Monday, January 16, 2012

Pesan Nabi kita...

Daripada Abu Dzar r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : "Takuti-lah Allah di mana sahaja kamu berada; ikutilah kejahatan dengan kebaikan, kerana kebaikan menghapuskan kejahatan; dan berakhlaklah bersama manusia dengan akhlak yang baik'.
-Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim-

Daripada al-Nawas bin Sam'an r.a : Aku bertanya kepada Nabi s.a.w tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab : "Kebaikan adalah akhlak yang baik, manakala dosa ialah apa yang berdolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya
-Riwayat Muslim-

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Dua kalimah yang ringan di lisan, berat di mizan, disukai oleh ar-Rahman; Maha Suci Allah dan segala puji-pujian untuk-NYA, Maha Suci Allah yang Maha Agung"
-Riwayat al-Bukhari dan Muslim-

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda : "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa"

* saya agak keletihan semenjak ini. Kekangan tuntutan terhadap tugasan dan tanggungjawab sedikit sebanyak berjaya membuai diri saya dari memberi peringatan untuk diri. Astaghfirullahal 'azim; Aku memohon ampun kepada ENGKAU YA ALLAH. Aku khilaf dalam dalam menguruskan dunia sebagai untuk bekalan ke akhirat. Saya cuba menasihati diri agar lebih menumpukan kembali pesan kekasih-NYA " Sesungguhnya dunia itu manis dan indah. ALLAH telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal.".....Walhal aku tahu destinasi kehidupan aku adalah kubur. Atau lebih tepat lagi adalah menuju akhirat. Walaupun dilihat mati itu masih jauh tetapi sebenarnya ia adalah sangat dekat. Mana mungkin aku mampu menjamin kehidupan akan aku nikmati pada esok hari..

Adakah aku mengejar dunia? Aku mohon perlindungan-MU Ya Allah dari sifat ingin mengejar dunia...

Monday, January 2, 2012

Cabaran Buku Baru

" Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari Jin dan Manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak mahu melihat dengannya, (bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya, (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai."
Al-A'raaf Ayat 179

Bila sebut tahun baru, buku baru mesti diperkatakan. Mencipta buku baru untuk kehidupan tidak sepayah menulis sebuah buku. Sebabnya lidah mampu menutur bait-bait indah yang mungkin semuanya tidak hadir terus dari hati nurani jika tidak dihiasi iman dan taqwa.

Ianya mungkin untuk memenuhi "sebuah tuntutan" yang tiada wajibnya dalam menyambut tahun baru. Apatah lagi tahun baru masihi lebih di"agung"kan berbanding tahun Hijrah. Sukar untuk digambarkan bagaimana kefahaman kita tentang Islam. Bila melihat suasana seperti ini saya dihimpit rasa risau yang membuak kerana tahun baru Hijrah hanya sekadar tarikh cuti umum yang melintasi kalender harian. Kerisauan semakin membuak kerana takut-takut bilamana tahun baru Hijrah hanya melintasi tarikh kalender, ianya seolah-olah satu bukti bahawa masih ramai lagi di kalangan kita yang belum lagi memahami hijrah yang diertikan didalam Islam.

Masih ramai lagi yang meremehkan soal hukum didalam melaksanakan sebuah matlamat. Perlu ingat, matlamat tidak boleh sama sekali menghalalkan cara. Ingat, matlamat hidup sebagai seorang muslim hanya mencari keredhaan Allah swt (Mardhotillah). Bila sebut mencari redha Allah, setiap yang dilakukan mesti sama sekali kerana Allah swt. Mana mungkin jika tidak kerana Allah swt, perkara yang dikerja itu akan dilaksanakan sebaris dengan tuntutan Islam.

Walaubagaimana pun, buku baru adalah satu cabaran jika ianya benar-benar sebuah buku baru. Permulaanya mestilah mengandungi satu muqadimah yang memperlihatkan kesungguhan penulisnya. Buku yang menarik hasilnya dari seorang penulis yang tawadu', yang tidak sama sekali malu dalam mengakui kesilapan diri. Lantas bertaubat kepada Allah swt. Perlu ingat! Allah itu Maha Pengampun. DIA sentiasa menyediakan pada hambaNYA jalan pulang. Seluas mana sekalipun bak lautan mahupun ditambah seluas daratan yang ada, setiap dosa dan kekhilafan masih tetap boleh dibersihkan dan dibasuhkan dengan taubat yang sebenar-benar taubat. Selagi mana kita seorang muslim yang beriman, kita masih lagi mampu mencari jalan pulang jika itu dicatatkan didalam isi kandungan buku baru. Mungkin bab akhir buku baru itu boleh diletakkan sasaran untun menjadi seorang yang bertaqwa.

