Tuesday, November 14, 2017

Travelog 2 Tanah Haram & Al-Fateh : Hari Pertama 3 Mac (Kuala Lumpur)

Assalammualaikum semua 

Hari ini hari Jumaat

Penghulu segala hari
Hari yang penuh berkat
Hari bermula ibadah diri


Insyaallah, saya dan seluruh anggota keluarga termasuk seluruh anggota keluarga Prof. Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar dan Puan Nor Aeshah Hamzah (MSJNAH) akan berangkat ke dua (2) Tanah Haram iaitu Makkah dan Madinah serta ke bumi Turki (Bursa dan Istanbul).

Penerbangan kami seluruh keluarga MSJNAH ke Jeddah adalah pada jam 17.50 petang waktu Malaysia dan kami dijangka tiba pada jam 10.05 malam waktu Jeddah. Penerbangan kami selama tempoh program Ibadah dan Ziarah ini akan menggunakan Saudia Airline (Saudi Arabian Airlines). 


Alhamdulillah, segala kelengkapan untuk ziarah 11 hari ini nampaknya berjalan lancar. Isteri tercinta saya yang banyak sekali membantu dalam perkara ini. Jika perkara ini diserahkan kepada saya, makanya ada 2 keadaan akan terjadi. Yang pertama lebih pakaian dan keperluan atau kedua pakaian dan keperluan kurang. Maklum sahaja lelaki, idea insan bernama lelaki ini simple sahaja. 

Kami keluarga MSJNAH akan bertemu di KLIA. Kerana tidak semua diantara kami tinggal berdekatan. Ayah dan ibu serta adik ipar saya sahaja yang akan bertolak dari Bangi. Ada yang dari Sungai Buloh dan ada yang dari Kota Damansara. Memandangkan penerbangan kami pada hari Jumaat, kami bercadang untuk bertolak awal ke KLIA supaya dapat menunaikan kewajipan solat fardhu jumaat pada lelaki.

Perkhidmatan Grab Car sangat membantu dalam urusan seperti ini. Jika tidak, jenuh juga hendak memikirkan soal pengangkutan ini. Dari Bangi ke KLIA saya menempah 2 kereta jenis MPV untuk mudah kami ke KLIA. Ini mudah kerana MPV mampu menempatkan bagasi-bagasi dan keperluan yang kami bawa. Terima kasih kepada Pak Cik Grab yang sangat sporting. Siap tempah untuk bawa kami pulang nanti.

Jam 11.00 pagi kami bertolak dari Bangi ke KLIA. Perjalanan lebih kurang 25 minit ke sana. Dan kami tiba pada jam 11.30 pagi. Sampai sahaja di KLIA, kakak ipar dan suaminya dari Sungai Buloh pun tiba. Kami terus ke food court KLIA. Berkumpul di sana. Lebih kurang jam 1.00 petang, kami yang lelaki ini bertolak ke Masjid KLIA yang mengambil masa lebih kurang 5 minit dari KLIA. Anak saya Fateh pun nak ikut solat katanya. saya bawakan juga kerana beranggapan mampu menaikan semangat untuk ke Mekah dan Madinah. Alhamdullillah, selesai solat kami sedikit mengambil masa ke KLIA memandangkan banyak kenderaan yang hendak keluar. 

Kami berjanji untuk bertemu di Pelepasan KLIA selepas solat jumaat. Dan masa untuk daftar masuk adalah bermula jam 3 petang. Petang ini sepatutnya Ustaz Falah akan menguruskan kami untuk daftar masuk. Tetapi isteri kepada Ustaz Falah masuk ke hospital untuk bersalin. Didoakan agar dipermudahkan segala urusan. Saya sempat bertemu Ustaz Falah untuk mengambil dokumen yang telah lengkap diuruskan beliau di hospital. Terima kasih banyak Ustaz Falah. Yang akan membantu uruskan kami adalah Ustaz Zaher dari Mesir yang masih menuntut di UIA Gombak.


Syukur pada Allah s.w.t kerana urusan daftar masuk berjalan dengan lancar. Dokumen semua tiada masalah. Ustaz Zaher membantu uruskan dengan baik. Terima kasih Ustaz Zaher. Selesai urusan daftar, kami terus masuk untuk naik tren pula. Fateh dan sepupunya Falisha dan Sakinah dilihat begitu seronok sekali. Kanak-kanak mana tak seronok dapat berjalan-jalan. Ramai pula anggota keluarga keliling mereka.

Kami menuju ke pintu untuk menunggu penerbangan. Saya melihat ramai kumpulan jemaah yang akan menunaikan Umrah bersama kami. Melihat kumpulan besar, mereka siap dengan warna tersendiri dan eksesori masing-masing agar mudah dikenali anggota kumpulan. Saya melihat mereka dengan penuh rasa teruja. Bukan dari Malaysia sahaja ada juga dari Indonesia dan negara jiran lain. Mungkin sahaja mereka transit di KLIA.

Masuk sahaja ke dalam badan pesawat yang besar tu, hampir ke semuanya adalah jemaah yang akan sama-sama menunaikan Umrah. Ada yang dh siap memakai ihram!. Kami mendapatkan tempat duduk masing-masing. Kedudukan antara kami tidak la jauh. Dekat sahaja. Alhamdulillah, kami dapat kedudukan yang ada kemudahan bassinet. Saya pun pertama kali mendengarnya. Tempat tidur baby. 

bersambung