Tuesday, January 24, 2017

Realiti 2: Sikap oh sikap manusia

“Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah” (Al-Infitar ayat 6) 


"Abang, tengok sikit la" marah si penunggang motor (warna biru). Terkejut saya. Tiba-tiba muncul dicelah-celah kon oren(titik bertanda biru). Dia brek kerana saya mahu keluar untuk ke kanan. Sedikit sahaja dia nak jatuh.

Saya pandang dia. Membalas pandangan saya dengan muka yang marah. "pedulikan, dia dah la muncul tiba-tiba, lepas tu bawa motor sailang kon penghadang. Dah lambat ke pejabat la tu" hati saya membebel sendiri.

Ya Allah, ampunkan saya. Ucap saya berulang kali. Kerana saya merasai amarah saya sedikit naik dek kerana sikap penunggang tersebut. Saya pasti dia merupakan staff dari syarikat vendor di tempat bekerja saya berdasarkan uniform yang dipakainya. Saya memujuk hati agar tidak ambil peduli ragam manusia seperti ini. Jika ambil peduli nescaya saya akan melaporkan kepada bosnya yang memanggil saya "Tuan Shafiq" bila kami bertemu .

Kehidupan penuh dengan warna-warni. Disebabkan warna warni ini sikap manusia dilihat perlbagai ragam. Jika kita melihat kembali akhbar-akhbar, tv yang memaparkan kejadian-kejadian yang sebenarnya hasil daripada tangan-tangan manusia. Yang mana semua itu berpunca dari sikap dan hati mereka.

“Telah nampak  fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (ar-rum ayat 41)

Kejadian pemandu driver dibelasah, kanak-kanak ditinggalkan dan banyak lagi kejadian yang saya tidak sanggup melihat, mendengar apatah lagi ingin menceritakan secara kronologi mahupun detail. Ini bukan soal tragis atau seram, tetapi soal dimana nilai kemanusian itu diletakkan? Dimana kewarasan aqal dalam menilai?. 

Didalam Tafsir Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat didalam Surah ar-rum ayat 41 dengan menyebut bahawa Abu al-‘Aliah berkata, “Barangsiapa mengingkari Allah SWT di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah S.W.T”

Isunya disini adalah ketaatan kepada Allah S.W.T. Mana mungkin manusia bertindak seperti haiwan dalam keadaan dia waras dan tidak menurut nafsu. Bila sebut tentang nafsu, isu menjadi besar. Kerana manusia dengan nafsu umpama isi dengan kuku. Tidak mungkin kita dapat mengatasi nafsu jika berada dalam situasi yang saya ceritakan diatas jika aqal tidak cepat menilai dan membuat pertimbangan dengan cepat. Bagaimana aqal mahu bertindak secepat daripada nafsu?. 

Sifat sabar adalah salah satunya. Pedulikan kerosakan sedikit kereta itu, asal ada sabar ianya tidak mencelakai mana-mana hati manusia yang akhirnya akan melukai hati kita. Dan akhirnya terjadilah satu kecelakaan yang nyata. Sabar dengan ragam manusia adalah satu perkara yang adalakalanya merugikan kita, tetapi sebenarnya kerugian itu hanyalah bersifat sementara.

Kedua adalah Maaf, cukup mudah dilafazkan. Umpama Afeef yang seringkali ucapkan kalimah maaf kepada Iffat didalam drama Biar Aku Jadi Penunggu. Walhal kuasa maaf itu sangatlah berkuasa yang mampu mematikan sehabisnya amarah kamu. Tidak kira kamu meminta maaf atau memaafkan manusia. Tetapi kalimah maaf cukup powerfull. Berkesan untuk jangka masa yang lama. Tiada guna dendam jika merunsing hati dan jiwa yang akhirnya melukai hatimu sendiri. Manusia sukar untuk meminta maaf ataupun memaafkan. Dek ego, dia tidak mahu meminta maaf, dek ego jugak dia sendiri tidak mampu memaafkan orang tanpa menunggu ucapan permintaan maaf keatasnya. Termasuk diri saya. 

Ketiga dan akhirnya adalah Redha. Sangat susah bila tidak ikhlas. Ya, saya redha, tetapi, tetapi..kalimah tetapi itu yang telah menggugat peratusan redha itu. Lalu terbitlah tidak ikhlas yang hanya diri dan Allah sahaja yang tahu. Hanya kerana ego, kita mula berfikir bahawa kita menyesal bersahabat dengan dia. Dan sesalan itu ditambah dengan sesalan segala perbuatan yang kita pernah lakukan. Tidak ikhlas muncul ditambah ungkit mengungkit. Lihatlah, betapa berkuasanya redha itu. Jadi pastikanlah kita benar-benar bersifat redha itu.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”  - (Al-Imran ayat 133-134)

Jadilah manusia seperti yang disebut didalam kebanyakkan ayat Al-Quran, jadilah manusia yang ingin meniru bagaimana mulianya peribadi Sang Nabi yang di utuskan Allah. Jadilah manusia dengan meniru para sahabat Nabi yang memiliki karekter hebat. 

Menjadi manusia hebat bukan disebabkan keangkuhan dan kemegahanya dengan isi dunia (walhal sebenarnya dia telah dibinasa dunia), tetapi jadilah manusia hebat yang masyhur sifatnya dimuliakan dunia dan isinya (tidak mengejar dunia, tetapi segala kebaikan dan nikmat dunia mengejarnya untuk menjadi bekal amalan yang baik di akhirat).-alsyarqawi