Monday, December 2, 2019

Throwback : Rindu Haramain dan Uthmaniyah I

Rindu, rindu dan rindu

Itulah kalimah yang terpacul tiap kali melihat Makkah dan Madinah di TV. Bila lagi? Mac 2017 adalah kali pertama aku menjejak kaki di bumi penuh barakah ini bersama isteri tercinta dan anak-anak kami (Fateh dan farah). Fateh al- Zuhaily ketika itu berumur 3 tahun dan Farah ketika itu 6 bulan. Benarlah bahawa dipilih menjadi tetamu Allah swt kesana bukan setelah wangnya cukup, tetapi sekiranya dipilih maka akan datang dari mana-mana sumber yang tidak disangka yang Allah swt aturkan.

Ketika ini (2019) sudah 3 tahun lalu aku kesana dan sehingga hari ini masih lagi menebal hati ini untuk kesana. Bukanlah apa-apa yang "menarik" untuk dilawati bagi mereka yang inginkan sesuatu yang indah dan seronok. Tetapi Mekah dan Madinah ada cerita sendiri yang berjaya menambat hati aku dan berjuta-juta manusia yang akan kesana dengan sekerap yang diizinkanNYA. Ada sahaja kita mendengar di Tanah Air sendiri individu-individu kesana setiap tahun, malah setahun berkali-kali pun ada. Semua itu tidak mustahil. Bukan kerana wangnya, malah aku percaya yang mengulangai untuk pergi ke sana adalah kerana RINDU. Tidak dapat dinafikan bahawa faktor rindu adalah penyebab utama siapa yang pernah ke sana akan ke sana. 

Bercerita tentang Madinah, ketika aku dan keluarga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah sekitar jam 8 malam. Sejuk ketika itu walaupun berada dipenghujung musim sejuk. Kami akan ke kota Madinah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Sesuatu yang tidak terjangka difikiran bahawa kaki ini akan memijak bumi yang sarat dengan kisah-kisah perjuangan dan kehidupan manusia-manusia yang hebat yang diciptakan Allah swt.  Sepanjang perjalanan ke Madinah, memang sebolehnya saku tidak mahu melepaskan peluang melihat apa sahaja yang kelihatan diluar dari cermin bas. Mahu sahaja aku mencelik mata seluas-luasnya untuk melihat kawasan yang dikatakan tandus, penuh gunung ganang berbatu dan tiada kehidupan hijau. Tetapi waktu malam membataskan aku melihat semua itu.

Berhenti makan malam, berkelah ditepi sahaja
 Kami berhenti seketika untuk makan dan solat Isyak dan Maghrib (Qasar dan Jamak) kawasan sekitar Jeddah. Aku penuh teruju melihat keadaan diluar kerana diluar jangkaan aku. Bumi Haramain penuh dengan rasa tenang dan aman walau cahaya-cahaya kenderaan tidak berhenti-henti.  Kami dijangka tiba di Madinah sekitar waktu Subuh atau awal pagi sesudah Subuh. Kadang-kadang mata ini terlelap dek kerana kepenatan perjalanan dari Kuala Lumpur yang memakan masa 8 jam diudara. Alhamdulillah selama 8 perjalanan udara Pesawat Boeing Saudia Airlines memberikan perkhidmatan terbaiknya. Anak-anak kecik diberikan hadiah seawal penerbangan. Farah ketika itu berusia 6 bulan mendapat katil bayi yang disediakan diruang barisan pertama yang cukup luas dan selesa bagi isteri saya. 

Aku masih tidak keruan dihati kerana masih tidak percaya diri ini berada dibumi barakah ini.
Berhenti untuk Solat Subuh
 Kami ke Madinah dengan bas yang cukup selesa. Bayangkan bas 40 orang hanya diisi kurang 15 orang. Pilih sahaja kedudukan yang mahu. Terima kasih kepada sahabat yang menguruskan perjalanan kami. Kami solat subuh berdekatan Kota Madinah. Masa itu sangat sejuk. Tetapi aku teruja untuk melihat keadaan diluar bas. Ya, kawasan disitu adaah kawasan yang pernah kita dengar dari kisah-kisah para Nabi. Kawasan yang tiada apa-apa hanya gunung ganang...Tiada pokok indah-indah, bunga air sungai.

Tetapi serius, pemandangan itu membuat aku rasa tenang dan kagum serta rasa bersyukur betapa segala keindahan yang Allah swt cipta adalah semuanya indah belaka. Biarlah bumi ini penuh dengan gunung yang berbatu, tetapi melihatnya seolah ada cerita yang ingin cuba disampaikan.


Ya Allah, jadikanlah berkat Madinah dua kali ganda daripada berkat yang Engkau jadikan bagi Mekah.” Sahih Bukhari

Alhamdulillah, kami sampai akhirnya ke Kota Madinah. Kelihatan dari jauh Kubah hijau yang menandakan Masjid Nabawi yang penuh dengan ribuan kisah agung dan tanda kubah ini juga menandakan atap Makam Nabi s.a.w.

Hotel kami sangat dekat dengan pintu 24 dan 25. Hanya beberapa langkah sahaja. Aku masih lagi seperti tidak percaya bahawa aku sedang melihat Masjid Nabawi dan sedang berada di Kota Madinah. 












Thursday, August 16, 2018

Spartan Race - penuh penyesalan ! Bahagian 2

Saya mula mendaftar melalui atas talian dalam laman sesawang Spartan Race. Sebelum mendaftar saya melakukan penilaian kategori yang saya akan sertai. Nak tengok jugak apa maklum balas peserta lain. Kita perlu tahu batas kemampuan kita, kalau rasa enjin kancil, boleh jugak masuk cuma kena letak turbo la. Perlu tahu maksima kemampuan yang ada pada diri, maksima yang dimaksudkan adalah tekanan yang ada boleh letakkan pada fizikal dan mental anda untuk menghasilkan outcome yang membolehkan kita boleh selesaikan halangan-halangan yang ada.

Pada hari kejadian, saya datang awal sepertimana saranan pihak penganjur. Awal 2 jam sebelum masa berlepas. Setiap kategori ada masa tertentu untuk berlepas. Kerana kumpulan yang akan dilepaskan tidaklah begitu ramai seperti aktiviti running yang boleh lepas sekaligus. Boleh dikatakan setiap masa yang dilepaskan dalam anggaran 300 ratus orang macam tu. Saya makan sedikit dalam tempoh menunggu walaupun saya sudah makan pagi bersama isteri dan anak-anak. Saya amalkan 2 jam sebelum memulakan perlumbaan atau permainan saya akan makan terlebih dahulu. Maknanya dalam tempoh 2 jam tersebut, makanan yang dimakan dapat dihadam dengan baik dan menghasilkan tenaga yang mencukupi. Itu penting. 

