya dapat dicontohi.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:-

"Tidak sempurna iman sesorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu : menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain"

( Riwayat Ahmad )

Friday, June 24, 2011

Cerciter

الحمد الله و الشكر لله

Selamat dah satu ujian getir hari ni. Bermula hari ini, esok dan Ahad dan seterusnya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad minggu hadapan. Kertas pertama adalah kertas undang-undang sememangnye menjadi penentu kepada PNGK semester. Takut jugak bilamana Prof. Madya Dr. kata tiap semester mesti ada yang tak lulus. Sejak awal semester dok jadi mimpi mengerikan sahaja. Almaklumlah, bila bercerita tentang undang-undang ni, Perlembagaan Malaysia, Akta, Enakmen, Ordinan, Rang Undang-undang, Mahkamah la, mesti jumpa punya. Itu tidak termasuk pecahanya lagi. Sakit kepala dibuatnya. Begitulah juga subjek lain, begitu jugak fiqh. Masing-masing ada cabaranya. Terpulang bagaimana diharungi cabaranya. Dah itu pilihanya, maka mesti hadapi juga apa yang datang. Dan saya sudah pun melihat subjek yang akan saya "nikmati"ketika saya memilih untuk sambung di peringkat ini, bidang ini. Berkerut-kerut muka ketika itu..

Minggu ni tak boleh nak sertakan diri untuk bersukan. Futsal minggu ini pun tak ade. Lega jugak. Macam tau-tau aje ada peperiksaan minggu ni. Mendaki bukit? minggu ni tidak. Sebab tak cukup orangnya. Ingat nak daki bukit sebelah Bukit Tabur iaitu Bukit ? ntah, lupa dah saya namanya. Tapi agak pelik jugak la namanya. Bukit itu pun jenis berbatu jugak. Ni ala-ala climbing jugak. Climbing tak ade tali. Kalau tapak kasut, tapak tapak tak grip, habih la. Jadi penerjun berani mati la gamaknya. Ada lima puncak nak ditawan. Subhanallah, Maha Suci Allah sangat indah dan kebesaran ciptaanMU. Memang cantik pandangan dari atas.

Ape pun ni sebenarnya persediaan nak gi Mendaki Gunung Kinaballu pada hujung bulan September ni. Masalahnya, kelulusan dari Mak Ayah pun masih "pending". Nak buat rayuan sebenarnya. Permohanan pertama tak lulus, ni nak hantar balik proposalnya. Kali ni lagi mantop isinya. Hari tu tak de proposal, tu yang kena "reject" terus. Sememangnya impian nak tawan puncak tertinggi gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara. Saya masih lagi mencari maklumat yang saya perlukan berkenaan Gunung ini.


Futsal? cerita tentang futsal ni minggu kedua ada kejohanan yang dianjurkan oleh jabatan. Ada beberapa agensi yang telibat di bawah KeTTHA seperti IWK, SPAN, JBA dlln lagi. Terget? mesti nak menang punya. Insyaallah. Mohon kepada Allah swt agar diberi kekuatan dalam menempuh segalanya dan diberi kemudahan dalam apa jua urusan. Baik dalam urusan dunia mahupun urusan menuju akhirat. Mohon juga kepada Allah swt agar tetapkanlah hubungan yang ada agar ianya teguh dan berkekalan.

Saturday, June 18, 2011

Isra' wa Mi'raj : Tentang Solat


Mafhum firman Allah swt:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)

Isra' dan Mi'raj adalah peristiwa yang sangat luar biasa da agung juga adalah peristiwa dimana diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw pelbagai gambaran dan pemandangan alam ghaib yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di dalam alam zahir dan kehidupan para hambaNYA.

Bermacam keadaan yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw.

