Tuesday, October 30, 2012

Suatu Bingkisan....

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Agak kekok rasanya menaip semula. Kerana terlalu lama jari jemari ini bercuti dari aktiviti disini. Masakan saya mahu mematikan begitu sahaja blog ini hanya kerana sudah lama tidak 'update'.

Begitu lama, saya berehat. Selepas Aidilfitri sehingga berlalu sudah berlalu Aidiladha. Pelbagai episod sepanjang Syawal menuju Zulhijjah. Persediaan yang perlu dilakukan untuk pendakian ke-2 Gunung Kinabalu selepas Syawal dan perjalanan ke sana yang tika itu sakit menimpa diri selama seminggu berada disana. Tiada farmasi di Gunung Kinabalu, apatah lagi Hospital, Klinik dan kemudahan perubatan. Kelewatan mengambil ubat, rawatan menyebabkan sakit yang dialami bertambah teruk. Saya hanya mampu melihat sebahagian rakan menawan puncak tertinggi itu walaupun saya sudah berjaya menawanya dalam keadaan yang jauh lebih mencabar tahun lepas. Itulah kata-kata saya bagi memujuk hati agar tidak terlalu kecewa disebalik kegagalan menawan Gunung Kinabalu. Balik dari Kota Kinabalu, Sabah sakit yang dialami masih lagi berlarutan selama sebulan lamanya. 

Setia seorang isteri disamping suaminya. Selama sakit dan pelbagai makanan yang harus dielakkan, dengan kepayahan untuk membersihkan diri, isteri yang saya pilih sebagai teman hidup di dunia dan hingga ke syurga membantu meringankan kepayahan yang dialami. Bilamana berada didalam keadaan seperti ini, saya teringat pada Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah, Ayub a.s. Bukan hanya kerana ketaatan yang tinggi kepada Allah tatkala Baginda sakit dan pelbagai cubaan yang datang menimpa. Tetapi setianya isteri Baginda a.s iaitu Siti Rahmah terhadap Baginda a.s. Bersama-sama Baginda a.s menjalani kehidupan yang amat perit dan getir. Sehinggalah, Allah SWT menyembuhkan penyakit suaminya.


Opss..jadi apa yang saya hendak sampai ni? begitulah aturan hidup yang direncana. Allah swt adalah sebaik-baik perancang. Mana mungkin menidakkan perancangan-NYA. Kepayahan, kesulitan, kesukaran yang dialami bukanlah satu tiket untuk mengeluh, apatah lagi berasa kecewa dengan perkara yang menimpa diri dan tidak dinikmati. Walhal, kesyukuran wajib dipanjatkan atas keadaan yang diberikan Allah swt walau ianya dianggap sikit. Mana ditahu yang sedikit itulah pembuka kepada yang banyak.

Ya Allah, adakalanya aku lupa ENGKAU, adakalanya aku sering berburuk sangka terhadap ENGKAU sedangkan ENGKAU sudah memberi kesenangan sebelum datangnya ujian terhadap diri aku.