" Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka kerana keimanan mereka , di bawah mereka mengalir sungai-sungai syurga yang penuh kenikmatan"
Surah Yunus ayat 9
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..walillah ilhamd.
Berlalu Ramadhan sebulan berpuasa, tiba Syawal diraikan menyambut Hari Raya. Salam Eidul Fitri dari saya Mohd Shafiq Bin Bakar
Berlalunya Ramadhan, bulan yang di sertai dengan pelbagai amalan dalam untuk merebut ganjaran yang dijanjikan Allah swt terhadap hambaNYA yang ikhlas dalam mengerjakan ibadah pada bulan Ramadhan. Dengan melakukan Solat Sunat Taraweh pada malam harinya, Sunat Witir, Qiamullail, bertadarus membaca Al-Quran, bersedakah, memperbanyakkan amalan sunat pada Bulan Ramadhan yang kita tinggalkan beberapa hari lepas.
Walaubagaimana pun, berlalunya Ramadhan, tidak bermakna berlalunya kesungguhan kita dan ketaatan kita yang selama sebulan ini kita lakukan hanya semata-mata mengharapkan kerahmatan, keredhaan dan keampunan dari Allah swt. Kerana, bulan yang dianggap sebagai madrasah tarbiyah ini mampu menjadikan kita sebagai mukmin yang bertaqwa sejajar dengan matlamat pensyariatan puasa itu. Makanya, kita perlu meneruskan segala kebaikan dan kebajikan yang dilakukan sepanjang bulan yang mulia pada bulan-bulan yang mendatang sehingga kita bertemu kembali Ramadhan ditahun hadapan. InsyaAllah. Kerana orang yang beriman itu, akan terus menerus melakukan amal soleh dalam mendapatkan tempat di dalam syurga Allah dan mencari keredhaan Allah swt didunia untuk kebaikan didunia dan diakhirat. Ini termaktub didalam firman Allah swt didalam Al-Quran pada Surah Yunus ayat 9 yang dinyatakan diatas.
Dalam meneruskan amalan soleh, kita diperuntukan setahun keuntungan dengan hanya membuat pelaburan selama 6 hari yakni berpuasa enam hari di Bulan Syawal. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud daripada Abu Ayub Al-Ansari r.a :
" Sesiapa yang bepuasa Ramadhan dan diikuti dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka ia seumapama berpuasa selama setahun"
Hadith Riwayat Ibn Hibban
Menarik bukan? inilah janji Allah swt dan RasulNYA kepada mukmin yang bertekad dalam melakukan amal soleh selepas Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya. Bermakna, kedatangan Syawal, hari kemenangan, hari yang dihiasi dengan kegembiraan tidak bererti ibadat yang dilakukan selama sebulan di bulan Ramadhan akan dilupakan, tetapi amalan kita akan bertambah dan berterusan sepertimana yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Apa yang hendak diketengahkan disini adalah, amalan yang dilakukan akan memberikan kesan pada diri k agar kita istiqamah dalam melakukan ibadat dan amal soleh.
Malangnya, jika pada bulan Ramadhan kita hiasi dengan perkara-perkara yang kurang bermanfaat, kurang baik seperti bulan-bulan sebelumnya kita tidak akan sama sekali merasakan manisnya kedatangan Ramadhan itu. Seterusnya Ramadhan datang dan pergi begitu sahaja. Ianya sama juga seperti menjalani ibadat didalam bulan Ramadhan dengan tidak ikhlas, tidak konsisten, tidak kusyuk, tidak bersungguh-sungguh ataupun tidak sempurna. Hasilnya, kebaikan yang semamangnya ada di dalam Bulan Ramadhan tidak memberikan kesan dan tidak dihayati dengan sebaiknya.
Firman Allah swt didalam Surah Al-Hadid Ayat 21 yang bermaksud :
"Berlumba-lumbalah kamu(mengerjakan amal-amal yang baik), untuk mendapatkan keampunan Tuhanmu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya yang demikian ialah limpah kurnia Allah diberikanya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar"
Oleh itu, kedatangan Ramadhan adalah sebagai satu bulan tarbiyah untuk melahirkan insan yang bertaqwa yang sentiasa taat kepada suruhan Allah swt. Bulan yang dikhaskan untuk mereka yang sungguh-sungguh untuk mendidik jiwa agar lebih tenteram dan tenang dengan kesuburan iman didalam diri. Proses yang akan memberikan kesan agar setiap kebaikan dan amal soleh itu dilakukan dengan berterusan seperti air sungai yang sentiasa mengalir. Dalam membentuk diri menjadi manusia yang menepati piawaian ahli syurga, setiap amalan itu perlu dilaksanakan juga mengikut piawaian kesempurnaan amalan tersebut. Allah swt menyediakan sejuta satu macam bentuk perkara untuk dijadikan sebagai ibadat. Terpulanglah kepada kita, samada untuk mengikuti, beramal dan istiqamah dalam setiap apa yang dilakukan. "Orang yang berilmu itu susah untuk beramal dan orang yang beramal itu susah untuk istiqamah". Bagi yang tiada ilmu bagaimana pula?