Berada dalam barisan hadapan sekali, dengan penuh yakin saya berlari dalam keadaan laluan mendaki..ahh..terus mencungap sambil membebel-bebel dengan penuh semangat. Ini kebenaranya. Masuk laluan hutan dan berbukit, sedikit kelebihan pada yang biasa hiking kerana anda boleh memecut sesuka hati kerana skill hiking anda bermanfaat pada situasi ini. Betul!, saya kekal berada dalam kedudukan kelima sehinggalah checkpoint 1 dan sehingga tamat!. 

Saya tidak akan memanjangkan cerita untuk setiap halangan kerana penulisan sebelum ini saya sudah memberi gambaran ringkas. Yang pasti sekiranya anda berminat pada aktiviti running dan hiking, Spartan Race ini adalah seperti kesimpulan pada aktiviti-aktiviti itu. Bezanya adalah halangan. Bagi yang hiking, ketika laluan untuk turun semula samada berlari anak atau pun melangkah laju. Jadi kelebihan bagi yang sudah berjinak dengan dua aktiviti tersebut. Cuma halangan seperti Hercules Hoist, Atlas Carry, Bucket Brigade.

Setiap halangan dalam cabaran Spartan ini sebenarnya bukanlah tertakluk pada individu yang berotot sado semata-mata. Anda ada stamina? anda ada ketahanan mental dan fizikal yang cukup untuk melayakkan anda menyertai cabaran ini. Kerana apa? sado bukan syarat utama sebab semasa saya angkat bebola 50kg, yang sado pun berpeluh nak dapatkan rentak untuk angkat. Sebab itu jika melihat sejarah Sparta, tentera mereka bukan sahaja kuat tetapi penuh dengan strategi. Sebab apa saya fokus pada sado? hari ni kita tengok ramai rakyat kita berminat menjadi sado-sadoan. Tak tahu untuk apa, untuk sihat? tidak semestinya. untuk menarik perhatian wanita? tiada komen sebab itu subjektif.

Berbalik kepada race ini, dipenghujung sebelum penamat cabaran lebih kritikal kerana saya terpaksa melalui Olympus, Rope Climb, Spear Throw, Ring The Bell, Monkey Bar, Frame Cargo Net dan akhir sekali adalah Fire Jump yang hampir semua halangan ini adalah dalam satu kawasan yang hanya sebelah menyebelah sahaja. Jika tiada kekuatan tangan dan imbangan yang sempurna, anda akan tewas. Malah halangan seperti Spear Throw sahaja saya perlu membuat 5 lontaran untuk  mengenai sasaran. Teknik begitu penting dalam mencaturkan strategi anda. Rope Climb, Ring The Bell, Monkey Bar cukup menguji kemampuan fizikal dan mental saya. Ketiga-tiga halangan tersebut berada dalam tempat yang sama. Bagi saya Rope Climb sangat menguji ketahanan saya kerana saya bukanlah biasa dengan panjant memanjat ini. 

Yang pasti anda jangan takut kotor! Kerana masuk lumpur dan menyelam dalam lumpur itu pasti!. Dan halangan kotor tersebut adalah diperingkat paling awal perlumbaaan. Dah kotor-kotor ni tempat mandi untuk bersihkan diri disediakan oleh pihak penganjur. Mandila sepuasnye. Anda pasti tidak menyesal menyertai dan dapat menghabiskan kesemua halangan tanpa sebarang burpeess perlu dibuat. Alhamdulillah, saya berjaya membuat kesemuanya. Jadi, jangan pandang leceh dengan orang kurus seperti saya. hihihi.

Saya kongsikan serba sedikit gambar yang saya ambil dari laman sesawang Spartan dan Dr. Google. Anda boleh juga tengok di Youtube kerana ada banyak video dikongsikan.


 Frame Cargo Net - tak susah, tapi tinggi, 2 tingkat banggunan rasanya. Yang gayat, kena pejam mata
 Hercules Hoist, perlu naikkan bebanan seberat 40kg ke atas (mcm 2 tingkat banggunan je) dan turunkan semula dengan perlahan-perlahan. Mula-mula tarik, saya yang terangkat. Dan bila sudah terangkat sedikit, boleh lega dah sekejap.
 Monkey Bar; perlu laju sebab baru lepas letih mengharungi Ring the bell. Ketinggian spt 1 tingkat, step stool  disediakan.
 Rope Climb, perlu panjat sampai atas dan ketuk loceng di puncak tanda berjaya. Ketinggian spt 1 1/2 tingkat.
Atlas Carry, seberat 50kg bagi lelaki, dan 40kg bagi perempuan. Habis segala urat boleh putus nak angkat, sebab bulat dan besar. Anda akan letih kerana baru sahaja selesai bawa Bucket Brigade dan guni pasir!
 Bawa guni berisi pasir seberat 40kg sejauh 300+- meter sahaja. Dalam trail 300 meter ibarat  1km jauhnya dengan memandu.
 Spear Throw, macam dekat. Tetapi kalau atlet lembing yang baling memang mudah.
Ring The Bell, step stool disediakan untuk memudahkan ketika memulakan aksi monyet. Boleh tahan jauhnya. 3 kali cubaan baru lepas!. Imbangan badan penting selain kekuatan tangan.

Tuesday, August 14, 2018

Spartan Race - penuh penyesalan ! Bahagian 1


Sebelum ni saya suka berlari. Cuma saya cepat rasa bosan kalau setakat berlari kosong. Tapi kali ini saya mencuba Spartan Race yang sangatlah berbeza dari aktiviti sebelum ini.
Spartan Race adalah gabungan aktiviti larian dan lasak . Starting point pun bermula dengan larian mendaki yang mulut penuh dengan membawang itu ini dan itu memang sudah semestinya saya rasa peserta lain pun akan seperti itu. Sebelum saya terus berceloteh dengan pengalaman ini serba sedikit saya kongsikan datang mana Spartan Race ini. 

