"Rileks dah la. Habih tu nak memberontak kot" jawab saya dengan pertanyaan.
"Kalau tolak itu ini, mana nak cukup fiq ooi" terang kawan saya.
"Bersyukur itu adalah yang terbaik. Itu cara aku bila gaji masuk je. Satu lagi aku akan sentiasa rasa cukup tanpa ada sedikit mengeluh dan merungut. yang penting, sedekah walau sedikit sebab gaji kita ni ada bahagian untuk kita dan ada bahagian yang bukan untuk kita, sebab tulah kena bayar zakat pendapatan, harta, sedekah" jawab saya.
"Fiq, hang background Pengajian Islam, Syariah pulak tu, tempat hang kat pejabat agama ke, sekolah agama ke bukan dok kat akaun" tanya seorang kawan
"Ye ke? aku tak lihat pun macam tu, mungkin bakat aku kat sini kot..hehehe" jawab saya tersengeh. " Ada hikmah tu, kene carila" sambung saya lagi.
"Mungkin" ujar kawan ringkas
"Agaknya nak kena sampai tahap PhD baru aku ditakdirkan Allah dalam bidang aku. Mana tau. Boleh jadi penyambung perjuangan Almarhum Ahmad Ibrahim" Seleroh saya tetapi serius.
"Hai manusia, ingatlah nikmat Allah kepada kamu. Adakah pencipta selain Allah dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?"
Surah Fatir ayat 3
"Katakanlah; Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan dari bumi? Katakanlah Allah"
Surah Saba ayat 24
Begitulah cara saya mendidik diri. Mendidik diri agar sentiasa ada rasa syukur dengan segala kurniaanNYA, nikmat yang diberikanNYA baik berupa wang ringgit, harta, kelapangan waktu, kerjaya, kemahiran juga ilmu. Kerana sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengaku bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam dengan atas Asma ul Husna NYA, wajib ke atas saya untuk yakin dan beri'tiqad sepenuhnya tanpa ada sedikit ragu pun.
Untuk apa merungut jika rungutan itu sedikit pun tidak mampu mengubah keadaan agar menjadi lebih baik. Walhal rungutan lebih mampu mengubah kepada untuk merungut lagi. Lebih baik berusaha untuk mencapai yang dihajati dan berserah.
"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun dapat menahanya, dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang sanggup melepaskanya sesudah itu. dan DIA lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
Surah Fatir Ayat 2
Memang tidak dinafikan kos sara hidup hari ini begitu tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan yang rendah yang diperolehi oleh kebanyakan orang hari ini. Tetapi apakan daya jika itu sahaja yang diterima pada ketika ini. Dan saya juga melihat kerani-kerani dikalangan kakitangan awam bukan sembarangan orang. Berlatar belakang akademik yang paling "koman" pun Diploma. Lagi hebat yang ada Ijazah Sarjana Muda pun. Tetapi disebabkan panggilan untuk kerja bergredkan SPM diterima, maka terpaksa akurlah dek kerana bercita-cita tinggi nak tempatkan diri dalam sektor awam ni. Bukan senang nak rebut tempat, lagi susah kalau nak dapatkan tempat di Agensi Kerajaan, Badan Berkanun. Walaupun istilah "susah"kena buang dari kamus hidup, hakikatnya itulah yang diterima. Begitulah yang berada disektor Swasta mahupun yang bekerja sendiri.
"Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki kepada sesiapa yang DIA kehendaki dan menyempitkanya,SesungguhNYA DIA Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan hamba-hambanNYA"
Surah Al-Isra ayat 30
Ibnu Katsir mentafsir ayat diatas sebagai Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan maha Melihat manakah hamba-hambaNYA yang layak untuk kaya dan miskin. Melihat suasana seperti ini, saya lebih cenderung untuk mendidik diri supaya merenung, Allah Maha Pemberi Rezeki. Ye, Allah itu Maha Pemberi Rezeki.
"Wahai Hamba-Ku, seandainya orang-orang terdahulu dan orang-orang yang belakangan serta semua jin dan manusia berdiri di atas bukit memohon kepada-KU, kemudian masing-masing aku penuhi permintaanNYA, maka hal itu tidak mengurangi kekuasaan yang ada disisi-KU, melainkan hanya seperti benang yang menyerap air ketika dimasukan ke dalam lautan"
Hadis Qudsi Riwayat Imam Muslim dari Abu Dzar Al-Giffari
Usaha itu mesti ada. Meletakkan sesuatu keputusan dan matlamat dalam hidup adalah mesti. Kalau tidak, masakan diri hendak melangkah dari selemah-lemah langkah ke sekuat-kuat langkah. Saya tidak melihat kenapa saya perlu berungut sedangkan dalam firman Allah swt sudah jelas menyatakan dan juga yang terdapat didalam sunnah Nabi saw bahawa rezeki itu adalah dariNYA. DIA adalah sebaik-baik perancang dan penentu.
