Alhamdulillah, Tahun 1432H baru sahaja melabuhkan tirainya. Dan kini tahun 1433H dibuka untuk mereka yang mahu berhijrah dengan sebenar-benar hijrah,
Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud ; "Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah" Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari
Bila masuk tahun baru, maka usia mula menampakkan angka yang besar, mungkin juga rezeki makin berkurang ataupun bertambah, tetapi kematian hampir pasti akan tiba walaupun tidak tahu bilakah terjadi. Dan perkara yang pasti juga akan kita bertemu adalah akhirat yang semakin hampir.
Walaubagaimana tahun berubah, didalam kelompok manakah kita sebenarnya berada. Kerana bilamana tahun baru menjelma kita pasti dapat melihat beberapa golongan dan kumpulan. Dimanakah kita?
1. Golongan yang menyambut ketibaan Ma'al Hijrah dengan sekadar lahiriah. Mereka menyedari ketibaan tahun ini kerana mendapat cuti umum pada hari tersebut. Kedatangan bulan yang penuh berkat ini sebenarnya tidak mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri mereka. Apatah lagi mahu membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Mereka terus dengan perangai dan kehidupan seperti biasa. Seperti juga hari-hari biasa yang dilalui. Tidak langsung terlintas didalam diri mahupun hati mereka untuk berhijrah ke arah kebaikan.
2. Golongan seterusnya adalah mereka menyambut kedatangan bulan ini dengan azam dan niat untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan. Mereka berubah untuk beberapa ketika kemudian berubah kembali kepada perangai lama. Azam mereka ini tidak ubah seperti menyambut kedatangan bulan ini hanya untuk melengkapkan tuntutan sebagai seorang muslim. Semata-mata mencukupi syarat, kerana tidak mahu dikatakan tidak tahun mengenai Islam.
3. Golongan terakhir ini adalah mereka yang menyambut kehadiran bulan ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mereka benar-benar menghayati kedatangan bulan ini dan kepentingan bulan ini. Mereka memasang azam yang teguh dan berniat dengan niat yang benar-benar mantap untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Golongan seperti ini berupaya berubah menjadi hamba Allah swt yang bertaqwa, soleh dan solehah, menghindari perkara yang dilarang oleh Allah swt dan mereka terus melakukan terus melakukan istiqamah dalam melakukan ketaatan kebaikan kepada Allah swt. Mereka adalah hamba yang mempunyai ciri-ciri sepertimana disebut didalam Al-Quran dan Hadith.
Jadi, dimanakah saya dan kalian berada? golongan pertama? kedua ataupun ketiga?
Nabi Muhammad s.a.w bersabda bahawa Allah swt berfirman yang bermaksud : "Wahai hamba-hambaKU, sesungguhnya kamu melakukan kesalahn siang dan malam, dan AKu mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKU, nescaya AKU mengampuni kamu" Hadith riwayat Imam Muslim