Saturday, January 28, 2012

Riadhah@Sukan untuk sihat sebagai satu ibadah

Isteri Nabi Muhammad s.a.w iaitu A'isyah pernah menceritakan;

"Aku berlari dan berlumba dengan Baginda, aku mengalahkanya, kemudian setelah badanku sedikit besar, Baginda berlumba dengan ku lagi, lalu Baginda mendahului ku. Lalu Baginda berkata; ini balasan terhadap yang lalu". (Riwayat Ahmad)

....Lama dah tak bersukan. Seminggu lebih. Perlawanan bola sepak yang kebiasaanya ada pada setiap rabu/khamis tidak dapat saya sertai dek kerana kesibukan kerja. Begitu juga dengan futsal, hiking apatah lagi yang memerlukan masa yang lapang untuk sertainya. Cuti Raya Cina baru ni sempat saya bawa diri untuk berjoging. Dah lama tak pergi taman rekreasi TTDI. Ada perubahan paling ketara, orang tak ramai. Boleh dihitung dengan jari. Lega rasanya sebab aman mata ni. Kalau tak, jenuh jugak berkelip-kelip mata ni melihat dress atlet2 kat situ. Tapi nak buat macam mana, yang ramainya dah boleh dikatakan orang bukan Islam yang berada disitu. Bukan bermaksud saya redha akan ape yang saya lihat, tetapi itu la bagi mereka. Dan saya cuba menjaganya sebaik mungkin baik dari hati, mata dan diri.


Walaupun ajal, sakit itu datang dari Allah swt, itu tak bermakna kita tidak menjaga kesihatan. Salah satu nak jaga kesihatan adalah dengan bersukan selain makan makanan yang berkhasiat. Sebabnya kenapa? Tubuh adalah satu kurniaan dari Allah swt kepada kita. Dengan tangan yang ada, kita mampu makan, mengangkat beban dan menjalankan aktiviti yang memerlukan bantuan tangan. Begitu juga mata, mata yang sihat kita mampu melihat segala yang diciptakan oleh Allah. Subhanallah, indahkan bila dapat melihat panorama yang cantik, dan menarik. Dan anggota yang lain seperti kaki, hidung, telinga, lidah dan lain-lain lagi. Semua bermanfaat dan diperlukan. Paling penting, semuanya adalah satu amanah, dimana kita dipertanggungjawabkan untuk menjaganya dengan sebaik mungkin.

Mana mungkin kita biarkan diri untuk sakit, walhal ianya akan menganggu seluruh kegiatan kita seharian. Termasuk dalam melakukan ibadah. Orang suka meninggalkan ibadah dengan alasan sakit. Walaupun sakit itu datang dari Allah, dan sakit itu adalah satu ujian serta kifarah atas dosa kita. Tetapi kita perlu ingat, andainya kifarah dosa kita, apakah masa kita sihat kita tidak pernah menghadap-NYA? atau lebih molek lagi kita tidak bersyukur pun atas kesihatan yang diberi. Ada orang berbangga dengan tidak bersukan, dia tetap sihat. Tidak sakit. Bagi saya itu adalah ujian. Ujian melihat bagaimana kita menjadikan sihat menurut Islam.

Dalam keadaan kita sihat, kita mampu melaksanakan ibadah dengan sempurna dan kusyuk. Inilah yang disarankan oleh Islam.

Bersukan bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi menguatkan fizikal dan mental. Bagaimana kita hendak membela Islam dalam berperang atau membela saudara dari penceroboha kalau kita tidak sihat dan kuat? " Orang beriman yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding yang lemah, sementara ada baik kedua-duanya"(Riwayat Muslim)

Nabi s.a.w diriwayatkan juga bersukan. Baginda s.a.w bersukan dengan bermain pedang, memanah dan menunggang kuda bersama para sahabat. Ini secara tidak langsung dapat mempersiakan kaum muslimin untuk berperang menentang musuh Islam.

Itulah Islam, agama yang bukan semata-mata melihat pada ritual dengan bersolat, tetapi Islam adalah satu cara hidup yang lengkap. Bermula dari kita bangun tidur hingga kita tidur kembali. Ianya merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial, kesenian, kerohanian dan ketenteraan. Termasuk juga sukan, Islam meletakkan segala aktiviti manusia pada asalnya adalah harus melainkan wujud nas pengharamanya. Ini bermakna semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus selagi mana ianya tidak menyalahi syari'at yang terdpat pada nas Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qias. Baik ianya secara qat'i, sahih dan sorih. Ini termasuk dengan tidak melakukan solat dan etika berpakaian semasa bersukan. Kita selalu abaikan aspek ini dalam bersukan. Walhal tuntutan seperti menutup aurat sudah jelas hukumnya didalam Al-Quran dan Hadith.

Islam membenarkan apa-apa yang baik dan bermanfaat kepada manusia. Tubuh yang sihat perlu kita nikmati sebagai satu nikmat untuk menjalankan segala kewajipan dan kepatuhan. Kerana Islam begitu peka pada pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi agar kita menjadi mukmin yang benar-benar bertaqwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, berdisplin dan tetap pendirian.

Inilah nikmat kesihatan perlu dimanfaatkan untuk tuntutan Islam yang mana sebelum nikmat sakit datang menimpa.