Maka, harus diingat buku baru tetap buku baru. Cumanya, isi kandunganya mestilah miliki roh Islam. Mana mungkin buku baru seperti buku lama dahulu isinya. Yang berbeza tajuk dan penyampaianya. Jika ianya tidak betul, di buku baru tidak betul tidak akan diulangnya. Pengalaman hidup tidak membantu jika kita tidak mengambil setiap perjalanan itu sebagai satu pengajaran dan pembaharuan serta penambahbaikan. Istilah makan garam dahulu tidak boleh dijadikan kebanggaan jika garam yang dimakan hanya sedikit yang tidak membantu merasai masin nya garam.

Apapun, lembaran buku baru tetap diteruskan dengan seperti yang dirancangkan dan diinginkan..

" Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa-bangsa ( selain umat Islam ) bersatu akan mengalahkan ( memperagakan ) kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apakah kerana sedikitnya kita ( umat Islam) pada waktu itu?.Rasulullah menjawab : " Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai ( majoriti ), tetapi kualiti kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih lautan yang di bawa oleh arus air. Allah telah mencabut dari hati musuhmu perasaan takut dari kamu dan Allah mencampakkan perasaan 'wahn' ke dalam hati kamu. Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apa yang di maksudkan 'wahn' itu?. Rasulullah s.a.w. menjawab : " Cinta dunia dan takut mati. "
Riwayat Al-Bukhari


Wednesday, December 28, 2011

1432H & 2012M: Aku Nak Jadi Lebih Baik

"Menangis bukanlah menunjukkan kelemahan diri, tapi kejujuran hati. Tiada pemandangan yang lebih indah daripada dirimu yang sedang di uji atau disakiti tapi tetap setia bermanja hati terhadap Tuhanmu"

1.Mulalah dengan mengubah diri sendiri, kita menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri kita. Ini kerana mana mungkin jika kita mahu mengajak orang lain untuk berubah sedang diri kita masih berada pada takuk yang lama. Nanti orang kata kita ni seorang yang cakap tak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

2.Mula melakukan perubhan secara perlahan-lahan dahulu. Tidak dinafikan semamangnya sukar untuk terus berubah dalam masa yang singkat atau dalam tempoh sekelip mata sahaja. Jika ia dilakukan secara perlahan, dengan izin Allah kita akan dapat berubah seperti yang kita inginkan. Walaupun perlahan, kita akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri kita.

3.Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untk tempoh yang lama. Ini kerana, semakin lama kita bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukanya. Perkara kecil akan jadi lebih besar jika ianya terus dibiarkan. Jadi ambilah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

4.Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukanya dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu memaksa diri kita untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri kita tidak dipaksa, kita seolah-olah memanjakan diri untuk berubah. Nafsu kita juga akan semakinn degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu kita dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

5.Apabila berjaya melakukan perubahan dalam diri maka kita perlu mengulangi perubahan tersebut sehingga ia akan menjadi sebati dengan diri kita. JIka perubahan itu dibirkan begitu sahaja, kita hanya berjaya untuk berubah seketika kepada takuk yang lama. Istiqamahlah! untuk kemajuan diri sendiri.

Friday, December 23, 2011

Ape kata Fiqh?

Kes murtad dibicara di mahkamah sivil

Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
kurizduan.kurahman@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada di mahkamah sivil.

“Kes murtad nanti akan berada di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam.

“Jadi, saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujarnya selepas mengadakan pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin

*Saya kecewa. Saya terpaksa menyatakan pendirian saya. Saya kurang setuju bilamana kes seperti ini dibawa ke Mahkamah Sivil. Kemungkinan keputusan sivil dari kes seperti ini sangat besar. Sedangkan ianya mesti dibicarakan di Mahkamah Syariah berikutan murtad merupakan hal yang datang dari orang Islam. Mungkin kenyataan saya akan dibidas oleh mana-mana fakta undang-undang mungkin, tapi bagaimana dari sudut Fiqh dan Syariahnya serta falsafahnya? dimana roh Islam yang boleh kita lihat pada negara yang Islam sebagai agama Rasminya?