  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Nabi diperlihat keadaan umatnya yg menghentak kepala dengan batu sehingga pecah batu itu. Jibrail memberitahu kepada Rasulullah S.A.W : Itu orang-orang yang berat kepala untuk bersujud ( solat ).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail : Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • usia dunia yg menanti akhirat seumpama seorang tua yang bongkok tiga.
  • dan banyak lagi peristiwa yg sepatutnya kita terapkan kedalam diri kita dan umat Islam.
Peristiwa ini adalah satu berita gembira dan peringatan bagi mereka-mereka yang mahukan seluruh kehidupanya sentiasa mengejar-ngejar kebaikan dan keredhaan-NYA.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari mencari keredhaan Allah swt. Sesungguhnya Isra' dan Mi'raj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah saw yang istimewa disisi Allah swt.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuahmadrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemulian dalam menempuh kesesakan hidup samada hiruk pikuk dan kejahatanya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memiliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagian dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkanya, maka dia akan memperolehi kecelekaan dan kerugian.

Allah swt telah memfardhukan solat ke atas hamba-hamba-NYA yang beriman supaya ia menjadi penghubung antara seorang hamba dengan Penciptanya. Solat juga merupakan satu peringatan tentang keagungan-NYA dan tanda syukur hambaNYA atas nikmat yang dicurahkan-NYA.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagian di dunia dan diakhirat. Sabda Rasulullah saw bermaksud :

"Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari akhirat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalanya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalanya yang lain"
(Diriwayatkan oleh al-Tabrani)

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan kusyu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa dimana seorang hamba itu sentiasa berasa ingin dekat/muqarabah kepad-NYA.

Solat yang sempurna dan kusyu' akan membuatkan seorang hamba itu berasa takut kepada Allah, bertaqwa kepada Allah, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelekaaan dan bersykur dengan nikmat yang diberikan dan dikurniakan.

Firman Allah swt dalam surah al-Ma'arij ayat 19-23 yang bermaksud :

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut;kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya"

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka dalam kesibukan dan urusan seharianya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikanya dengan khusyu', akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Allah swt.

Sabda Rasulullah saw bermaksud:
" Sesungguhnya setiap sola itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapanya" (Riwayat Imam Ahmad dan Al-Tabrani)

Sabda Rasulullah saw lagi bermaksud:

" Sesiapa mengetahui solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga"
( Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufiq dan kebaikan serta akan diazabkan selepas lematianya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Maka kamu, Mohd Shafiq Bin Bakar dan kalian yang membacanya! Bertqawalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan kusyu'. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikanya walaupun disebabkan kesibukan, kepanasan, kesejukan, kelaparan, sakit, keletihan, mengantuk dan sebagainya.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian bersronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermuhajadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kerajaan tidak menyibukan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah swt yang bermaksud :

" (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imanya yang tidak lalai oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALlah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari kiamat yang ada padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahkan mereka lagi dari limpah kurniaNYA; sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dengan tidak terhitung".
(An-Nur ayat 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibnu Amru berkata, pada suatu hari Nabi Muhammad saw menyebut solat denga sabdanya yang bermaksud:

"Sesiapa yang memelihara solatnya, maka baginya cahaya, petunjuk kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, amaka tiada cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia kaan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf"
( Riwayat al-Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abu Huarairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:

"Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai dipintu rumah salah sorang kalian, dia mandi didalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badanya?" Sahabat menjawab " Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal" Sabda Baginda saw,"Begitu jugalah perumpaanya dengan solat lima waktu yang denganya Allah menghapuskan dosa-dosanya".
(Rwayat al-Bukhari dan Muslim )

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah saw bagi menunjukkan kepada kita tentang ketingginan martabat Rasulullah saw sebagai kekasaih Allah swt. Dan juga menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebasaran Allah swt.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga dapat menghayati hikmat dan mpengajaran disebalik peristiwa agung, Isra' dan Mi;raj. Bukan hanya indah ditarikh kalender tetapi sebenarnya diambil sebagi satu pengajaran yang penuh pengajaran dan himah.

Inilah Islam yang mendidik umatnya dengan cara penuh himah. Ia seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar mengingati Allah swt dan takut kepada-NYA.

Wallahu 'alam

Sunday, June 12, 2011

adakah aku hamba Allah?

"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran pada mereka itu dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka itu berita gembira pada kehidupan di dunia dan di akhirat. Tiada ada perubahan pada janji-janji Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar"
(QS Yunus 62-64)

Dah masuk bulan ke-6 tahun 2011. Bermakna dah setengah tahun dalam 2011 ni. Ape cerita 6 bulan ni? ce citer..dalam kalender masihi bulan ke-6 adalah bulan Jun dan didalam bulan Islam, adalah bulan Rejab. Nak dekat dah dengan Ramadhan Al-Mubarak. Kojap je rase. Tak soba dah, tapi tak soba nak puaso ke atau tak soba nak main bunga api?