Saya teringat ketika saya mengharungi laluan pendakian Gunung Kinabalu, Sabah. Walaupun persediaan fizikal agak cukup membantu, hakikatnya saya hampir tewas dek pertengahan jalan. Kecedaraan dibahagian lutut yang dialami sebulan sudah menganggu kembali tumpuan saya ketika perjalanan baru melewati 2 kilometer, yang ketika itu sudah berada pada ketinggian 3 ribu kaki. Mustahil untuk meneruskanya kerana kesakitan seperti dicucuk duri tajam. Akan tetapi, bila diingat kembali matlamat dan tujuan kehadiran saya di sana, saya gagahkan juga langkah kaki dengan bantuan seluruh tenaga yang ada. Saya ketika itu tidak berhenti-henti menyebut "Ya Qawi, Ya Hayyun, Ya Qayyum". Begitu juga ketika seawal pagi kami dari Laban Rata hendak ke Low Peak, dalam keadaan suhu dibawah 2 darjah, angin yang kuat, setiap lima langkah saya perlu berhenti untuk mendapatkan nafas semula dan makan sedikit power bar untuk bekalkan semula tenaga. "Dah 'all out' ni, main bola sepak 90 minit pun tak sepenat ni, futsal lagi la. Ya Allah, beri aku kekuatan." Alhamdulillah, saya berjaya sampai di Low Peak dan solat Subuh di atas sana dengan sempurna.
Begitulah dalam misi kehidupan. Saya tidak mempunyai pengalaman dalam kerjaya yang panjang, begitu juga dalam kehidupan. Tetapi setiap yang saya temui sepanjang 26 tahun saya hidup ini, saya cuba kutip dan manfaatkan dalam kehidupan walaupun ianya sedikit. Saya tidak mahu jadi orang yang sia-sia, yang dibekalkan kepanjangan dalam umur tetapi tidak manfaatkan, yang dipertemukan dengan pelbagai keadaan dan cara tetapi tidak sedikit pun diambil pengajaran.
Saya merasakan tidak layak untuk menulis tajuk ini dengan lebih panjang, cukuplah sekadar saya katakan bahawa ayat-ayat Allah swt cukup memotovasikan saya dalam meniti setiap laluan kehidupan ini. Begitulah tentang soal ketentuan yang bukan berupa wang ringgit, keselesaan dalam kehidupan, teman-teman sekeliling, kerjaya, jodoh, semua itu ada didalam ayat Allah, sunnah Nabi saw. Dimana hendak datangnya kekuatan itu, saya meletakkan syarat pada diri agar mengerjakan apa yang diperintahkan terutama menjaga hal-hal yang wajib dan seterusnya perkara sunat. Adapun yang lain menjalani kehidupan yang selayaknya dan seharusnya sebagai seorang manusia yang mengaku beriman kepada Allah swt. Serta sentiasa berbaik sangka dengan apa yang diterima dan singgah dalam perjalanan kehidupan kita. Saya cukup takut jika saya bersangka yang buruk terhadap apa yang diterima dan ditakdirkan didalam kehidupan saya.
Saya pernah terfikir, jika saya diberikan kekayaan mampukah saya mengekal rentak saya seperti hari ini atau saya akan jadi seorang yang kaya yang menolong orang atau lebih teruk saya tidak mahu seperti Qarun( na'uzubillah )?
" Sesungguhnya diantara hamba-hambaKU, keimanan barulah menjadi baik jika Allah memberikan kekayaan padanya. Seandainya Allah membuat ia miskin, tentu dia akan kufur. dan sesungguhnya diantara hamba-hambaKU, keimanan barulah jika Allah berikan dia kemiskinan, seandainya Allah memberikan dia kekayaan, tentu dia akan kufur"
Mafhum Surah Asy Syura ayat 27
"Adapun manusia apabila Tuhanya mengujinya lalu memuliakanya dan memerikanya kesenangan, maka dia akan berkata; Tuhanku telah memuliakan ku. Adapun bila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata; Tuhanku menghinakanku"
Surah Al-Fajr ayat 15-16
Begitulah percaturan langkah dalam kehidupan yang entah bila penamatnya dan apakah kesudahanya. Juga seiring dengan keimanan yang dimiliki ketika mengharunginya.
Seorang sahabat yang bernama Anas Bin Malik r.a selalu berdoa;
"Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-MU. Sahabat bertanya; Adakah hati ini boleh dibolak balikan? Jawab Nabi; Ya, sesungguhnya hati-hati itu berada diantara jari-jari Allah dan DIA membolak-balikkann sebagaimana DIA dikehendakiNYA"
Hadith Sahih riwayat Imam Tarmizi
"Berkatalah Tuhanmu; berdoalah(mintalah) padaKU, nescaya akan AKU perkenankan permintaan kamu"
Surah Al-Ghafir ayat 60
"Bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama-sama orang yang sering berdoa kepada Tuhan mereka"
Surah Al-Kahfi ayat 28