"Spartan Race was born in the green mountains of Vermont by Joe De Sena, world-class adventure racer. 
Gritty. Resilient. Passionate. Spartans aren’t soft. They overcome obstacles. And yes, Spartans burpee.
Spartan Race is a sport, community, a philosophy, a training and nutrition program – with daily advice, a podcast, a series of books, an activity for kids, workout gear, a media channel, an NBC Sports series, a digital magazine, and a timed obstacle race.
Lebih kurang maksudnya begini :
"Perlumbaan Spartan dilahirkan di pergunungan hijau Vermont oleh Joe De Sena, pelumba petualangan bertaraf dunia.
Gritty. Berdaya tahan. Ghairah. Spartan tidak lembut. Mereka mengatasi halangan. Dan ya, buruan Sparta.
Spartan Race adalah sukan, komuniti, falsafah, program latihan dan pemakanan - dengan nasihat harian, podcast, siri buku, aktiviti untuk kanak-kanak, peralatan latihan, saluran media, siri NBC Sports, majalah digital, dan perlumbaan halangan masa."
ataupun pembaca boleh terus ke https://www.spartan.com/en/about/our-story/the-spartan-code?lnv untuk lebih keterengan lanjut. 
Saya yakin semua maklum pada istilah Spartan itu yang merujuk kepada Sparta sebuah Ibu Negara bagi Yunani. Memiliki tentera yang kuat, penuh dengan strategi dan paling berpengaruh pada zaman tersebut sekitar 600 sebelum masihi. Mereka terkenal dengan pertarungan antara Yunani vs Parsi. Boleh cuba cari sendiri untuk tahu lebih lanjut lagi. 
Kembali kepada Spartan Race ini ada 3 kategori: 1-Sprint ( 5km + 20 halangan), 2-Beast ( 21km + 30-35 halangan) dan 3-Super (50km - 60 halangan), kalau dapat join semua kategori dalam tahun yang sama anda akan dinobatkan dalam Suku Trifecta. Itu kalau ada berani la. Bayaran bagi menyertai race ini sedikit mahal, bagi yang dah berkeluarga mungkin akan fikir kembali keluarga. Ye la, sebagai contoh Sprint 18+.00, Beast 3++.00 dan Super 4++.00, banyakkan? so kalau rasa terkurang bagi keluarga belanja jangan sertai aktiviti ini. Tapi kalau minat dan keluarga ok, boleh cuba.
Sepanjang laluan larian dalam race ini, bukanlah satu laluan yang mudah seperti Marathon, lari atas jalan. Tetapi lari dalam hutan. Kira macam Trail Running la yang dah banyak sekarang ni. Dan sepanjang laluan ada checkpoint yang setiap checkpoint ada halangan tersendiri. Sebagai contoh antara halangan awal adalah Wall Jump, merangkak bawah dawai, masuk lumpur dan ada la lagi tu. Semua tu mesti dilaksanakan dengan jayanya. Kalau tak dapat, kenala buat 30 Burpees yang bagi saya 5 Burpess pun dah agak menyusahkan dan memenatkan. So, mahu tidak mahu kena hadapi semua halangan.
Dalam banyak-banyak halangan, Atlas Carry adalah yang paling saya rasa gila nak buat. Bayangkan bebola simen seberat 50kg perlu diangkat dan dibawa. 50kg bukan 5kg, tong gas pun mencungap bawa walhal baru 16kg. Berat saya dah la 50 sahaja. Ada peserta luar negara badan macam The Rock pun saya tengok mencungap dan penuh dengan "keberatan melampau " berdasarkan memek muka dia. Backet Brigade tak tahu la berapa berat dan bawa guni seberat 40kg tu pun saya nak macam-macam mengomel seorang diri. Kira 3 halangan jugak yang perlu bawa beban seperti itu. Bagi yang rasa tangan berkatang-katang, cuba la angkat dan bawala beban tu ke hulu hilir. 

Yang pasti semakin jauh larian dan tinggi peringkat race, semakin banyak dan pelbagai halangan menanti yang menjanjikan penyesalan seumur hidup!. haha - bersambung

Wednesday, June 6, 2018

INDIVIDU MENIKUS

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah, dah masuk ke fasa 10 terakhir di bulan yang mulia. Fasa yang sepatutnya mencari-cari malam yang penuh kemuliaanya lebih dari seribu bulan. 83 tahun ! secara kasarnya jika berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadr. Macam itu tak perlulah kita kuat beribadahkan? Apakah kita bukan dari hamba yang bersyukur? Nabi Muhammad s.a.w pun tekun beribadah walaupun Baginda s.a.w. kekasih Allah s.w.t yang sudah dijamin segalanya malah dipelihara dari dosa. Jadi, cari malam tersebut diakhir Ramadhan ini.


Alhamdulillah, PRU-14 sudah selesai. Saya sudah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang berdaftar. Kali ini saya mengundi di Bangi, jika sebelum ini saya akan mengundi bagi Dun Bukit Lanjan dan Parlimen Segambut. Bila dah menetap di sini, makanya kawasan mengundi bertukar. Biarlah, yang penting kita wajib keluar mengundi.


Tempoh berkempen dan sebelum mengundi adalah tempoh sukar bagi saya. Kenapa? sukar kerana dihidangkan dengan kempen-kempen yang lebih kepada menikus!. Penyataan-penyataan yang membenci dan melampau. Sikap lalang yang terlalu naif. Sokongan yang membabi buta, kecaman tanpa usul periksa dan pelbagai lagi termasuklah ulasan peribadi yang macam baguih!.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang faasiq datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka tabayyunlah (telitilah dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian.

[al-Hujurât/49:6]

Saya tiada masalah jika mahu membenci dan memaki sekalipun, walaupun kita diajar dengan adab dan Islam mempunyai akhlak sebagai seorang muslim, kita perlu membayar apa yang kita beli. Dalam ertikata yang lain, kita bertanggungjawab dalam setiap apa tutur kata kita. Sebab apa? Sebabnya kenalan-kenalan yang mengecam hanya seorang penyokong parti sahaja pun. Bukanya calon, bukanya ahli majlis tertinggi parti. Mereka ini lebih sudu dari kuah.

Sebab apa lebih sudu dari kuah? kita lebih menyakini persepsi dari realiti. Sepanjang suasana PRU, persepsi mengatasi realiti dikalangan penyokong. Dan inilah yang diterjemahkan didalam tulisan dan komen-komen mereka. Malang sekali keadaan sebegitu. Amat malang bilamana kita bukanlah dari kalangan orang yang tidak berpelajaran dan tanam anggur.

