Sunday, January 3, 2010

Biarkan jadi kenangan


Selamat tahun baru hijriah dan tahun baru miladi kepada semua pengunjung. Rasanya belum terlewat untuk saya ucapkan. Tahun baru yang sudah semestinya kita akan meletakkan satu penanda aras untuk tahun ini. Mungkin perubahan yang akan dilakukan. Matlamat hidup. Tidak kira dari seluruh aspek mana pun. azam tahun baru ini sudah semestinya akan cuba dikotakan. Sasaran untuk tahun baru ini. Segala akan menuju kebaikan. Sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya. insyaAllah.

Sebenarnya agak mengantuk mata saya. Seolah “pening-pening” mata ni makin memaksa agar melabuhkan tirai. Terus saya dengar lagu-lagu yang mendidik jiwa agar dapat memujuk mata ini. Lagu rintihanku nyanyian As-Saufee membangkit sedikit mata saya ini. “sedap lagu ni”. Betapa saya sebagai hamba merasakan saya adalah sebagai watak didalam lirik tersebut. Jenuh merayu pada Allah bahawa saya betul-betul menyintainya.

Setiap bait lirik lagu “rintihanku” saya salami. Tak dapat dinafikan nasyid memang mainkan peranan sebagai medium penyebaran dakwah. Saya selalu bercakap mengenai nasyid pada entry-entry di blog “khalifah-MU” kerana nasyid hiburan yang harus dijadikan hiburan hari ini. Semua golongan mampu menikmati hiburan ini. Saya suka nasyid-nasyid yang mendendangkan lagu-lagu mengenai taubat seorang hamba. Seperti mentari hidup (haikal), epilog silam (haikal), kembali (far-east), rintihan (hijjaz), rintihanku (as-sauffee), sutera kasih (in-team), nur hati (rabbani), dan banyak lagi la. Nak list memang banyak la.

Kehidupan adalah sebuah perjalanan. Andai saya sudah berusia 23/24 tahun, bermakna dalam usia yang sama perjalanan saya. Mungkin akan saya tambah 9 bulan didalam perut ibu saya. Dalam tempoh ini detik putih, detik hitam mungkin akan dilalui oleh sesiapa yang bernama manusia. Dan adakah dalam usia selama ini saya merasakan betapa hebatnya cinta Allah s.w.t. kepada saya? Betulkah saya merasakanya? Pada rangkap terakhir lagu “rintihanku” saya rasa terkesan sangat. Bila kita diuji dengan kesusahan/kesenangan ikhlaskah kita mengingati Allah? Saya cuba mencari disebalik yang tersirat pada ayat ini. Tapi pelik jugaklah kalau tak ikhlas, sebabnya kasih Allah ini tak de sempadan. Atau mungkin yang nak dimaksudkan adalah bila senang ingat dunia dan bila susah ingat Allah? Tak ikhlas jugak namanya. 23/24 tahun perjalanan saya. Boleh dikatakan jauh. Disebabkan jauh itu saya mesti selalu ingat tentang mati. Ye, mati. “tak de benda lain ke nak ingat. Ada pulak mati” mungkin ada segelintir yang katakan itu. Dalam Islam, ingat mati adalah tanda kita masih ada iman.

Saya takut amalan yang hanya tak seberapa ini untuk dibawa ke sana. Sedangkan saya yakin semua sedia maklum tentang kisah yang diriwayatkan dimana betapa amalan selama 500 tahun seorang alim hanya mampu membayar sebelah nikmat mata yang diberikan oleh Allah. Dia masuk syurga bukan kerana 500 tahun amalanya, tetapi kerana rahmat Allah s.w.t. mampukah saya? Umur sehingga 50 tahun belum tentu saya sampai. Allahu Rabbi. Saya terlalu memikirkan soal kedudukan saya dimata manusia. Sedangkan kedudukan saya di hadapan Allah s.w.t bagaimana? Adakah kerisauan ini lebih daripada risaunya saya dimata manusia? Astaghfirullahal ‘azim. Subhanallahi wabihamdihi astaghfirulullahi waatubu ilaihi.

Kita diajar bukan setakat untuk merasa bimbang dalam melakukan amal, tetapi bimbang pada dosa-dosa yang dilakukan sama ada dalam sedar atau tidak. Dosa kecil mahupun besar. Begitu juga saya. Saya takut-takut jika tidak dapat rasakan seperti ini. Saya takut jika tidak hadir rasa bersalah dalam diri. Bersalah pada dosa. Dan rasa bimbang pada amalan yang dilakukan. Bimbang jika amalan tidak sempurna pada zahir dan batin. Saya bimbang jika amalan saya bercampur dengan rasa ujub, riak, sombong dan mana-mana sifat mazmumah. Adalah penting untuk setiap amalan yang dilakukan bukan setakat sah pada zahir tetapi pada batinya juga. Seperti yang dikatakan oleh Iman Al-haddad dimana solat itu bukan dilihat pada sah zahirnya tetapi pada batinya. Jangan sekadar hanya mengambil wudu dan melakukan pergerakan luar tetapi hatinya penuh rasa dunia. Tidak khusyuk.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;(al-mu’minun ayat 1 dan 2)