Bila sebut tentang bulan rejab ni, masjid seluruh msia ni sibuk dok adakan ceramah "Isra Mikraj". Itu sudah semstinya. Bermacam-macamlah kita akan jumpa bentuk penyampaian dan pengajaran, kalau boleh kaut aje semua tu. Sebab dalam peristiwa inilah banyak "hint" untuk kita tekan butang "standby" dalam diri mahupun kehidupan. Kerana didalam peristiwa ini, banyak yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad saw. Kena amik tau tentang itu. Apakah balasan yang kita dapat jika melakukan perkara demikian. Perkara apa? gi la ceramah tu. Tahu la nanti.

Isra' Mikraj, peristiwa yg berlaku ke atas Nabi Muhammad saw, satu peristiwa yang sangat luar biasa. Sangat luar biasa. Peristiwa yang berlaku dalam tempoh 1/3 malam. Nabi Muhammad saw diperjalanan oleh Allah swt dari Mekah ke Palestine. Bermakna, Allah swt berperanan dalam peristiwa ini. Ini jelas dinyatakan pada ayat pertama surah Al-Isra'. Subhanaallah.

Bagi orang kafir musyrik, mereka mengatakan Nabi Muhammad saw telah mengarang cerita palsu dan berbohong. Mereka mencemuh Nabi Muhammad saw serta mengejek baginda saw. Sebagai seorang yang beriman, kita wajib yakin dan percaya peristiwa yang berlaku ini, kerana pada peristiwa inilah ramai yang mengaku Islam dan iman akhirnya murtad sebegitu sahaja. Ada yang musyrik yang mempercayainya dan mendapat hidayah lalu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan yang beriman seterusnya mempercayainya maka bertambah kuatlah imanya. Dan orang pertama yang mempercayai kata-kata Nabi Muhammad saw adalah Saidina Abu Bakar sehingga digelar As-Siddiq.

Cuba kita melihat kembali surah al-isra', satu peristiwa yang besar yang merupakan satu-satunya kisah/peristiwa didalam al-quran yang mana Allah swt memulakanya dengan menyebut "Maha Suci Allah"(jika saya silap tolong perbetulkan). Sedangkan didalam Al-Quran banyak terdapat kisah-kisah yang besar dan agung. Didalam peristiwa ini Allah swt memulakan penceritaanya dengan kalimah "Maha Suci Allah". Lihatlah betapa luar biasanya peristiwa ini. Subhannallah. Dan yang kedua, adalah Allah swt " mengiktiraf " Nabi Muhammad saw sebagai hambaNYA, walhal boleh sahaja "bi'abdihi" ditukarkan kepada "Muhammad". "Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNYA( Muhammad ) pada malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Alqsa" Didalam beberapa kitab tafsir yang besar menyatakan bahawa kalimah "hamba" digunakan kerana Allah swt mengiktiraf Muhammad saw ini sebagai hambaNYA. Senang kecek Muhammad saw ni betul2 hamba Allah swt la. MasyaAllah..

Saya dan kalian guane kira? hambakah kita ini. Iya la. Tetapi di hadapan Allah adakah kita hambaNYA? saya dan mungkin juga kalian mengaku kita adalah hamba Allah swt. Betul itu. Tetapi mengaku pada lidah tidak cukup membuktikan bahawa kita adalah hamba Allah sedangkan kehidupan kita, perbuatan, pertuturan kita dan sebagainya tidak melambangkan kita hamba Allah. Bagaimana kita mahukan pengiktirafan sebagai "hambaNYA" sedangkan kita tidak membawa watak dan imej sebagai hambaNYA? fikir-fikirkan la buat saya dan mungkin juga kalian.....