Kenapa persepsi lebih menyakinkan dari realiti? Kerana ilmu. Ya, ilmu. Ya, ilmu tiada untuk mencari makna politik, makna kenegaraan. Seperti kita menghukum orang mencuri tanpa melihat keadaan sebenar pencuri dan mangsa atau harta yang dicuri. Begitulah terjadi semasa suasama PRU baru-baru ini, kita tidak melihat masalah berlaku ataupun kejadian yang berlaku didalam negara dalam ruang politik sebuah negara. Apa penyokong-penyokong tahu apakah definasi politik? tidak, sememangnya mereka tidak tahu, malah terma-terma didalam politik itu pun mereka tidak hadam. Apatah lagi mereka mahu belajar sejarah-sejarah politik dalam seluruh lipatan perjalanan sejarah sebuah negara dan semua negara. Hatta sesuatu hukum yang dibuat ulama fiqh mentafsir panjang lebar dengan meletakkan dalil dan nas serta hujah yang sahih dan penuh hikmah. Sedangkan mentafsir dan membuat kesimpulan hanya seminit dua diperlukan tanpa menilai, mentafsir dan mengkaji serta menghayati dengan ilmu dan berlapang dada.

Perlu ke? ye perlu supaya kita menjadi manusia matang dalam bertutur dan memberi komen balas atau pandangan. Supaya tidak kelihatan kita menikus jika kita kalah dalam pertandingan. Ibarat lalang yang ditiup kekiri atau kekanan. Kita berhak menghentam tanpa usul periksa kerana kita ada mulut dan tangan dan kita ada segalanya walaupun pinjaman.

Tetapi, jagalah adab dan akhlak. Jangankan sehingga kita mengaibkan diri sendiri. Janganlah kita sehingga lupa sebagai seorang muslim yang berjiwa mukmin dan muttaqin. Sehingga tergamak sekali kita menghentam agaman dengan mempersenda ulama sebagainya. Adakah kita cukup fiqh dalam menghentam mereka? mempersenda mereka sebagai ulama, sedangan masyarakat diluar sana mengiktirafnya. Sehingga tergamaknya kita mengeluarkan kalimah-kalimah penuh kebencian seolah kita adalah mangsa utama dan kita penuh sengsara jika hendak dibandingkan dengan saudara - saudara di Syria. Sehingga kita tergamak menggadai prinsip diri yang selama ini menjadi perisai kita.

Apakah kita jauh lebih baik jika kita diberi tanggungjawab dalam mengawal situasi? karekter pemimpin pun tiada dalam diri malah bercakap dengan mengemukakan kalimah yang tepat pun kita tidak mampu. 

Kita mesti bermuhasabah, mengambil keberkatan di bulan mulia ini. Tepuklah dada, tanya iman. Apakah label-label yang kita tampal pada kejadian-kejadian itu adalah label yang sebetulnya? apakah kita adalah mangsa kejadian sehingga menafikan segala mungkin kebaikan dan menutup serapatnya pintu tabayyun? apakah kita sudah membuat analisa dan kajian yang mendalam penuh ilmu ketika memberi komen balas dan pandangan? 

Maka berjalanlah dengan penuh kerendahan, kerana kita tiada apa-apa yang perlu dibanggakan, melainkan kita membawa karekter sebaik-baik penciptaanNYA.

Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?





JANGAN TUDUH ULAMA BERSALAH MESKIPUN DIPENJARA ATAU DIBUNUH

IMAM SYAFI'IE
Tangan dan kakinya dirantai lalu dibawa menghadap pemerintah dan hampir-hampir dipancung kerana dituduh Syiah dan pemecah-belah masyarakat.

IMAM HANAFI
Ditangkap, dipenjara, dicambuk, diseksa dan dipaksa untuk minum racun oleh pemerintah lalu meninggal dunia kerana tidak setuju dengan dasar-dasar pemerintah.
IMAM MALIKI
Dicambuk dengan cemeti lebih kurang 70 kali sepanjang hayatnya oleh pemerintah kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kehendak pemerintah.
IMAM HAMBALI
Dipenjara oleh pemerintah dan dirotan belakangnya hingga hampir terlucut kainnya kerana mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kehendak pemerintah. Pemerintah menganggap mereka lebih betul daripada ulama.
SUFYAN AT TSAURI
Seorang wali Allah yang termasyhur. Ditangkap tanpa bicara karena berani menegur kesalahan khalifah dan dihukum gantung tetapi sewaktu hukuman hendak dijalankan kilat dan petir menyambar pemerintah dan menteri-menterinya lalu mereka mati tertimbun tanah.
SAID BIN JUBAIR
Seorang wali Allah yang dikasihi harimau. Dibunuh kerana didakwa memecah-belahkan masyarakat, menentang kerajaan dan berkomplot untuk menjatuhkan pemerintah.
ABU YAZID AL-BUSTAMI
Wali Allah yang terkenal dengan pelbagai karamah. Dituduh sesat kerana ilmu agamanya lebih tinggi daripada pemerintah. Dihukum pancung oleh pemerintah tetapi tiada siapapun berhasil memancungnya.
ABUL HUSIN AN-NURI
Wali Allah yang mampu menundukkan api. Ditangkap dan hampir dihukum kerana dia menentang tindakan pemerintah yang membenarkan minuman arak berleluasa dalam negara.
IMAM NAWAWI
Hampir-hampir dipukul dan telah dibuang negara oleh pemerintah kerana menegur tindakan pemerintah menyalahgunakan wang rakyat. Juga seorang wali Allah yang terkenal sepanjang zaman.
Subhanallah Allahu Akbar La haula wala quwwata illa billah....
قل الحق ولو كان مرا
Katakanlah yang haq walaupun pahit

Tuesday, November 14, 2017

Travelog 2 Tanah Haram & Al-Fateh : Hari Pertama 3 Mac (Kuala Lumpur)

Assalammualaikum semua 

Hari ini hari Jumaat

Penghulu segala hari
Hari yang penuh berkat
Hari bermula ibadah diri


Insyaallah, saya dan seluruh anggota keluarga termasuk seluruh anggota keluarga Prof. Dr. Mohamad Suhaimi Jaafar dan Puan Nor Aeshah Hamzah (MSJNAH) akan berangkat ke dua (2) Tanah Haram iaitu Makkah dan Madinah serta ke bumi Turki (Bursa dan Istanbul).

Penerbangan kami seluruh keluarga MSJNAH ke Jeddah adalah pada jam 17.50 petang waktu Malaysia dan kami dijangka tiba pada jam 10.05 malam waktu Jeddah. Penerbangan kami selama tempoh program Ibadah dan Ziarah ini akan menggunakan Saudia Airline (Saudi Arabian Airlines). 