Kelihatanya seperti saya agak rasis jika tuduhan ini dilemparkan oleh golongan yang sangat bertolak ansur dengan golongan yang lain, tetapi persoalanya dimanakah peninggalan Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya menjadi panduan sepertimana dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w diletak dan diikuti?

Saturday, November 26, 2011

Berdoalah Memohon Keredhaan Allah

Wahai Tuhanku,
Inilah hambaMU yang mengembara kembali menghadapMU,
Segala maksiat kembali kepada kebenaran,
HambaMU berdosa menghadap dengan memohon keampunan,
Ampunilah aku dengan kemurahanMU,
Terimalah aku dengan kurniaanMU,
Pandanglah aku dengan rahmatMU.

Ya Allah,
Ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu,
Dan peliharalah sisa-sisa hidupku,
Sungguh,
Segala kebaikan itu seluruhnya berada padaMU,
Dan ENGKAU adalah yang paling penyayang dan Maha Mengasihi kami.

* saya titipkan doa yang diberikan ketika mendengar ceramah malam ini yang disampaikan oleh Yg Bhg Ustaz Mohammad Kazim Al-Hafiz. Ini kali kedua didalam tahun ini saya mendengar ceramahnya secara langsung. Saya nak bercakap lama, tetapi saya perlukan masa untuk siapkan diri menjelang hari esok, esok saya akan menyertai perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC.

Berhijrahlah

Alhamdulillah, Tahun 1432H baru sahaja melabuhkan tirainya. Dan kini tahun 1433H dibuka untuk mereka yang mahu berhijrah dengan sebenar-benar hijrah,

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud ; "Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah" Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari

Bila masuk tahun baru, maka usia mula menampakkan angka yang besar, mungkin juga rezeki makin berkurang ataupun bertambah, tetapi kematian hampir pasti akan tiba walaupun tidak tahu bilakah terjadi. Dan perkara yang pasti juga akan kita bertemu adalah akhirat yang semakin hampir.

Walaubagaimana tahun berubah, didalam kelompok manakah kita sebenarnya berada. Kerana bilamana tahun baru menjelma kita pasti dapat melihat beberapa golongan dan kumpulan. Dimanakah kita?

1. Golongan yang menyambut ketibaan Ma'al Hijrah dengan sekadar lahiriah. Mereka menyedari ketibaan tahun ini kerana mendapat cuti umum pada hari tersebut. Kedatangan bulan yang penuh berkat ini sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri mereka. Apatah lagi mahu membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Mereka terus dengan perangai dan kehidupan seperti biasa. Seperti juga hari-hari biasa yang dilalui. Tidak langsung terlintas didalam diri mahupun hati mereka untuk berhijrah ke arah kebaikan.

2. Golongan seterusnya adalah mereka menyambut kedatangan bulan ini dengan azam dan niat untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan. Mereka berubah untuk beberapa ketika kemudian berubah kembali kepada perangai lama. Azam mereka ini tidak ubah seperti menyambut kedatangan bulan ini hanya untuk melengkapkan tuntutan sebagai seorang muslim. Semata-mata mencukupi syarat, kerana tidak mahu dikatakan tidak tahun mengenai Islam.

3. Golongan terakhir ini adalah mereka yang menyambut kehadiran bulan ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mereka benar-benar menghayati kedatangan bulan ini dan kepentingan bulan ini. Mereka memasang azam yang teguh dan berniat dengan niat yang benar-benar mantap untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Golongan seperti ini berupaya berubah menjadi hamba Allah swt yang bertaqwa, soleh dan solehah, menghindari perkara yang dilarang oleh Allah swt dan mereka terus melakukan terus melakukan istiqamah dalam melakukan ketaatan kebaikan kepada Allah swt. Mereka adalah hamba yang mempunyai ciri-ciri sepertimana disebut didalam Al-Quran dan Hadith.

Jadi, dimanakah saya dan kalian berada? golongan pertama? kedua ataupun ketiga?