Allah tujuan hidup kitakah?
Taatkah kita kepada Allah? Istiqamah?
Berpegang teguhkah kita pada Syariat Allah?
Cintakah kita kepada RasulNYA? para Anbiya, Aulia, Syuhada dan orang-orang soleh?
Ikutkah kita akan perintahNYA dan LaranganNYA?
Ingatkah kita pada Allah dengan ingatan yang selalu?
Pernah kita ke rumah Allah? Masjid, Kaabah,?
Adakah kita selalu berselawat ke atas junjungan Muhammad saw iaitu kekasih Allah?

Friday, June 3, 2011

Khutbah Jumaat 3 Jun 2011 - SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG PEMACU INOVASI UMMAH

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada esok hari maka tajuk khutbah pada hari ini ialah “Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Pemacu Inovasi Ummah ”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Di negara kita mengikut Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi, sebagai ketua negara, Baginda juga sebagai ketua agama Islam. Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpin itu terlalu mulia dan agong, mereka ini disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Pemimpin juga boleh disebut sebagai ketua khalifah Allah untuk melaksanakan tugasan dan amanah di muka bumi ini. Antara amanah yang perlu dilaksanakan ialah menyebar dasar Islam dengan berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandangkan status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan. Firman Allah dalam surah Saad ayat 26:
Maksudnya: “ Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu. ”

Keadilan meliputi hubungan manusia dengan dirinya, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan Allah SWT. Keadilan tidak hanya berkait tanggungjawab pemerintah dengan rakyat semata-mata tetapi juga antara rakyat terhadap pemerintah.Untuk itu sebagai umat Islam di negara ini kita merasa amat bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua negara. Yang Di Pertuan Agong, Sultan atau Raja juga sebagai ketua agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita. Baginda bukan sekadar simbol kepada negara bangsanya, malah Baginda beperanan sebagai pemacu kepada pengukuhan warga bangsa.

Pemerintahan Baginda membantu berlakunya proses pengembangan intelek dengan memacu pemikiran rakyat agar dapat hidup selari dan senafas dengan peredaran zaman serta dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa. Kepimpinan Baginda bukan sahaja dapat disaksikan menerusi kemesraan bersama rakyat bahkan sentiasa mengambil berat nasib yang melanda serta sentiasa membina kemajuan dan pembaruan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan bukti sejarah dan pemerhatian mimbar bahawa Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja memain peranan penting dalam menentukan pelaksanaan Islam dan pemacu inovasi ummah di negara ini . Inovasi Ummah secara ringkasnya merujuk kepada membina kekuatan pemikiran manusia agar ianya boleh menemukan dan menciptakan inovasi atau perkara-perkara baru bagi memperbaiki taraf hidupnya. Banyak ayat-ayat al-Quran memberi tumpuan utama kepada pembinaan akal manusia sebagai kunci kepada ilmu pengetahuan dan inovasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. ”
Umat Islam sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat bahawa dalam usaha membina kemajuan ianya memerlukan satu perubahan, tranformasi atau inovasi baru. Inovasi dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Terdapat perkaitan yang kuat bahawa ummah yang berinovasi akan mendahului zaman dan maju ke depan meninggalkan ummah yang lain. Kita merasa bangga sekiranya umat Islam hari ini diiktiraf sebagai ummah yang inovatif, kreatif dan produktif dimana atas usaha ini setiap inci bumi dan manusia akan mendapat rahmat Allah SWT . Rasulullah bersabda dalam hadithnya:

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanafaat kepada orang lain.”(Riwayat at-Tabarani)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah pandangan kita tentang pola kehidupan dengan menunjuk jalur arah yang lebih fitrah dan terarah. Walaupun proses Islamisasi di negara kita mengambil bentuknya yang amat unik dengan berlatar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama. Namun atas kebijaksanaan pemerintah agama Islam dan kemajuan ummah dapat ditegak dan dilaksana dengan sebaiknya. Bagi mengekalkan keadaan ini marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja berpelembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh mengugat atau mencemar institusi Raja- Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak kemerdekaan lagi termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Umat Islam dan rakyat sekalian juga dituntut menjaga hak-hak pemerintah yang antaranya ialah dengan menjaga kesucian masjid-masjid dibawah kuasa Sultan atau Yang Di Pertuan Agong. Sebarang pencerobohan, penghinaan atau mewujudkan suasana kacau-bilau keatas hak-hak pemerintah sangat dilarang dalam Islam. Sebagai ketua agama sudah pasti Yang Dipertuan Agong, Sultan atau Raja mahu menjaga kesucian rumah Allah ini, menentukan pengimarahannya mampu membentuk kesejahteraan rakyat, hidup bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seorang ulama Abu Abdullah menyatakan didalam kitabnya Tahzib al- Risalah bahawa: Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan ummah bertunjang kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara samada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merapak sembah atas keperihatinan Baginda dalam memertabatkan agama,memajukan negara dan menginovasikan pemikiran rakyat. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelahbagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para jemaah dan rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negara dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita doakan juga agar negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Sumber - JAKIM/khutbah