Alhamdulillah, segala kelengkapan untuk ziarah 11 hari ini nampaknya berjalan lancar. Isteri tercinta saya yang banyak sekali membantu dalam perkara ini. Jika perkara ini diserahkan kepada saya, makanya ada 2 keadaan akan terjadi. Yang pertama lebih pakaian dan keperluan atau kedua pakaian dan keperluan kurang. Maklum sahaja lelaki, idea insan bernama lelaki ini simple sahaja. 

Kami keluarga MSJNAH akan bertemu di KLIA. Kerana tidak semua diantara kami tinggal berdekatan. Ayah dan ibu serta adik ipar saya sahaja yang akan bertolak dari Bangi. Ada yang dari Sungai Buloh dan ada yang dari Kota Damansara. Memandangkan penerbangan kami pada hari Jumaat, kami bercadang untuk bertolak awal ke KLIA supaya dapat menunaikan kewajipan solat fardhu jumaat pada lelaki.

Perkhidmatan Grab Car sangat membantu dalam urusan seperti ini. Jika tidak, jenuh juga hendak memikirkan soal pengangkutan ini. Dari Bangi ke KLIA saya menempah 2 kereta jenis MPV untuk mudah kami ke KLIA. Ini mudah kerana MPV mampu menempatkan bagasi-bagasi dan keperluan yang kami bawa. Terima kasih kepada Pak Cik Grab yang sangat sporting. Siap tempah untuk bawa kami pulang nanti.

Jam 11.00 pagi kami bertolak dari Bangi ke KLIA. Perjalanan lebih kurang 25 minit ke sana. Dan kami tiba pada jam 11.30 pagi. Sampai sahaja di KLIA, kakak ipar dan suaminya dari Sungai Buloh pun tiba. Kami terus ke food court KLIA. Berkumpul di sana. Lebih kurang jam 1.00 petang, kami yang lelaki ini bertolak ke Masjid KLIA yang mengambil masa lebih kurang 5 minit dari KLIA. Anak saya Fateh pun nak ikut solat katanya. saya bawakan juga kerana beranggapan mampu menaikan semangat untuk ke Mekah dan Madinah. Alhamdullillah, selesai solat kami sedikit mengambil masa ke KLIA memandangkan banyak kenderaan yang hendak keluar. 

Kami berjanji untuk bertemu di Pelepasan KLIA selepas solat jumaat. Dan masa untuk daftar masuk adalah bermula jam 3 petang. Petang ini sepatutnya Ustaz Falah akan menguruskan kami untuk daftar masuk. Tetapi isteri kepada Ustaz Falah masuk ke hospital untuk bersalin. Didoakan agar dipermudahkan segala urusan. Saya sempat bertemu Ustaz Falah untuk mengambil dokumen yang telah lengkap diuruskan beliau di hospital. Terima kasih banyak Ustaz Falah. Yang akan membantu uruskan kami adalah Ustaz Zaher dari Mesir yang masih menuntut di UIA Gombak.


Syukur pada Allah s.w.t kerana urusan daftar masuk berjalan dengan lancar. Dokumen semua tiada masalah. Ustaz Zaher membantu uruskan dengan baik. Terima kasih Ustaz Zaher. Selesai urusan daftar, kami terus masuk untuk naik tren pula. Fateh dan sepupunya Falisha dan Sakinah dilihat begitu seronok sekali. Kanak-kanak mana tak seronok dapat berjalan-jalan. Ramai pula anggota keluarga keliling mereka.

Kami menuju ke pintu untuk menunggu penerbangan. Saya melihat ramai kumpulan jemaah yang akan menunaikan Umrah bersama kami. Melihat kumpulan besar, mereka siap dengan warna tersendiri dan eksesori masing-masing agar mudah dikenali anggota kumpulan. Saya melihat mereka dengan penuh rasa teruja. Bukan dari Malaysia sahaja ada juga dari Indonesia dan negara jiran lain. Mungkin sahaja mereka transit di KLIA.

Masuk sahaja ke dalam badan pesawat yang besar tu, hampir ke semuanya adalah jemaah yang akan sama-sama menunaikan Umrah. Ada yang dh siap memakai ihram!. Kami mendapatkan tempat duduk masing-masing. Kedudukan antara kami tidak la jauh. Dekat sahaja. Alhamdulillah, kami dapat kedudukan yang ada kemudahan bassinet. Saya pun pertama kali mendengarnya. Tempat tidur baby. 

bersambung

Travelog 2 Tanah Haram & Al-Fateh : Persiapan Awal

2 Mac 2017. Hari Khamis. 

Esok saya bakal memulakan musafir bersama Isteri tercinta Dr. Farhana dan dua anak kami iaitu Fateh Al Zuhaily (4 tahun) dan Farah Afifah (5 bulan) ke Mekah, Madinah dan Turki. Musaffir bersama anggota keluarga mertua. Keseluruhanya kumpulan kami terdapat 9 dewasa 2 kanak-kanak dan 2 bayi.

Perjalanan yang panjang bakal dilalui buat pertama kalinya bagi kami. Selama ini jika menaiki penerbangan sekalipun, jarak paling jauh adalah ke Miri, Sarawak. Bagi Fateh, menaiki penerbangan tidak kekok baginya. Kerana seawal 2 bulan dia sudah menaiki penerbangan. Apatah lagi kami adakalanya pulang ke kampung halaman dengan menaiki penerbangan jika dapat membeli dengan tiket yang berpatutan. Berbeza dengan Farah, yang baru memasuki 4 bulan, pertama kali menaiki kapal terbang pada usia seawal abangnya juga. Cuma pertama kali menaiki Farah menangis sebelum pesawat memulakan berlepas ketika kami balik ke Kota Bharu, Kelantan. Saya mula mencongak strategi, bagaimana mahu mengawal Farah. Saya mengharapkan Farah tidur ketika kami mula memasuki badan pesawat. Itu sahaja terlintas di fikiran saya ketika ini.

