Manusia adakah makhluk ciptaan Allah SWT yang sempurna dan istimewa serta yang paling indah. Wajah yang Dia ciptakan dengan indah, padanya ada dua mata yang mampu melihat puluhan, ratusan, bahkan ribuan gambar dan apa jua yang terhidang didepan mata. Begitu juga dengan nikmat mendengar, nikmat berkata-kata, rasa dan deria-deria yang yang diciptakan semuanya berfungsi dalam sedetik untuk kemanfaatan dan ibadat kepada-NYA serta membuktikan Maha Kuasa-NYA. Penciptaan yang sempurna ini seharusnya dijadikan kayu ukur dalam perhubungan sesama manusia. Oleh sebab semua manusia diciptakan sempurna, antara sifat semulajadi manusia itu bersifat penyayang dan kasih kepada manusia dan makhluk. Dengan sifat ini, manusia akan saling menyayangi antara satu sama tanpa perlu wujud permusuhan, persengketaan dan benci walaupun manusia kadang-kadang terjerumus ke dalam pujukan hawa nafsu dan perasaan sehingga menenggelamkan rasional dan tidak dapat membuat pertimbangan yang betul kerana kelemahan juga adalah sifat semulajadi manusia.
Kemaafan atau memaafkan bererti menghapuskan. Jadi, seseorang itu boleh dikatakan memaafkan orang lain jika dia telah menghapus kesalahan orang lain kemudian tidak menghukumya walaupun dia mampu berbuat demikian. Dalam bahasa mudahnya, kita adakalanya akan membalas kejahatan atau perbuatan negetif orang lain terhadap kita sedangkan kita mampu untuk bersabar atau mampu menahan marah. Kerana mafhum sabda Nabi Muhammad s.a.w pernah mengatakan bahawa orang yang kuat itu bukan kuat bergusti(bergaduh) tetapi yang kuat menahan marahnya. Apabila marah dan sifat tidak sabar menguasai diri, akan terhapuslah kemaafan dalam diri. Makanya, kita akan terus-terusan menyakiti diri sendiri dan orang lain. Dari Muaz r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa menelan/menahan kemarahanya sedang ia berkuasa untuk membalas kemarahanya itu, maka pada hari kiamat kelak Allah akan memanggilnya dihadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai.” ( Riwayat Abu Daud )
Kemaafan perlu disertai dengan dorongan untuk memaafkan orang lain. Dorongan agar kita mahu memaafkan orang lain telah disebut oleh Allah s.w.t berulang kali didalam AL-Quran;(al-A’araf ayat 199,al-Hijr 85 dan as-Syu’ara 43. Ini kerana, manusia diciptakan untuk saling kenal-mengenali dan saling berkerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan takwa kepada Allah SWT.
Dari Atta bin Abdullah Khurasani r.a meriwayatkan bahawa, Rasulullah saw bersabda: “Berjabat tanganlah di antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian, dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan.” (Riwayat Imam Malik)
Sifat suka memaafkan satu perbuatan yang terpuji. Ia menzahirkan kebersihan hati yang suci murni. Orang yang suka memaafkan orang lain adalah hasil dorongan keredhaan hatinya terhadap Allah SWT. Dia memahami tentang dirinya sendiri sebagai insan yang bersifat serba kekurangan dan tidak sunyi dari melakukan kesalahan sama ada cara sedar atau tidak sedar. Siapakah kita untuk tidak memaafkan orang lain sedangkan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap hambaNYA?
Adalah tidak menjadi kehinaan jika kita menjadi seorang yang pemaaf kerana ianya menggambarkan bahawa kita telah menunjukkan kebijaksanaan dalam mengawal emosi dan nafsu. Selain itu seorang yang pemaaf itu menunjukkan dia bersih dari sifat kesombongan, dendam, hasad dan mempunyai keimanan yang tinggi. Sifat-sifat ini merupakan ikatan yang sangat kukuh dalam memantapkan persaudaraan Islam.
Islam adalah agama persaudaraan. Kerana itulah setiap mukmin itu adalah bersaudara. Dan persaudaraan ini tercetus kerana kasih sayang antara semasa manusia yang lahir daripada sifat saling berbaik-baik, bermaafan, memaafkan, sabar, tolak ansur dan saling menghormati. Jesteru nilai-nilai murni ini menjadi tunjang di dalam kehidupan kita dan kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga, rakan sepejabat bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT didalam Surah al-Fusilat ayat 34 bermaksud :
Maksudnya:“ Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang baik; apabila tiba-tiba orang yang di antara kamu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah dia seorang sahabat karib”
Kemaafan adalah sifat yang terpuji didalam Islam. Saling bermaafan akan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan Islam. Kerana manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain. Tuntutan untuk saling bermaafan merupakan satu tuntutan dalam menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka yang juga merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan RasulNYA. Makanya, akan terbinalah semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam persaudaraan dan perpaduan sesama Islam. Firman Allah SWT didalam Surah ali-Imran ayat 110 yang bermaksud :
‘Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik’.
Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.