Nabi Muhammad s.a.w bersabda bahawa Allah swt berfirman yang bermaksud : "Wahai hamba-hambaKU, sesungguhnya kamu melakukan kesalahn siang dan malam, dan AKu mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKU, nescaya AKU mengampuni kamu" Hadith riwayat Imam Muslim

Saturday, November 5, 2011

Salam Aidiladha 1432H:Erti Sebuah Pengorbanan



لَبَّيْكَ اللَّهمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لبَيْكَ، إنَّ الْحَمْدَ وَاْلنِعْمَةَ لَكَ وَاْلمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

"Wahai Tuhan kami, Kami datang dengan semata-mata ikrar setia dan taat kepada perintah-MU, Wahai Tuhan kami yang tida sekutu bagi-MU, kami sahut seruan-MU, Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagi-MU, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-MU."

"Ketaatan Nabi Ibrahim seharusnya membangkitkan kita dari lamunan terhadap dunia. Jika dilihat dan dikoreksi dengan mendalam, banyak perkara yang kita tidak mampu untuk berkorban demi menurut perintah Allah swt.

Jika sorang gadis rela berkorban makhkota suci demi cinta tulus terhadap teman lelakinya,

Jika seorang pekerja sanggup berkorban Solat dan aurat demi majikan dan tuntutan pekerjaanya,

Dan juga jika seorang peniaga sanggup berkorban jati dirinya, imanya hanya kerana mahukan hasil riba dan haram demi mengejar kekayaan dan pelbagai lain."

Makanya, adakah itu yang dimaksudkan berkorban kerana tanda cinta kepada Allah? jika tidak, bagaimana kita mahu berkorban sebagai tanda ketulusan hati kita sebagai seorang hamba Allah?

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-NYA adalah ketaqwaan kamu. Demikian ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allahatas petunjuk-NYA kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha yang baik amalnya"
(Al-Hajj Ayat 37)

Monday, October 31, 2011

Transformasi Zakat

TRANSFORMASI ZAKAT
Daripada Zakat Saradiri Kepada Zakat Produktif

Disunting oleh :
Muhammad Syukri Salleh
Mohamad Salleh Abdullah
Zahri Hamat

Terbitan :
Pusat Urus Zakat (PUZ)
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Universiti Sains Malaysia (USM)

Buku ini ngandungi pemikiran tentang bagaimana keadaan zakat yang berbentuk saradiri sekarang boleh diubah menjadi bentuk produktif. Secara mudah, zakat saradiri di sini bermaksud zakat yang habis digunakan asnaf untuk memenuhi keperluan sebaik sahaja diagihkan kepada mereka. Zakat produktif pula sebaliknya ialah zakat yang boleh berkembang setelah diagihkan kepada asnaf.

"...beliau dapati bahawa institusi pengurusan di institusi zakat masa kini berkecenderungan memakai kaedah Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM). Namun berdasarkan penelitian yang telah dilakukan terhadap sifat-sifat TQM, beliau dapati kaedah ini kurang sesuai untuk dipakai ke atas pengurusan institusi zakat......Ketidaksesuaian pemakaian ini berdasarkan ketidakselarian sifat-sifat TQM dari perspektif Islam."

"....transformasi zakat yang ingin dilakukan mestilah dalam bentuk baharu, iaitu membuat pelaburan, bukanyakaedah berbentuk pemberian wang ringgit yang dilihat kurang berkesan dalam membasmi kemiskinan...."

* saya baru mendapatkan buku ini ketika mencari-cari buku di MPH Books Store. Saya tertarik dek perkara yang diketengahkan disini hasil daripada pembentangan kertas oleh pakar-pakar yang dipanggil. Mengadungi 14 bab termasuk 1 bab pengenalan. Dalam keadaan hari ini, kewangan Islam di Malaysia perlu berdiri pada paksinya sendiri dan bukan hanya menjadi sebagai satu produk yang "melepas batok di tangga". Ini termasuk jugak dalam entiti zakat, wakaf dan sebagainya. Ini tidak timbul soal kemiskinan yang tidak terbela dan dibela serta terus menerus miskin. Perlu ada perlaksanaan dalam kewangan Islam umumnya yang benar-benar mempunyai roh islam itu sendiri yang langsung tidak mempunyai unsur-unsur konvensional yang jelas-jelas tidak menepati syarak. Bermakna roh pensyariatan ini akan menepati dua asas utama kehidupan insan iaitu hablumminallah dan hablumminannas.

Tuesday, October 25, 2011

Ubat Kuat !!!