Bilamana perasaan bimbang akan dosa yang ada, sudah pasti bimbang juga keadaan di dalam kubur dan seterusnya bila dibangkitkan di hari perhitungan amalan. Bimbang amalan yang akan dibawa nanti. Tu tak termasuk slide show yang lain-lain lagi. Berpeluh jugak bila cuba gambarkan keadaan seperti itu. Malu? Sudah semestinya. Takut? Mesti ada. Risau ? gelisah yang tak terhingga yang tidak pernah dirasai kat dunia mungkin. Saya juga seperti manusia lain. Yang mahu menjadi penghuni syurga. Tambah pula didalam al-Quran dan hadith banyak menceritakan nikmat yang tak terhingga didalam syurga. Saya pasti bagi kita sebagai hambaNYA mesti kita nak tengok Allah. Dikatakan setiap jumaat di sana nanti penghuni syurga berpeluang untuk itu. InsyaAllah.

“Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : ' Sesungguhnya sesaorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya sesaorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya sesaorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. "

Begitulah. Walau sebesar zarah mana pun ianya pasti diambil kira. Bukan untuk berkira, tetapi itulah peraturanya. Itulah keadilan yang patut diterima oleh manusia. Jika didunia mungkin sebesar zarah kita tidak mengetahui atau biarkan. Mungkin kejahatan sebesar zarah tidak mulai risau dek kerana tidak kelihatan dimata kita. Begitu juga kebaikan yang dilakukan. Saya teringat satu riwayat dimana jauh sangat perbandingan kebaikan yang dilakukan antara kita yang bukan dikalangan para sahabat dengan sahabat. Dimana Rasulullah s.aw gambarkan jika dibandingkan kebaikan sebesar gunung sekalipun ianya tidak mampu dengan kebaikan sahabat yang seumpama secupak beras. MasyaAllah. Jauh sangat-sangat nie. dok timbang-timbang amalan akhirnya masuk neraka dek kerana hanya beza dengan amalan pahala sebanyak 0.00000001 timbangan mungkin. Saya bimbang kurangnye amalan itu kerana setiap amalan yang beroleh pahala terpaksa dibayar kerana dosa menyakiti orang lain (siri kuliah tadabbur al-quran kat alghufran baru ni). Seperti ust ceritakan didalam surah al-humazah. Kerana kehidupan seharian kita banyak bertemu orang. Tidak kiralah didalam rumah atau luar. Yang kita temui adalah manusia. Dalam sedar atau tidak kita lakukan. Saya lakukan. Hatta menjeling pun kira seolah menghina orang. … Ya Allah, selagi jasad ini bernyawa biarlah aku tebus dosa ini”

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji,. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;. Ia menyangka Bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!. Tidak! Sesungguhnya Dia akan dicampakkan ke Dalam "Al-Hutamah".. Dan apa jalannya Engkau dapat Mengetahui, apa Dia "Al-Hutamah" itu?. (Al-Hutamah) ialah api Allah Yang dinyalakan (dengan perintahNya),. Yang naik menjulang ke hati;. Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang Yang melintang panjang. (surah al-humazah)

Apabila bumi digegarkan Dengan gegaran Yang sedahsyat-dahsyatnya,. Serta bumi itu mengeluarkan Segala isinya,. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?". Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.( surah al-zalzalah -8)

Inilah perjalanan. Pelbagai persimpangan yang dilalui dan menanti. Persimpangan yang membuatkan perjalanan “terganggu” untuk memulih simpang mana atau terus sahaja. Persimpangan yang mempercepatkan perjalanan “nafsu” mahupun “iman dan taqwa”. Persimpangan yang mendatangkan seribu macam cubaan diri. Persimpangan yang menciptakan kekuatan atau kelemahan diri. Saya suka berkata mengenai simpang didalam perjalanan. Kerana simpang-simpang ini akan menduga kita, akan mertabiyah diri, akan mengingatkan kita pada dosa seterusnya bimbang pada dosa akhirnya segera untuk bertaubat. Termasuk saya. “tebus dosa”. Ye! Mesti ditebus dengan taubat. Dengan amalan yang berterusan (istiqamah). Kena bersungguh tentang perkara ini. Mana mungkin seseorang itu mesti memberikan ruang untuk nafsu menguasai diri. Inilah sebab untuk kita bermuhajadah.

Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (al-bayyinah 7&8)

Saya rasa cukup untuk saya “the end” untuk entry ini. Saya rasa tak perlu untuk detail-detail. Nak detail kena buat buku. Hihi..sekadar nak ingatkan diri dan mungkin ntuk berkongsi bersama kalian bahawa “jika seorang hamba itu mengakui kehinaanya maka Allah akan tutup dengan kemuliaanNYA. Akuilah akan kelemahan diri nescaya Allah akan tutup dengan kekuatanNYA. Akuilah pada kerendahan diri maka Allah akan tutup dengan ketinggianNYA”. Saya mohon maaf jika terdapat kekurangan dan kelemahan dalam penulisan entry ini. Agak risau sebenarnya untuk entry kali ini. Saya mohon agar diberi kekuatan.

Sabda Nabi s.a.w. lagi,"Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya." (riwayat tarmizi)