“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (dengan berfirman kepada mereka): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’. Mereka menjawab: ‘Betul, (Engkaulah Tuhan kami), kami bersaksi’. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan; ‘Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini’”. (al-A’raf: 172)
Hampir sebulan lamanya menyepi dari berkongsi sesuatu disini. Mana tidaknya, saya perlu berjuang dengan musim peperiksaan akhir semester saya. Sebelum semester saya dihujani dengan ujian semester. Ini kebiasaan sebagai seorang pelajar. Baik di universiti, Kolej Universiti, Kolej, Maktab dan mana-mana tempat IPT. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Mohon agar diberi kejayaan sepertimana diharapkan dan setimpal dengan apa yang diusahakan. Kerana mana mungkin balasan yang "terbaik" yang saya akan dapat jika usaha saya hanya pada tahap "baik" sahaja. Begitulah seterusnya.
Saya agak leka dibuai kontrak sesama manusia. Janji-janji antara manusia lebih dipentingkan. Sedangkan ada janji lain yang jauh lebih penting dan jauh lebih awal dan adalah perjanjian terawal manusia. Saya dan kalian semua mengikat janji pertama yang sama. Bukan sesama kita. Tetapi perjanjian kita dengan Allah. Seperti dinyatakan didalam surah al-a'raf ayat 127. Mungkin saya dan segelintir dari kita lupa akan perjanjian ini. Kontrak yang pertama ini. Terma dan syarat yang sudah ditetapkan mungkin sudah dilupai oleh manusia.
Atas perjanjian ini kita dilahirkan ke dunia ini dan atas perjanjian itu juga kita akan bertemu Allah s.w.t dalam keadaan kita mengikut "term and condition" yang ditetapkan dan dipersetujui. Malangnya, ramai yang melupai perjanjian ini, syarat perjanjian ini dan merugikan diri mereka sendiri.
Inilah perjanjian yang telah dimeterai, satu hakikat yang perlu manusia maklum, dalam keadaan suka atau tidak. Benarlah kebenaran itu suatu yang pahit bak hempedu. Yang sebenarnya mesti ditelan oleh manusia. Dan atas dasar itulah kita wajib memberikan keutamaan pada Islam. Tidak mengira aspek mana. Tidak ada istilah hidup didunia ini, perbuatan kita didunia ini 50% kerana manusia/harta/seronok dan 50% kerana Allah s.w.t. Ini bukan perjanjian perkongsian antara syarikat dan pemaju yang berkongsi-kongsi. Perjanjian antara Allah s.w.t dan manusia adalah 100% kerana Allah. Tiada yang lain.
Lupakah kita pada pencipta tangan kita, kaki, anggota yang ada pada tubuh kita, akal yang membezakan kita antara binatang. Udara yang dihirup sebagai satu sumber untuk kita bernyawa yang tidak pernah Allah s.w.t sekat dan tidak perlu membayarnya. Waktu siang dan malamnya. Ya Allah yang memiliki zat yang agung!, benarlah firman-MU, andai dihitung nikmat-MU, dakwat tinta sebanyak selaut luasnya tidak mungkin cukup menghitung nikmat-MU. Ya Ghaffar, ampunilah aku yang lupa akan perjanjian hidup ini.
Jauhnya aku dari-MU,Ya Allah. Sedangkan dalam keadaan hanya berjalan aku kepada-MU, ENGKAU akan datang kepadaku seolah berlari.
*sekadar untuk berkongsi dalam mengingati diri. moga ianya memberi manfaat.