"Aku tengok kau rileks je dengan gaji sekarang?"tanya kawan saya.
"Rileks dah la. Habih tu nak memberontak kot" jawab saya dengan pertanyaan.
"Kalau tolak itu ini, mana nak cukup fiq ooi" terang kawan saya.
"Bersyukur itu adalah yang terbaik. Itu cara aku bila gaji masuk je. Satu lagi aku akan sentiasa rasa cukup tanpa ada sedikit mengeluh dan merungut. yang penting, sedekah walau sedikit sebab gaji kita ni ada bahagian untuk kita dan ada bahagian yang bukan untuk kita, sebab tulah kena bayar zakat pendapatan, harta, sedekah" jawab saya.

"Fiq, hang background Pengajian Islam, Syariah pulak tu, tempat hang kat pejabat agama ke, sekolah agama ke bukan dok kat akaun" tanya seorang kawan
"Ye ke? aku tak lihat pun macam tu, mungkin bakat aku kat sini kot..hehehe" jawab saya tersengeh. " Ada hikmah tu, kene carila" sambung saya lagi.
"Mungkin" ujar kawan ringkas
"Agaknya nak kena sampai tahap PhD baru aku ditakdirkan Allah dalam bidang aku. Mana tau. Boleh jadi penyambung perjuangan Almarhum Ahmad Ibrahim" Seleroh saya tetapi serius.

"Hai manusia, ingatlah nikmat Allah kepada kamu. Adakah pencipta selain Allah dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?"
Surah Fatir ayat 3

"Katakanlah; Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan dari bumi? Katakanlah Allah"
Surah Saba ayat 24

Begitulah cara saya mendidik diri. Mendidik diri agar sentiasa ada rasa syukur dengan segala kurniaanNYA, nikmat yang diberikanNYA baik berupa wang ringgit, harta, kelapangan waktu, kerjaya, kemahiran juga ilmu. Kerana sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengaku bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam dengan atas Asma ul Husna NYA, wajib ke atas saya untuk yakin dan beri'tiqad sepenuhnya tanpa ada sedikit ragu pun.

Untuk apa merungut jika rungutan itu sedikit pun tidak mampu mengubah keadaan agar menjadi lebih baik. Walhal rungutan lebih mampu mengubah kepada untuk merungut lagi. Lebih baik berusaha untuk mencapai yang dihajati dan berserah.

"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun dapat menahanya, dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang sanggup melepaskanya sesudah itu. dan DIA lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
Surah Fatir Ayat 2

Memang tidak dinafikan kos sara hidup hari ini begitu tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan yang rendah yang diperolehi oleh kebanyakan orang hari ini. Tetapi apakan daya jika itu sahaja yang diterima pada ketika ini. Dan saya juga melihat kerani-kerani dikalangan kakitangan awam bukan sembarangan orang. Berlatar belakang akademik yang paling "koman" pun Diploma. Lagi hebat yang ada Ijazah Sarjana Muda pun. Tetapi disebabkan panggilan untuk kerja bergredkan SPM diterima, maka terpaksa akurlah dek kerana bercita-cita tinggi nak tempatkan diri dalam sektor awam ni. Bukan senang nak rebut tempat, lagi susah kalau nak dapatkan tempat di Agensi Kerajaan, Badan Berkanun. Walaupun istilah "susah"kena buang dari kamus hidup, hakikatnya itulah yang diterima. Begitulah yang berada disektor Swasta mahupun yang bekerja sendiri.

"Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan menyempitkanya,SesungguhNYA DIA Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan hamba-hambanNYA"
Surah Al-Isra ayat 30

Ibnu Katsir mentafsir ayat diatas sebagai Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan maha Melihat manakah hamba-hambaNYA yang layak untuk kaya dan miskin. Melihat suasana seperti ini, saya lebih cenderung untuk mendidik diri supaya merenung, Allah Maha Pemberi Rezeki. Ye, Allah itu Maha Pemberi Rezeki.