Saturday, May 28, 2011

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sempadan Rafah-Gaza dibuka semula hari ini


2011/05/28

RAFAH: Mesir hari ini membuka semula sempadan Rafah yang menghubungi Semenanjung Gaza yang membolehkan orang ramai bebas menyeberanginya untuk kali pertama selepas empat tahun.

Antara yang pertama menyeberangi sempadan itu melalui pos kawalan hari ini ialah dua kenderaan ambulans yang membawa pesakit dari Semenanjung Gaza untuk mendapatkan rawatan di Mesir, selain bas mini yang membawa ratusan pelawat.
Menteri Luar Mesir, Nabil al-Arabi pada 29 April lalu mengumumkan pembukaan semula sempadan Rafah selepas penyatuan semula kumpulan Fatah dan Hamas di Palestin. - AFP

Saya terkejut dan terharu membaca berita terbaru dari Berita Harian Online. Buka website Palestine yg lain. Semua memaparkan berita gembira ini. Alhamdulillah..

Sorotan Kuching

" Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang yang sebelum mereka Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan.Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata.Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri". (QS. 30:9)

Alhamdulillah, selamat pergi dan selamat balik dari Kuching, Sarawak. Hari khamis pagi flight Air Asia pukul 0945. Mak, akak dan Qistina hantar saya sehingga ke airport. Penerbangan selama 1 jam 45 minit ni terasa sekejap pula berbanding perjalanan dalam tempoh yg sama saya ke Labuan dahulu. Sampai disana, bas dari Kem. Pertahanan Msia(MINDEF) dah menunggu kami. lega bila sampai. Tapi masa agak cemburu. Sebab kena bersiap untuk ke Lembaga Air Kuching ( Kuching Water Board) di Batu Lintang. Perjalanan ke sana pun dah amik masa lebih kurang setengah jam. Bilamana melihat keadaan dan persekitaran sepanjang perjalanan, terasa jugak betapa diri ni mesti sentiasa bersyukur dengan kehidupan yang dikecapi dan dianugerahi ber
banding masyarakat dan penduduk disini. Agak susah dan ada kekurangan.
Bersama dengan pegawai kanan KWB (Kuching Water Board) di Sungai Sarawak Kiri. Sungai satawak ni ada dua cabang iaitu kiri dan kanan. Sungai Sarawak yang kiri diambil sebagai sumber air untuk diproses bagi kegunaan pnduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya
Bergambar kenangan sebelum balik

Balik dari KWB, masa untuk rehat. Agak penat jugak kunjungan kerja di KWB. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air ( KeTTHA ) adalah kementerian yang bertangunggjawab dalam soal air ni. Tak kira la samada penyaluran air ini diselia oleh agensi, syarikat swasta mahupun kerajaan, masyarakat mesti mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian. Bila tengok pada proses, cukup benyak. Leceh pun ada. Tapi Sarawak mewah dengan sumber air dan pengguna pun tak sehebat di semenanjung. Di semenanjung bekalan air itu ada dan banyak tetapi permintaan pun sama banyak. Msia beruntung kerana Allah swt anugerahkan air yang banyak. Buktinya, taburan hujan di Msia terlebih cukup untuk menampung dan memberikan sumber air sbg kegunaan harian. Malangnya, kita ada banyak sungai tetapi dicemari, kotor sehingga kalau nak rawat untuk air bersih pun akan menelan belanja yg sangat tinggi. Sikap masyarakat itu penting. Kawasan tadahan dan punca air kat semenanjung saya kurang tahu, tapi nak dibandingkan dengan Sarawak cukup banyak. Saya rasakan agak beruntung diberikan peluang sebegini, walhal saya hanya mempunyai latar belakang pendidikan dalam Pengajian Islam, dan saya mendapat kerja dalam bidang kewangan dan akaun dari Jabatan Akauntan Negara Msia(JANM) dan saya ditempatkan di KeTTHA. Ilmu kewangan saya belajar dan ilmu tentang air, tenaga, green tech pun ada. Menarik tu!Terima kasih Ya Allah.

