Monday, August 1, 2011

Matlamat Puasa


"Islam dibina atas lima dasar iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan melaksanakan haji di Baitullah bagi yang mampu"
Hadith Muttafaq alaih

Marhaban Ya Ramadhan

Alhamdulillah, baru sahaja menjejak ke bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, kemuliaan dan keampunan iaitu bulan Ramadhan. Bermakna inilah Ramadhan yang ke-25 saya sempat temui. Bulan yang dimana disyariatkan kita berpuasa yang mana ianya menjadi rahsia antara hamba dengan Tuhanya. Tidak ada yang mengetahui dia berpuasa kecuali Allah swt. Ini bermakna, ibadat puasa memiliki pahala yang agung dan juga balasan yang besar. Kerana ia adalah ibadah yang dapat mendekatkan diri kepada Allah swt dan mencari keredhaanNYA. Yang dimaksudkan dengan puasa mendekatkan diri kepada Allah swt adalah kita tidak makan dan minum seperti Allah swt yang tidak berkehendakkan makan dan minum.

Dalam hadiith qudsi, ada disebutkan:

" Seluruh amalan anak adam menjadi milikNYA kecuali puasa. Sesungguhnya puasa menjadi milik-KU dan AKU yang akan membalasnya"
Hadith an-Nabawi as-Syarif

"Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu "
Hadith riwayat al-Bukhari

Taqwa adalah matlamat ibadat puasa itu. Ini jelas digambarkan didalam Al-Quran didalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa"

Puasa adalah medium untuk mendidik kita gar menjadi insan bertaqwa. Iaitu kita mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-NYA. Ini dapat direalisasikan dengan melalui ibadah berpuasa yang mulia ini.

Perlu kita ingat bahawa, puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi juga mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, melakukan maksiat dan pelbagai perbuatan yang menjerumuskan kita dalam dosa. Baik kecl mahupun dosa besar.

Ini mengambarkan kita seolah-olah berada didalam sebuah institusi latihan untuk membentuk diri supaya akhir latihan kita nanti, kita memperolehi gred Taqwa selari dengan matlamat puasa itu. Dan setelah itu, kita masing-masing perlu mengekalkan gred ketaqwaan itu pada baki 11 bulan berikutnya. InsyaAllah.

Maka, adakah matlamat kita di bulan Ramadhan tahun ini sama seperti matlamat yang disebutkan didalam Al-Quran?

Dari Abu Hurairah r.a berkata. Sesungguhnya Rasululullah saw bersabda : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan berapa ramai yang malakukan qiammualail, tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali bangun malam"
hadith riwayat Imam Ahmad

Oleh itu, mahukah kita berpuasa dengan hasil yang cuma mendapat lapar dan dahaga? ianya seolah-olah mengambarkan kita berpuasa dalam keadaan kita jahil dan juga mungkin kita berpuasa hanya sekadar untuk melunaskan tuntutan sebagai muslim. Walhal kita sepatutnya melakukan setiap ibadat termasuk berpuasa adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt, takut pada Allah swt, cintakan Allah swt dan kasih kepada Muhammad saw.

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari saya Mohd Shafiq Bin Bakar @ alsyarqawi