"Wahai Hamba-Ku, seandainya orang-orang terdahulu dan orang-orang yang belakangan serta semua jin dan manusia berdiri di atas bukit memohon kepada-KU, kemudian masing-masing aku penuhi permintaanNYA, maka hal itu tidak mengurangi kekuasaan yang ada disisi-KU, melainkan hanya seperti benang yang menyerap air ketika dimasukan ke dalam lautan"
Hadis Qudsi Riwayat Imam Muslim dari Abu Dzar Al-Giffari

Usaha itu mesti ada. Meletakkan sesuatu keputusan dan matlamat dalam hidup adalah mesti. Kalau tidak, masakan diri hendak melangkah dari selemah-lemah langkah ke sekuat-kuat langkah. Saya tidak melihat kenapa saya perlu berungut sedangkan dalam firman Allah swt sudah jelas menyatakan dan juga yang terdapat didalam sunnah Nabi saw bahawa rezeki itu adalah dariNYA. DIA adalah sebaik-baik perancang dan penentu.

Saya teringat ketika saya mengharungi laluan pendakian Gunung Kinabalu, Sabah. Walaupun persediaan fizikal agak cukup membantu, hakikatnya saya hampir tewas dek pertengahan jalan. Kecedaraan dibahagian lutut yang dialami sebulan sudah menganggu kembali tumpuan saya ketika perjalanan baru melewati 2 kilometer, yang ketika itu sudah berada pada ketinggian 3 ribu kaki. Mustahil untuk meneruskanya kerana kesakitan seperti dicucuk duri tajam. Akan tetapi, bila diingat kembali matlamat dan tujuan kehadiran saya di sana, saya gagahkan juga langkah kaki dengan bantuan seluruh tenaga yang ada. Saya ketika itu tidak berhenti-henti menyebut "Ya Qawi, Ya Hayyun, Ya Qayyum". Begitu juga ketika seawal pagi kami dari Laban Rata hendak ke Low Peak, dalam keadaan suhu dibawah 2 darjah, angin yang kuat, setiap lima langkah saya perlu berhenti untuk mendapatkan nafas semula dan makan sedikit power bar untuk bekalkan semula tenaga. "Dah 'all out' ni, main bola sepak 90 minit pun tak sepenat ni, futsal lagi la. Ya Allah, beri aku kekuatan." Alhamdulillah, saya berjaya sampai di Low Peak dan solat Subuh di atas sana dengan sempurna.

Begitulah dalam misi kehidupan. Saya tidak mempunyai pengalaman dalam kerjaya yang panjang, begitu juga dalam kehidupan. Tetapi setiap yang saya temui sepanjang 26 tahun saya hidup ini, saya cuba kutip dan manfaatkan dalam kehidupan walaupun ianya sedikit. Saya tidak mahu jadi orang yang sia-sia, yang dibekalkan kepanjangan dalam umur tetapi tidak manfaatkan, yang dipertemukan dengan pelbagai keadaan dan cara tetapi tidak sedikit pun diambil pengajaran.

Saya merasakan tidak layak untuk menulis tajuk ini dengan lebih panjang, cukuplah sekadar saya katakan bahawa ayat-ayat Allah swt cukup memotovasikan saya dalam meniti setiap laluan kehidupan ini. Begitulah tentang soal ketentuan yang bukan berupa wang ringgit, keselesaan dalam kehidupan, teman-teman sekeliling, kerjaya, jodoh, semua itu ada didalam ayat Allah, sunnah Nabi saw. Dimana hendak datangnya kekuatan itu, saya meletakkan syarat pada diri agar mengerjakan apa yang diperintahkan terutama menjaga hal-hal yang wajib dan seterusnya perkara sunat. Adapun yang lain menjalani kehidupan yang selayaknya dan seharusnya sebagai seorang manusia yang mengaku beriman kepada Allah swt. Serta sentiasa berbaik sangka dengan apa yang diterima dan singgah dalam perjalanan kehidupan kita. Saya cukup takut jika saya bersangka yang buruk terhadap apa yang diterima dan ditakdirkan didalam kehidupan saya.

Saya pernah terfikir, jika saya diberikan kekayaan mampukah saya mengekal rentak saya seperti hari ini atau saya akan jadi seorang yang kaya yang menolong orang atau lebih teruk saya tidak mahu seperti Qarun( na'uzubillah )?