Malam pertama di Kuching, saya amik kesempatan untuk solat jemaah di Masjid berdekatan. Kiri kanan hotel saya ada gereja, rumah ibadat orang Kristian. Sebab Kristian Aglicant ni kiranya top jgk di kalangan orang Iban Sarawak dan org Iban adalah peratus tertinggi di Sarawak diikuti Cina dan Melayu serta seterusnya. Jadi kalau nampak palang depa tu memang banyak la. Yang saya tau tentang Aglicant ni, made in UK la. Geng2 Ratu elizabeth tu. Sejarah kemunculan Aglicant disana. Saya berjalan hampir 1km untuk ke Masjid. Maghrib pun awal lebih krang pukul 0645 pm. Terasa kerdil bilamana berdiri menghadap Allah di rumahNYA. Melihat muslimin disana, sejuk mata memandang. Orang disana baik-baik. Balik hotel makan dulu, lepas tu melangkah kaki tengok suasana malam di Kuching, subhanallah cantik. Tapi kedai awal tutup. pukul 6@7 dah bungkus dah.

Hari kedua, pagi2 dah bangun. Subuh disana lebih kurang pukul 0500 am. Awal tu. Bersiap untuk ke Jabatan Ketua Menteri. Ada pertemuan dua hala disana sehingga tengahari. Pelbagai perkara dibincang dan dikongsikan.

Bersama Pengarah JKM

Habih di JKM, terus balik hotel, nak kena bersiap ke Masjid. 1245 pm masuk zuhur. Petang, siap balik dengan pakaian rasmi. Ada lagi travelnya. Balik dari travel dalam pukul 4 ptg, agak awal lagi. Jadi amik kesempatan gi jalan. Cuci mata. Tak ade beli apa pun. Tak tahu nak beli apa. Malam ada mesyuarat. Lewat habihnya. Dalam pukul 11 mlm. Kira dah macam pukul 12 malam. Habih mesyuarat, gi nyembang dulu dengan Ketua Pengarah Jabatan, macam-macam diborakkanya. Bilamana memikirkan soal pekerja, sangat berat hendak mengatakan itu boleh. Sebabnya sebagai kakitangan awam, Pelbagai Pekeliling dan Surat Pekeliling adalah panduan dan peraturan telah ditetapkan. Termasuk aspek kemudahan dan pelbagai lagi. Jadi, andai pekerja mahukan itu dan ini, agak sukar jika ianya melibatkan dasar. Tetapi jika sekiranya hanya melibatkan arahan dalam jabatan, sukar itu ada juga kerana perlu menundukkan barisan pihak atasan. Ini cabaran. Tapi itulah tanggungjawab. Pemimpin itu dilihat pada tanggungjawab yang dijalankanya bukan pada ketinggian darjatnya, tarafnya dan kepentinganya.

Hari ketiga, hari terakhir saya disini. Bila lagi mahu menjejajak kaki disini. Penerbangan petang ni, adalah pada pukul 1505. Pagi ini memang free habih. Perkara pertama saya lakukan, check-in dulu tiket. Nasib baik, boleh online. Habis, terus melangkah kaki ke Pasar Satok. hari Sabtu dan Ahad sahaja ada. Macam-macm dijualnya. Orang kata, kalau nak beli apa-apa, beli kat sini. Semua ada. dapatla beli 5 ekor ikan teruboknya. Itu pun jenuh mencari peniaga yang Islam. Lega bila jumpa, orang nogori, mari berhijrah berniaga disini. Jalan-jalan nampaknya. terus ke seberang sungai sarawak. Gi kedai kek lapis Dayang Salhah, org kata kedai ni terkenal. Tu yg pergi. Dapatla beli beberapa kek lapis. Nak beli banyak2 pun tak boleh, bila memikirkan beg dan bagasi, terus terbantut. Hadkan sahaja pembelianya.