Persiapan untuk perjalanan 3 hingga 13 Mac sudah mula dibuat seawal bulan Februari lagi. Tiga (3) buah beg luggage saiz 24 inci sebuah, dan 21 inci dua buah merupakan keputusan yang kami buat untuk di bawa dalam tempoh tersebut. 2 luggage sain 24 inci dan 21 inci telah dimiliki oleh isteri dan dua anak saya. Tinggal lagi sebuah untuk saya isi pakaian saya. Sepasangan pakaian ihram sahaja pun sudah separuh! saya perlukan 1 lagi beg jenis backpack

Pakaian anak, kami sepakat untuk meletakkan 25 pasang untuk seorang. 25? bunyi macam banyak, tetapi hakikat baju budak-budak tidaklah seperti 25 pasang baju dewasa. Kiraan dibuat sehari 2 pasang dan kecemasan selebihnya. Ini tidak termasuk baju sejuk memandangkan di Turki masih lagi musim sejuk. Dengan lampin kiraan 4 diapers digunakan Farah untuk satu hari. Kebiasaan Farah akan menukar diaper 3-4 kali sehari. Angka 4 adalah saya melihatnya agak praktikal, memandangkan Farah jika keluar berjalan-jalan penggunaan diaper agak minima berbanding ketika berada di rumah. Pakaian saya dan isteri? faham-faham sahaja la.

Kelengkapan anak adalah menjadi keutamaan kami. Sehinggakan kami perlu keluar mencari baju mereka yang sesuai dan elok. Bukan baju sekarang tidak sesuai dan elok, tetapi kuantiti bilangan bajunya agak kurang menyenangkan hati kami. Kerana kami melihatnya dari sudut sebelum dan selepas pulang dari bercuti. Kami perlu pastikan pakaian anak kami cukup di pakai sebelum bercuti dan memiliki lebihan pakaian untuk dipakai selepas pulang bercuti. Kelengkapan asas seperti losyen, minyak panas, minyak rambut, bedak, sabun badan, syampu rambut, berus dan ubat gigi untuk Fateh tidak kami lupa. Ubat demam juga kami sediakan. Memandangkan seminggu sebelum perjalanan, Farah ada temujanji di klinik kesihatan, kami membuat permintaan untuk mendapatkan ubat bagi tempoh perjalanan kami. Ubat untuk Fateh pun kami dapat. Terima kasih kepada zon sinar Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra diatas perhatian dan kerjasama. Mutu dan kualiti perkhidmatan kalian tidak pernah mengecewakan kami selama ini.

Jaket sejuk untuk anak kami, kami sediakan 3 helai. Untungnya Farah dapat lagi 2 pasang baju sejuk yang dipinjamkan oleh Mak Ngah Farah. Terima kasih Mak Ngah. Carrier baby dan stroller juga kami bawa memandangkan kegunaan seperti carrier nanti adalah ketika tawaf dan sa'i selain untuk berjalan-jalan ke luar. Stroller tidak dibenarkan sama sekali untuk tawaf dan Sa'i. Sarung kepala anak, sarung tangan anak, sarung kaki anak kami pastikan ianya mencukup untuk dibawa walaupun tidak sebanyak baju mereka.

Macam banyak bukan? mungkin inilah kalau ada anak kecil. Memandangkan saya pernah terlibat dengan aktiviti outdoor, sebarang kemungkinan dalam tempoh aktiviti itu akan diambil. Pelbagai blog saya baca untuk menambah maklumat. Ini saya tidak ceritakan lagi proses passport dan dokumentasi untuk ke perjalanan kali ini. Post selepas ini saya akan ceritakan.


Untuk makluman, perjalanan kami ke sana nanti Insyaallah lebih flexible dan terbuka. Kerana perjalanan kami ini adalah lebih private. Tidak melibatkan kumpulan besar. Sebab kami mahu elakkan dari terikat dengan anggota-anggota yang lain. Yang kami pun tidak mengenali. Tambah pula dengan membawa anak kecil yang bermacam-macam ragam. Perancangan perjalanan seperti ini dengan seorang kenalan isteri saya yang tinggal di Turki. Menguruskan pakej perlancongan. Jadi dengan beliaulah kami berhubung untuk perjalanan kami. Siapa dia? next episod saya cerita.

Bersambung.

Tuesday, January 24, 2017

Realiti 2: Sikap oh sikap manusia

“Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat derhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah” (Al-Infitar ayat 6) 


"Abang, tengok sikit la" marah si penunggang motor (warna biru). Terkejut saya. Tiba-tiba muncul dicelah-celah kon oren(titik bertanda biru). Dia brek kerana saya mahu keluar untuk ke kanan. Sedikit sahaja dia nak jatuh.

Saya pandang dia. Membalas pandangan saya dengan muka yang marah. "pedulikan, dia dah la muncul tiba-tiba, lepas tu bawa motor sailang kon penghadang. Dah lambat ke pejabat la tu" hati saya membebel sendiri.

Ya Allah, ampunkan saya. Ucap saya berulang kali. Kerana saya merasai amarah saya sedikit naik dek kerana sikap penunggang tersebut. Saya pasti dia merupakan staff dari syarikat vendor di tempat bekerja saya berdasarkan uniform yang dipakainya. Saya memujuk hati agar tidak ambil peduli ragam manusia seperti ini. Jika ambil peduli nescaya saya akan melaporkan kepada bosnya yang memanggil saya "Tuan Shafiq" bila kami bertemu .

Kehidupan penuh dengan warna-warni. Disebabkan warna warni ini sikap manusia dilihat perlbagai ragam. Jika kita melihat kembali akhbar-akhbar, tv yang memaparkan kejadian-kejadian yang sebenarnya hasil daripada tangan-tangan manusia. Yang mana semua itu berpunca dari sikap dan hati mereka.

“Telah nampak  fasad (kerosakan) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (ar-rum ayat 41)

Kejadian pemandu driver dibelasah, kanak-kanak ditinggalkan dan banyak lagi kejadian yang saya tidak sanggup melihat, mendengar apatah lagi ingin menceritakan secara kronologi mahupun detail. Ini bukan soal tragis atau seram, tetapi soal dimana nilai kemanusian itu diletakkan? Dimana kewarasan aqal dalam menilai?. 

Didalam Tafsir Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat didalam Surah ar-rum ayat 41 dengan menyebut bahawa Abu al-‘Aliah berkata, “Barangsiapa mengingkari Allah SWT di muka bumi ini bermakna dia telah berbuat kerosakan di atasnya, kerana keadaan yang baik di bumi dan langit bergantung kepada ketaatan manusia terhadap Allah S.W.T”

Isunya disini adalah ketaatan kepada Allah S.W.T. Mana mungkin manusia bertindak seperti haiwan dalam keadaan dia waras dan tidak menurut nafsu. Bila sebut tentang nafsu, isu menjadi besar. Kerana manusia dengan nafsu umpama isi dengan kuku. Tidak mungkin kita dapat mengatasi nafsu jika berada dalam situasi yang saya ceritakan diatas jika aqal tidak cepat menilai dan membuat pertimbangan dengan cepat. Bagaimana aqal mahu bertindak secepat daripada nafsu?. 