" Sesungguhnya diantara hamba-hambaKU, keimanan barulah menjadi baik jika Allah memberikan kekayaan padanya. Seandainya Allah membuat ia miskin, tentu dia akan kufur. dan sesungguhnya diantara hamba-hambaKU, keimanan barulah jika Allah berikan dia kemiskinan, seandainya Allah memberikan dia kekayaan, tentu dia akan kufur"
Mafhum Surah Asy Syura ayat 27

"Adapun manusia apabila Tuhanya mengujinya lalu memuliakanya dan memerikanya kesenangan, maka dia akan berkata; Tuhanku telah memuliakan ku. Adapun bila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata; Tuhanku menghinakanku"
Surah Al-Fajr ayat 15-16

Begitulah percaturan langkah dalam kehidupan yang entah bila penamatnya dan apakah kesudahanya. Juga seiring dengan keimanan yang dimiliki ketika mengharunginya.

Seorang sahabat yang bernama Anas Bin Malik r.a selalu berdoa;

"Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-MU. Sahabat bertanya; Adakah hati ini boleh dibolak balikan? Jawab Nabi; Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada diantara jari-jari Allah dan DIA membolak-balikkann sebagaimana DIA dikehendakiNYA"
Hadith Sahih riwayat Imam Tarmizi

"Berkatalah Tuhanmu; berdoalah(mintalah) padaKU, nescaya akan AKU perkenankan permintaan kamu"
Surah Al-Ghafir ayat 60

"Bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama-sama orang yang sering berdoa kepada Tuhan mereka"
Surah Al-Kahfi ayat 28



Sunday, October 23, 2011

Ada Hikmahnya

"Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupanya"
Surah Al-Baqarah ayat 286

"Al-hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya"-hadith riwayat Tirmizi


Alhamdulillah dan Syukur dipanjatkan kepada Allah swt

Minggu ni tak de kelas, dalam kondosi diri sekarang ini, agak kurang yakin menguasai diri untuk berhadapan dengan umum. Maka pertemuan maya ini membantu saya untuk berhadapan dengan kalian. Ini kerana bengkak akibat hentakan semasa kemalangan kereta yang sudah menjengah seminggu lamanya masih ketara dibahagian bawah mata. Sekarang dah rupa macam bisul dah.

Cream yang dibekalkan oleh Farmasi PPUM ketika pertemuan baru-baru ini sedikit membantu. Walaubagaimana pun saya mencari kaedah lain untuk menyembuhkan kesakitan ini. "Plaster Katak@kok yok katak" yang boleh didapati di kedai ubat cina langsung kehabisan. Lalu "tauke" menyarankan menggunakan serbuk herba bagi mengantikan plaster katak itu. Kene cuba jugaklah, kalau tak macam tu la rupanya.

Bercerita tentang kemalangan yang menimpa seminggu yang lalu, cukup memenatkan. Ini kerana saya baru sahaja keluar dari UKM setelah habih mengikuti kuliah hujung minggu. Dalam keadaan diri yang penat yang mana penat selama seminggu bekerja tidak habis-habis, tiba di bulatan dan saya memandu untuk keluar dari bulatan tiba-tiba dentuman kuat menyinggah. Gen-2 yang kelihatan sudah berada dihadapan tadi dan bergerak seperti biasa berhenti secara tiba-tiba kerana kereta kompak dihadapanya melencongkan kenderaan secara tiba-tiba. Saya keluarkan dari kereta terus mengeluarkan pertanyaan yang bernadakan tegas dan keras "yang brek secara tiba-tiba ni kenape!? " sambil melihat keremukkan kereta yang bagi saya teruk. Mungkin ini pertama kali saya kemalangan melibatkan orang lain. "Maaf bang, kereta depan tu tiba-tiba aje cross, saya tak sempat nak ambil no. kereta" terang pemuda yang gelarkan diri saya sebagai abang."Tak pe, bawa kereta ke tepi, nanti sesak pulak" saran saya dah macam polis traffik. Namun begitu, itulah langkah yang disarankan oleh pihak PDRM ketika berlaku kemalangan. Kalau tak alih, maka sesaklah jalan raya, sebabnya polis akan ambil gambar kereta ketika kereta tiba di balai. Cumanya, umum tidak mengetahui perkara ini, akibatnya bila kemalangan di jalan raya, dibiarkan kereta ditempat kejadian sehingga sesak yang teruk. Tambah pulak rakyat Malaysia ini sangat prihatin tak kena gaya, bila lalu dilokasi kejadian maka gear kereta ditolak menjadi satu untuk melihat kejadian, mengupas kejadian yang berlaku dan membuat andaian.

