Monday, December 2, 2019

Throwback : Rindu Haramain dan Uthmaniyah I

Rindu, rindu dan rindu

Itulah kalimah yang terpacul tiap kali melihat Makkah dan Madinah di TV. Bila lagi? Mac 2017 adalah kali pertama aku menjejak kaki di bumi penuh barakah ini bersama isteri tercinta dan anak-anak kami (Fateh dan farah). Fateh al- Zuhaily ketika itu berumur 3 tahun dan Farah ketika itu 6 bulan. Benarlah bahawa dipilih menjadi tetamu Allah swt kesana bukan setelah wangnya cukup, tetapi sekiranya dipilih maka akan datang dari mana-mana sumber yang tidak disangka yang Allah swt aturkan.

Ketika ini (2019) sudah 3 tahun lalu aku kesana dan sehingga hari ini masih lagi menebal hati ini untuk kesana. Bukanlah apa-apa yang "menarik" untuk dilawati bagi mereka yang inginkan sesuatu yang indah dan seronok. Tetapi Mekah dan Madinah ada cerita sendiri yang berjaya menambat hati aku dan berjuta-juta manusia yang akan kesana dengan sekerap yang diizinkanNYA. Ada sahaja kita mendengar di Tanah Air sendiri individu-individu kesana setiap tahun, malah setahun berkali-kali pun ada. Semua itu tidak mustahil. Bukan kerana wangnya, malah aku percaya yang mengulangai untuk pergi ke sana adalah kerana RINDU. Tidak dapat dinafikan bahawa faktor rindu adalah penyebab utama siapa yang pernah ke sana akan ke sana. 

Bercerita tentang Madinah, ketika aku dan keluarga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah sekitar jam 8 malam. Sejuk ketika itu walaupun berada dipenghujung musim sejuk. Kami akan ke kota Madinah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Sesuatu yang tidak terjangka difikiran bahawa kaki ini akan memijak bumi yang sarat dengan kisah-kisah perjuangan dan kehidupan manusia-manusia yang hebat yang diciptakan Allah swt.  Sepanjang perjalanan ke Madinah, memang sebolehnya saku tidak mahu melepaskan peluang melihat apa sahaja yang kelihatan diluar dari cermin bas. Mahu sahaja aku mencelik mata seluas-luasnya untuk melihat kawasan yang dikatakan tandus, penuh gunung ganang berbatu dan tiada kehidupan hijau. Tetapi waktu malam membataskan aku melihat semua itu.

Berhenti makan malam, berkelah ditepi sahaja
 Kami berhenti seketika untuk makan dan solat Isyak dan Maghrib (Qasar dan Jamak) kawasan sekitar Jeddah. Aku penuh teruju melihat keadaan diluar kerana diluar jangkaan aku. Bumi Haramain penuh dengan rasa tenang dan aman walau cahaya-cahaya kenderaan tidak berhenti-henti.  Kami dijangka tiba di Madinah sekitar waktu Subuh atau awal pagi sesudah Subuh. Kadang-kadang mata ini terlelap dek kerana kepenatan perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa 8 jam diudara. Alhamdulillah selama 8 perjalanan udara Pesawat Boeing Saudia Airlines memberikan perkhidmatan terbaiknya. Anak-anak kecik diberikan hadiah seawal penerbangan. Farah ketika itu berusia 6 bulan mendapat katil bayi yang disediakan diruang barisan pertama yang cukup luas dan selesa bagi isteri saya. 

Aku masih tidak keruan dihati kerana masih tidak percaya diri ini berada dibumi barakah ini.
Berhenti untuk Solat Subuh
 Kami ke Madinah dengan bas yang cukup selesa. Bayangkan bas 40 orang hanya diisi kurang 15 orang. Pilih sahaja kedudukan yang mahu. Terima kasih kepada sahabat yang menguruskan perjalanan kami. Kami solat subuh berdekatan Kota Madinah. Masa itu sangat sejuk. Tetapi aku teruja untuk melihat keadaan diluar bas. Ya, kawasan disitu adaah kawasan yang pernah kita dengar dari kisah-kisah para Nabi. Kawasan yang tiada apa-apa hanya gunung ganang...Tiada pokok indah-indah, bunga air sungai.

Tetapi serius, pemandangan itu membuat aku rasa tenang dan kagum serta rasa bersyukur betapa segala keindahan yang Allah swt cipta adalah semuanya indah belaka. Biarlah bumi ini penuh dengan gunung yang berbatu, tetapi melihatnya seolah ada cerita yang ingin cuba disampaikan.


Ya Allah, jadikanlah berkat Madinah dua kali ganda daripada berkat yang Engkau jadikan bagi Mekah.” Sahih Bukhari

Alhamdulillah, kami sampai akhirnya ke Kota Madinah. Kelihatan dari jauh Kubah hijau yang menandakan Masjid Nabawi yang penuh dengan ribuan kisah agung dan tanda kubah ini juga menandakan atap Makam Nabi s.a.w.

Hotel kami sangat dekat dengan pintu 24 dan 25. Hanya beberapa langkah sahaja. Aku masih lagi seperti tidak percaya bahawa aku sedang melihat Masjid Nabawi dan sedang berada di Kota Madinah.