Sifat sabar adalah salah satunya. Pedulikan kerosakan sedikit kereta itu, asal ada sabar ianya tidak mencelakai mana-mana hati manusia yang akhirnya akan melukai hati kita. Dan akhirnya terjadilah satu kecelakaan yang nyata. Sabar dengan ragam manusia adalah satu perkara yang adalakalanya merugikan kita, tetapi sebenarnya kerugian itu hanyalah bersifat sementara.

Kedua adalah Maaf, cukup mudah dilafazkan. Umpama Afeef yang seringkali ucapkan kalimah maaf kepada Iffat didalam drama Biar Aku Jadi Penunggu. Walhal kuasa maaf itu sangatlah berkuasa yang mampu mematikan sehabisnya amarah kamu. Tidak kira kamu meminta maaf atau memaafkan manusia. Tetapi kalimah maaf cukup powerfull. Berkesan untuk jangka masa yang lama. Tiada guna dendam jika merunsing hati dan jiwa yang akhirnya melukai hatimu sendiri. Manusia sukar untuk meminta maaf ataupun memaafkan. Dek ego, dia tidak mahu meminta maaf, dek ego jugak dia sendiri tidak mampu memaafkan orang tanpa menunggu ucapan permintaan maaf keatasnya. Termasuk diri saya. 

Ketiga dan akhirnya adalah Redha. Sangat susah bila tidak ikhlas. Ya, saya redha, tetapi, tetapi..kalimah tetapi itu yang telah menggugat peratusan redha itu. Lalu terbitlah tidak ikhlas yang hanya diri dan Allah sahaja yang tahu. Hanya kerana ego, kita mula berfikir bahawa kita menyesal bersahabat dengan dia. Dan sesalan itu ditambah dengan sesalan segala perbuatan yang kita pernah lakukan. Tidak ikhlas muncul ditambah ungkit mengungkit. Lihatlah, betapa berkuasanya redha itu. Jadi pastikanlah kita benar-benar bersifat redha itu.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”  - (Al-Imran ayat 133-134)

Jadilah manusia seperti yang disebut didalam kebanyakkan ayat Al-Quran, jadilah manusia yang ingin meniru bagaimana mulianya peribadi Sang Nabi yang di utuskan Allah. Jadilah manusia dengan meniru para sahabat Nabi yang memiliki karekter hebat. 

Menjadi manusia hebat bukan disebabkan keangkuhan dan kemegahanya dengan isi dunia (walhal sebenarnya dia telah dibinasa dunia), tetapi jadilah manusia hebat yang masyhur sifatnya dimuliakan dunia dan isinya (tidak mengejar dunia, tetapi segala kebaikan dan nikmat dunia mengejarnya untuk menjadi bekal amalan yang baik di akhirat).-alsyarqawi

Monday, January 23, 2017

Realiti 1: Ragam dalam pekerjaan

Kamu buat kerja sampai malam sekalipun, peluh keringat sebaldi dah, kamu jangan expect kamu akan dapat penghargaan tinggi dari orang sekeliling. Rakan-rakan kerja kamu cuma jadi saksi kamu buat kerja rajin. Tapi, mereka tidak akan backup kamu atau sampaikan kerajinan kamu pada bos, CEO, pentadbiran dan pihak yang bagi kamu gaji.



Jangan pernah bergantung pada mana-mana kawan kerja untuk jadi bahan bukti, saksi segala kerja yang kamu buat untuk tempat kerja kamu. Mereka tidak akan masuk campur urusan kamu. Mereka juga nak jaga periuk nasi sendiri.

Tapi, kalau kamu buat silap atau tak hadir kerja sekali dua atau beberapa kali, tak kiralah apa jua sebabnya termasuk sakit, orang akan cepat pandang serong kamu. Kamu takkan lagi tergolong dalam pekerja yang baik walaupun kamu memang pekerja yang rajin.

TIPS:
1. Kerja tu pergi balik on-timelah. Sebab kerja sampai lebih masa pun, tak guna juga. Kerja takkan habis sampai bila-bila.
2. Dua, hubungan dengan Tuhan tu wajiblah jaga. Utamanya solat fardhu lima tu jangan tinggal. Solat tahajjud dan duha tu buatlah selalu biar jadi amalan harian.
3. Ketiga, sabar dan senyum selalu. Jangan banyak cakap benda tak penting di tempat kerja. Jangan cakap pasal pentadbiran bagai. Buat kerja kita je. Sebab, kalau nak bertekak hal ni, baik kau masuk politik ubah sistem terus.
4. Keempat, doa selalu biar Allah lindungi dan limpahi rezeki. Kerja dengan orang, bila-bila boleh kena buang. Kerja sendiri, bulat-bulat bergantung tuah rezeki setelah usaha.
5. Kelima, jangan cakap pasal orang lain. Rajinkan diri improve diri sendiri."



#copypaste

Tuesday, November 29, 2016

Wahai anakku


Wahai anakku, Fateh al-Zuhaily

Dirimu adalah anugerah
Anugerah terindah
Juga adalah ujian
Oleh Maha Esa
Satu pemberian yang begitu berharga
Begitu bernilai
Begitu sempurna

Wahai anakku

Dirimu adalah kasih pertama ibu dan ayah
Sayang pertama ibu dan ayah
Penghibur cilik pertama ibu dan ayah
yang tiada pengganti
Peneman pertama ibu dan ayah
dikala sunyi
Pertama menghuni rahim ibumu
Ayah sentiasa ingat
Ketika ibumu tiada pergi bekerja
Engkau menemani ayah

Wahai anakku

Dirimu punyai pelbagai kerenah
Dirimu punyai pelbagai telatah
Dirimu punyai pelbagai akal
Dirimu punyai pelbagai ragam
Dirimu punyai pelbagai kehendak

Wahai anakku
Ketahuilah ayahmu ini
Kasih padamu
Sayang padamu
Tidak mahu menghukummu
Tidak mahu mendendamu
Tidak mahu mencubitmu
Tidak mau berkasar padamu
Kerana kamu wahai anak,
adalah amanah ayah
pinjaman untuk ayah
kurniaan pada ayah

Wahai anakku
Jika engkau mengetahui isi hati ayahmu ini, engkau akan tahu betapa dirimu begitu istimewa didalam kehidupan ayah, kehidupan ibu&ayah. Tiada istilah dirimu akan jatuh ke tangga kedua sekiranya ayah dan ibu mempunyai adikmu. Kamu adalah pertama.