InsyaAllah, dua atau tiga hari lagi Saga Blm saya akan siap sepenuhnya. Saya mengharapkan ada hikmah disebalik kejadiaan yang menimpa dan hikmah disebalik kesibukan tugas harian. Kerana banyak perkara yang berlaku saban hari. Ada yang kecil, besar, serius dan tidak serius. Namun begitu, sejauh manakah saya dan kalian memanfaatkan setiap kejadian atau peristiwa itu bagi mempelajari mengenai kehidupan. Sejauh manakah saya dan kalian menggunakan pengalaman sebagai sempadan. Pokoknya, sejauh manakah juga saya dan kalian mempelajari hikmah disebalik peristiwa yang berlaku disekeliling yang ditunjukkan Allah SWT kepada saya dan kalian. Tidak kira la samada ianya berlaku keatas selemah-lemah manusia sehingga sehebat seorang Perdana menteri, Maharaja mahupun Presiden.

Semuanya mampu membantu memberikan pengajaran dan hikmah. Persoalanya, sejauh manakah kita manfaatkan hikmah itu untuk diterjemahkan kepada perancangan kehidupan seterusnya dan selepas ini?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selainya. Hanya kepadaNYA aku bertawakkal"
Surah At-Taubah ayat 129

"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita menangis dan tertanya-tanya,
Kemana hilangnya sinar,
Rupa-rupanya,
Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah."

Thursday, October 20, 2011

Selamatkan Aqidah Umat-Jadilah seperti Abdullah Bin Huzafah Al-Sahmi


Jom, hadirkan diri ke sana!!!

Isunya sangat besar bilamana ianya berkait dengan aqidah. Jika seseorang itu mahu keluar dari Islam dengan kerelaan setelah tidak berpuas hati dengan Islam, itu tak pe. Yang menjadi isunya disini adalah kerana mereka murtad dek kerana ketidakfahaman mereka mengenai Islam, tiada penghayatan dalam agama, kesempitan hidup, kesenangan hidup, kebebasan hidup dan beberapa faktor yang sangat lemah sehingga seolah-olah keadaan telah memaksa mereka dan mereka ini tidak mampu menghadapi keadaan itu mungkin. Pokoknya disini, adalah keyakinan kita sebagai muslim dan mukmin kepada Allah swt. Mana mungkin seorang muslim itu mampu mencapai tahap seorang mukmin jika dia tidak beriman kepada Allah swt. Islam jika hanya pada nama dan keturunan tidaklah boleh dibanggakan jika tidak disertai dengan perbuatan sebagai seorang mukallaf yang hatinya sentiasa bertaut pada "Tali Allah". Musuh Allah menanti dengan penuh tawaran yang menggunung.

Samalah kisahnya dengan seorang sahabat Nabi s.a.w yang kurang meniti dibibir kita tetapi keunggulan mempertahankan aqidahnya sangat terpuji. Bilaman beliau ditangkap hidup-hidup oleh tentera Rom, maka ditawarkanya oleh Pemerintah Rom ketika itu;-

"Jika kamu keluar dari Islam dan memeluk agama Nasrani(Kristian), kamu akan dibebaskan dan aku berikan hadiah yang besar.
Jawab Abdullah dengan tenang, " Jika aku hidup dan mati seribu kali pun, nescaya aku tidak akan keluar dari Islam".

"Jika aku tawarkan kepada engkau segala kekuasaan dan negeri jajahanku kepadamu?"
Jawab Abdullah," Sekiranya engkau berikan segalanya pada aku walaupun sesaat, aku tidak akan sekali keluar dari agama yang dibawa Muhammad.

Lalu disediakan sebuah kuali yang besar dan diisi dengan minyak yang mendidih, ketika Abdullah dibawa kesana maka menangislah Abdullah. Lalu dibawa kmbali kepada Raja Rom lalu ditanya, " Adakah engkau sudah bersedia untuk masuk ke agama Nasrani?
Jawab Abdullah,"Aku menangis kerana aku ingin mati didalam peperangan ( fi Sabilillah ), malangnya hari ini aku akan mati dalam keadaan sebegini rupa"

Seterusnya? kalian gali sendiri kisah sahabat ini dalam mempertahankan aqidahnya. Mereka benar-benar yakin serta ketaqwaan mereka ini tidak sama sekali boleh diragui. Andai kita hidup ketika zaman mereka dalam keadaan iman kita pada hari ini, mampukah kita mempertahankan kalimah tauhid dan keyakinan kita?