Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi dan Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, terdapat tanda-bagi ulul albab ( golongan yang berfikir). Iaitu mereka yang mengingai Allah semasa berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka bertafakkur ( berfikir dengan mendalam ) tentang penciptaan langit dan bumi [ lalu mereka berkata ] " Wahai Tuhan kami, Engkau tidak jadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau ( Ya Allah ), lindungilah kami dari azab api neraka.
Surah Ali-Imran ayat 189-191
Nikmat iman adalah satu nikmat yang besar dianugerahkan Allah swt kepada kita dalam menjalani kehidupan agar lebih damai, harmoni dan tenang. Makanya tahap tingkatan dan kemanisan ini harus dimiliki dengan tingkatan kasihnya kita kepada Allah swt, RasulNYA mengatasi segalanya disamping kasih kepada manusia. Inilah cara yang terbaik dalam mencari keredhaan Allah swt dalam kehidupan di dunia seterusnya bekalan dalam menuju akhirat yang abadi.
Kekufuran tidak sepatutnya terjadi dan maksiat mesti cuba di elakkan oleh kita sebagai seorang yang beriman. Kerana tanpa iman, perkara demikian akan berlaku dan ini membuktikan bahawa kita lupa akan nikmat yang Allah swt kurniakan serta kita lupa bahawa Allah swt jualah yang menciptakan kita. Seandainya berlaku, kita membuktikan bahawa kita tidak bersyukur dan kita "terlupa" pada tujuan penciptaan kita di dunia sebagai khalifah-NYA.
Sabda Nabi saw yang bermaksud :
"Tiga perkara yang menyebabkan merasai kemanisan iman, Allah dan RasulNYA hendaklah dicintai melebihi segalanya, mencintai manusia hanya semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka"
( Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )
Berdasarkan hadis diatas, begitu tingginya tahap kemanisan iman itu harus dicapai oleh saya dan kita. Jika ianya dapat dicapai, InsyaAllah, kita akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam keadaan kedamaian, ketenangan, merasai keinginan dan kelazatan lidah untuk sentiasa berzikir mengingati Allah swt. Keimanan ini membuatkan kita menjadikan Al-Quran sebagai dustur(panduan) hidup yang mana mukjizat terbesar ini sentiasa mendidik dan mengajar kita dalam membentuk iman yang sempurna.
Keimanan yang dimiliki mampu mendidik kita mengenal dan menyakini perkara-perkara ghaib yang sememangnya wajib dipercayai dan yakini melalui keimanan kita melalui rukun Iman. Ianya meliputi kepercayaan dan keyakinan kita kepada hari akhirat, Qada' dan Qadar, para Malaikat, Syurga dan azab Neraka, Dosa dan Pahala. Keimanan ini antara lain memberikan keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan dari Allah swt dalam segala urusan dunia dan akhirat. Ini sebenarnya mengingatkan kepada kita bahawa adalah satu kewajipan dalam kita untuk mentaati Allah dan hukum yang telah diputuskan. Iman mendidik kita untuk mencintai Allah swt dan Rasulnya serta Ahl Bait.
Iman adalah satu elemen yang penting dalam memotivasikan diri dengan kekuatan rohani dan semangat untuk terus tekun dalam usaha, menempuhi ranjau kehidupan supaya saya dan kita tidak bergantung semata-mata hanya kepada taqdir dan berserah sebelum berusaha dan mencuba dalam mencapai kejayaan hidup dan kebaikan di dunia dan di akhirat. Iman yang mantap akan menjadikan kita supaya tidak lupa bahawa kepentingan hidup di akhirat ketika kita hidup di dunia ini.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada (kebahagian) akhirat dan janganlah kamu lupa kebahagian dari nikmat dunia dan berbuat baiklah sepertimana Allah berbuat baik terhadapmu"
Surah Al-Qasas ayat 77
Makanya, Kesempurnaan Iman memainkan peranan dalam kebaikan hidup di dunia dan di akhirat dan Iman merupakan faktor yang penting dalam mendidik serta membentuk sahsiah diri yang teguh dan berakhlak, berakal serta mampu memperlihatkan teladan yang baik seterusnya dapat dicontohi.
Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:-
"Tidak sempurna iman sesorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu : menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain"
( Riwayat Ahmad )