Sempena Tahun Baru - Lompong

Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa diatas segala nikmat yang dianugerahkan, dipinjamkan yang bersifat sementara kepada saya. Yang saya pasti dan yakin DIA akan menariknya bila-bila masa jika saya mengkufuri nikmatnya. Sudah jelas peringatan DIA berkenaan nikmat yang diberikan sepertimana yang disebutkan didalam Al-Quran.

Masuk tahun baru Islam, masa terlalu pantas dirasakan oleh saya. Usia pun menambah dengan angka baru. Amalan? saya tidak tahu hendak bercakap tentang kunatiti amalan sedangkan kualiti amalan masih lagi tidak memenuhi senarai semak untuk mendapat penarafan amalan gred A+. Setiap kali muhasabah diri, koreksi diri dengan sedalam dalamnya, kelompongan masih terasa dipelbagai sudut. Diri saya membuntu. Seperti menemui jalan mati. Apa harus saya lakukan Ya Allah?

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18).

Saya melihat kelompongan yang ketara itu, maka saya sedar disitu. Bahawa saya yakin Allah masih sayangkan saya. Mungkin!. Jika tidak bagaimana saya menyedari kelompongan itu, Ya! Allah masih sayangkan saya. Alhamdulillah. Jika tidak saya menyedari kelompongan itu, mungkin saya antara calon yang akan dibinasakan Allah. Mohon dijauhkan.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui.” (Al-A’raf: 182).

Tetapi adakah saya menyesal melihat kelompongan yang ada? sedangkan ianya telah terjadi. Maka saya teringat akan mafhum sabda Nabi Muhammad s.a.w bahawa menyesal adalah taubat. Saya tidak boleh berpatah balik, melainkan saya tidak lagi memgulangi dan membuat lompongan yang sama sedangkan kelompongan yang ada saya telah benar-benar menyesal, TAUBAT!. Ya, kerana taubat mampu menghapuskan dosa. Mampu memberi aura ketakutan kita kepada Allah S.W.T. Saya mesti takut pada Allah. tidak boleh tidak. Kerana saya tidak mahu setiap nikmat yang di anugerahkan, yang pinjamkan dan yang dikurniakan kepada saya hanyalah samata-mata ISTIDRAJ!!!. Allahu rabbi. Saya cukup takut pada perkataan ISTIDRAJ, seolah-olah ianya senada seperti pepatah melayu BIAR PAPA ASALKAN BERGAYA!..Papa bukan beerti miskin, tiada duit, tetapi lebih kepada biar berharta tetapi dibenci, dan pelbagai lagi yang saya tidak suka menghuraikanya kerana tiada kebaikan padanya.

Tersedar saya dari memikirkan kelompongan yang ada. Saya hanya perlu bermuhasabah. Koreksi diri sedalam-dalamnya. Mana mungkin saya sebagai anak adam yang melakukan solat, puasa, zakat dan pelbagai amalan yang diperintahkan Allah boleh melihat dosa. Sedangkan kejahatan, kemungkaran , dibuat walaupun disedari atau tidak. Ya, hanya muhasabah, RECALL semula saya kedalam diri saya untuk SERVICE secara berjadual hati ini. Aib saya, saya mampu membuka dan melihatnya serta menghapuskanya. DELETE.

Mahu menjadi orang yang berjaya perlu muhasabah diri. Persiapkan diri untuk kehidupan abadi. Itu visi yang perlu dicapai. Jika tidak mempunyai visi tersebut, saya akan menjadi orang yang akan ditelan oleh dunia dan seisinya. Saya tidak mahu menjadi orang yang berangan-angan bahawa dosa saya telah diampunkan.













Tuesday, September 8, 2015

Tetap Lepak Selepas Kahwin(TLSK)-I

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..
Alhamdulillah..

Usia perkahwinan saya mula melepasi angka 3 tahun. Orang kata pejam celik-pejam celik cepat masa berlalu..maka berlalulah masa-masa yang biasa dibuat ketika sebelum kahwin ditinggalkan begitu sahaja. Mana tidaknya, jika dikira masa sekarang, dengan urusan anak, isteri jadual sendiri perlu dipadamkan. Begitulah sebaliknya jika saya berada ditempat isteri saya.

Jika sebelum kahwin masa lepak dengan kawan-kawan boleh dikatakan berlaku saban hari dek kerana satu pejabat, diatur bila-bila pun, hari ini selepas berkahwin lepak tetap seperti biasa. Cuma, bezanya lepak bersama Isteri dan anak. Tidak kiralah dirumah mahupun di kedai makan. Waktu? seperti juga ketika bersama kawan-kawan dahulu. Tidak kira waktunya, baik tengah malam dan sebagainya. Kadang-kadang bila esok hari cuti, malam tersebut rasa nak tidur lambat.. Jadi bila perut mula berkeroncong, walaupun sudah jam 12 malam, Si Isteri on sahaja bila diajak keluar minum-minum. Si anak, bila dengar perkataan 'keluar' setuju sahaja..



Begitulah saya, walaupun berkahwin tidaklah ketika usia muda sangat, tetapi angka 25/26 itu dan ketika sedang seronok dengan 'muda' itu saya cuba menjangkakan inilah juga apa yang isteri rasa dalam dunia dia juga. Saya masih ingat ketika mula berkahwin, saya mula berkira-kira adakah saya masih berpeluang mendaki bersama-sama kawan pada hujung minggu, bermain futsal tidak kira pa jua hari dan waktu, pergi ke sana sini bersama mereka. Tiada halangan ketika itu! Sekarang?

Sekarang masih lagi tiada halangan. Tiada siapa menghalang. Saya masih boleh lagi 'hiking', malah setiap bulan saya akan sertai Marathon/Larian sekitar Lembah Klang, masih boleh lagi melepak. Bezanya waktu dan anggotanya sahaja. Saya perlu sedar bahawa masa saya bersama keluarga diperlukan. Apatah lagi ketika ini anak saya memerlukan saya dan isteri bersamanya. Waktu yang ketika anak saya sedang melalui proses pendidikan yang diperlukan sewajar. Masakan tidak saya mahu lepaskan peluang ini? ohh..tidak.

Jika saya mahukan anak yang jauh lebih baik dari saya dan memiliki ciri-ciri seperti insan super (Sultan Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayubbi, Zaid Bin Harithah, Tariq Bin Ziyad, dan ramai lagi pemuda-pemuda Islam) maka saya mesti pastikan keperluan menjadi watak insan super melalui proses sewajarnya...

Bersambung..