Alhamdulillah, selamat dah sampai terminal LCC. akak dan mak dah sedia menanti. Flight delay selama 20 minit, jadi lambat sampainya. Huh, penatnya. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Penat!

"Ya Allah, terima kasihku kepadaMU atas segala yang KAU berikan padaKU. Jadikan aku hambaMU yang sentiasa bersyukur, hindarilah aku dari menjadi hambaMU yang kufur"


Thursday, May 5, 2011

amrina-rashada

~ KeRjA, StuDy ~

Alhamdulillah..dapat jugak coret sikit kat blog ni. Lama dah agaknya menyepi. Dek kerana menghadiri program yang dibuat. Dua minggu lepas 3 hari berulang alik kl-cyberjaya. Ada mesyuarat kerja disana. Ada sahaja system baru yang hendak diperkenalkan. Minggu lepas 3 hari di Grand Continental, Kuantan Pahang. Berkursus disana. Balik dari kursus, memandu balik ke Sg.Petani, Kedah. Lama dah tak balik. Rasa sekejap pulak dok sana. Minggu ni 2 hari di Lagend Hotel, KL. Ada bengkel Tender dan Sebut Harga. Hujung minggu ni kena sertai perhimpunan hari pekerja di Bukit Jalil. Minggu depan 3 hr di Primiere Hotel, Klang. Kena siapkan modul pengguna bg aspek kewangan kerajaan. Agak padat sedikit, sehingga tiada peluang untuk bersukan. hehe.. kelas? alhamdulillah, dah sampai penghujung. Tinggal kelas terakhir sahaje. Cuma assgment pada peringkat akhir nak disiapkan. Semester ni agak pantas pembelajaranya. Tak terkejar. Mngkin dek kerana kerja pun mendesak. Harap dipermudahkan dan diberikan kesenangan untuk menyelesaikan segala masalah dan tuntutan. Beginilah tuntutan sebagai pekerja dan pelajar. Itu tak termasuk lagi yang lebih utama, sebagai hamba kepada Allah swt, sebagai muslim. Kena uruskan sebaiknya. Tapi kalau ada "manager" bagus jugak. Yang penting, kena "fikir" dan sentiasa berfikir dalam menjalani kehidupan harian.

~ Kesihatan dan diri ~

Kesihatan? alhamdulillah, dah tak perlu makan ubat. Lega rasanya. Umur pun baru shj masuk angka 25. oh! 25? ada beberapa agenda yang digariskan untuk rancangan shafiq ke-25(RSK25). hihi..macam RMK pulak. kui.kui. Cuma tak sempat nek menjejakkan kaki digelanggang futsal.oh..

~ bAlik KampUnG ~

Minggu lepas sempat balik kampung. Malam drive balik. Sebab petang baru sampai dari Kuantan. Sepupu melangsungkan pernikahan. Kendurinya hujung Mei ini. Mungkin tak dapat nak balik. Macam ada kelas. Kena tgk dulu jadual. Kalau tak ade kelas ada agnda lain disana. Tak sempat nak pergi mana masa di kampung. Sempat pun malam terakhir. Dapat jugak main bowling di Pepsi Bowl, Taman Sejati. Sememangnya kalau balik kampung, "wajib" main bowling. Dok kl pun main jugak. Tapi ak sesakan di kampung. Disana harganya murah. Kat KL ni, huh, kadang tu pikir dua tiga kali nak main. Biasanya, main jugak. hehe..

.....................Akhirnya..........................

habih dah citer. Kalo sempat hujung minggu ni nak publish entry yang formal. Macam nak berjaga lama sket hujung minggu ni. Ada kerja nak dibuat..

~ Doaku dan Harapanku ~

Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada memohon sesuatu yang tiada aku tahu mengenainya, dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya jadilah aku daripada orang-orang yang rugi.

Ya Allah, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMU yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada ibubapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMU ke dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau membiarkan aku hidup sendiri dan Engkaulah waris yang paling baik.

Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku, sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Ya Allah, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku didalam Islam dan pertemukanlah aku dengan orang-orang yang soleh.